My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 30 August 2016

    PERKEP Kontinjen Sabah Terima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang



    Selepas 14 tahun, Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) Kontinjen Sabah sekali lagi menerima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2016. 

    Pengerusinya Datin Ainalmarhanim Abg Ghani yang ditemui pada majlis itu melahirkan rasa syukur dan berharap pengiktirafan itu menjadi suntikan semangat kepada ahli PERKEP supaya lebih komited dan terus memberi sokongan kepada persatuan.

    “Kami amat bersyukur dan gembira kerana sekali lagi sumbangan bakti PERKEP mendapat pengiktirafan di peringkat negeri. Ini adalah kali kedua selepas tahun 2002 dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas komitmen tinggi yang ditunjukkan ahli PERKEP.

    “Walau siapa pun yang menerajui persatuan ini, saya berharap para ahli PERKEP akan terus komited dan memberi sokongan padu kepada PERKEP,” katanya yang bakal melepaskan jawatan itu pada 3 Januari 2017.

    PERKEP didaftarkan pada 10 Jun 1969 dan lahir atas dasar inginkan kaum wanita maju dengan keahlian lebih kurang 80,000 orang di seluruh Malaysia, termasuk 7,000 ahli di Sabah. Menurut Ainalmarhanim, PERKEP memainkan peranan yang cukup besar daripada aspek keluarga dan peranan wanita dalam masyarakat.

    “PERKEP aktif dalam aktiviti kemasyarakatan untuk membela nasib serta kebajikan kalangan ahli dan keluarga polis. Sumbangan bakti ini kami curahkan kepada para balu, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga warga polis yang ditimpa musibah.

    “Selain ahli, PERKEP juga menyalurkan sumbangan kepada masyarakat umum seperti golongan anak-anak orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan warga emas. Walaupun sumbangan kami tidak mampu mengubah apa-apa yang berlaku pada ahli mahupun masyarakat, kami tetap yakin kesan psikologi yang kami bawa dalam penglibatan dan kehadiran kami di kala orang lain ditimpa masalah mampu mengurangkan beban emosi yang ditanggung mereka,” katanya.

    Ainalmarhanim berkata demikian selepas menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman, di sini pada Sabtu. Selain PERKEP Kontinjen Sabah, turut disampaikan Musa ialah Anugerah Khas kepada Nancy @Mary Angian, Anugerah Wanita Cemerlang kepada Dr Ananglangkah Mad Kassim, Anugerah Wanita Terbilang kepada Datuk Alexandera Chin @Fui Lin dan Anugerah Tokoh Wanita kepada Ahli Lembaga Pelancongan Sabah Puan Sri Zainab Aman.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: PERKEP Kontinjen Sabah Terima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top