My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 24 August 2016

    Lokasi Suspek Kes Tembak Kayong Sudah Diketahui



    Pihak berkuasa Australia sudah mengetahui lokasi salah seorang suspek dikehendaki polis kerana dipercayai membunuh bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Miri, Bill Kayong. 

    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Rod Smith, bagaimanapun beliau enggan mendedahkannya kerana kes tersebut tertakluk kepada proses undang-undang Australia. Beliau menambah, ekstradisi suspek ke Malaysia juga tertakluk kepada proses undang-undang negara itu.

    “Kita harus membenarkan proses undang-undang ini menjalankan tugasnya. Selebihnya, saya tidak boleh dedahkan di sini,” katanya ringkas pada sidang media di sini, semalam.

    Salah seorang daripada dua suspek yang masih dikehendaki polis, Lee Chee Kiang atau dikenali Datuk Stephen Lee dipercayai melarikan diri ke Australia. Pada 18 Ogos lalu, seorang daripada tiga suspek dikehendaki polis menyerah diri diiringi peguamnya di Balai Polis Krokop, justeru ketika ini hanya Lee dan seorang lagi suspek Kong Sien Ming masih bebas.

    Polis Sarawak telah meminta bantuan Interpol untuk memburu dalang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Kayong, yang ditembak di persimpangan lampu isyarat di Lutong di Miri pada 21 Jun. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar sebelum ini berkata, dalang kes itu dipercayai melarikan diri ke Melbourne, Australia melalui Singapura pada 3 Julai.

    Pada 15 Julai, Mohamad Fitri Pauzi, 29, dituduh membunuh Kayong, manakala tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, didakwa bersubahat dengannya. Berikutan pembunuhan itu, polis menubuhkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Sarawak untuk menjalankan siasatan.

    Sembilan orang, termasuk seorang wanita berusia 22 tahun, ditahan di beberapa lokasi di Miri untuk membantu polis dalam siasatan mereka. Tujuh telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Polis turut merampas senapang patah, dipercayai senjata pembunuhan, dari rumah salah seorang daripada dua tertuduh itu.

    Kayong, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, aktivis sosial terutama dalam isu tanah ditembak mati dari jarak dekat sekitar jam 8.30 pagi hari berkenaan. Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu seorang diri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin menuju ke pejabat yang terletak di pusat bandar.

    Semasa berhenti di lorong tengah lampu isyarat itu yang menghala arah ke Permyjaya, mangsa dipercayai ditembak menggunakan selaras senapang patah dari jarak dekat. Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 7 lalu, beliau bertanding tetapi tewas kepada calon langsung Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus di Bekenu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lokasi Suspek Kes Tembak Kayong Sudah Diketahui Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top