My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 26 August 2016

    Penyamun Keparat



    “Tolong ayah, tolong kami.” Itu teriakan anak perempuan Halim, 34, menerusi panggilan telefon apabila isteri dan dua anaknya disamun selepas kereta dinaiki tiga beranak itu terbabas ke dalam sawah di Jalan Kubang Semang, di sini, Selasa lalu. 

    Dalam kejadian jam 8.30 pagi, kereta Nissan Grand Livina yang dipandu isteri Halim, Asmalia Zanal, 34, bersama dua anak mereka dikejar dua lelaki bermotosikal sehingga menyebabkan mereka terbabas dan cedera sebelum disamun kedua-dua lelaki terbabit.

    Halim berkata, ketika itu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja menggunakan kereta lain manakala Asmalia menaiki sebuah lagi kereta bersama dua anak mereka dalam perjalanan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Katanya, sebaik menerima panggilan itu, dia terdengar bunyi teriakan anak sulung perempuannya berusia lapan tahun sebelum panggilan itu terputus.

    “Saya terkedu dan bingung ketika itu serta tidak dapat membayangkan kejadian sebenar menimpa mereka. “Perkara pertama yang saya bayangkan adalah mereka terbabit dalam kemalangan dan langsung tidak menyangka mereka turut disamun,” katanya di sini, semalam.

    Halim berkata, sejurus kemudian, dia menerima satu lagi panggilan daripada seorang remaja perempuan yang memaklumkan kejadian menimpa isteri dan anaknya. Menurutnya, dia terkejut dan bergegas ke lokasi kejadian sambil berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini menimpa mereka. 

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya melihat isteri dan dua anak dalam keadaan trauma sebelum memeriksa kecederaan yang mereka alami dan bersyukur kerana mereka tidak cedera parah. Mereka hanya luka ringan akibat terbabas ke dalam sawah selepas dikejar penyamun itu,” katanya. 

    Menceritakan kejadian itu, Halim berkata, ketika isterinya melalui jalan berkenaan, dua lelaki bermotosikal mengekori kereta mereka sebelum mengetuk cermin depan menggunakan batang besi sehingga retak. Beliau berkata, isterinya yang terkejut dan takut dengan tindakan itu memecut keretanya bagi melarikan diri daripada dua lelaki terbabit.

    “Bagaimanapun, ketika memecut, isteri gagal mengawal kereta sebelum terbabas ke dalam sawah. Sejurus terbabas, dua lelaki terbabit memecahkan cermin penumpang hadapan kereta dan meragut beg tangan serta gelang emas isteri.

    “Isteri saya sempat merayu supaya mereka tidak mengambil telefon bimbit yang sedang digenggamnya sebelum dua lelaki itu pergi ke motosikal mereka. Dalam tempoh singkat itu, anak perempuan sulung saya sempat menghubungi saya untuk meminta tolong sebelum salah seorang daripada lelaki itu datang semula dan meragut telefon berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang dibuat di Balai Polis Perda. “Usaha memburu suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Penyamun Keparat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top