• PANAS

    Friday, 19 August 2016

    Rasailah Nikmat Juadah Borneo Di Borneo Street



    Seperti biasa, setiap Sabtu dan Ahad di Galaxy Ampang Mall, Kuala Lumpur, akan berhimpunnya para peniaga kecil-kecilan yang akan membuka perniagaan mereka dengan menjual pelbagai juadah dan hasil kraf Borneo diniagakan di sini.

    Bertempat di aras bawah kompleks membeli belah berkenaan, kira-kira 60 peniaga akan membuka gerai jualan mereka dimana pelbagai juadah yang sukar diperolehi disekitar Kuala Lumpur. Dengan harga yang berpatutan, pastinya ia mendekatkan lagi masyarakat Semenanjung dengan makanan dan hasil kraf dari Sarawak dan Sabah.

    Apabila menyebut tentang Sarawak, pastinya tidak terlepas daripada memperkatakan tentang kek lapis Sarawak. Diusahakan oleh seorang suri rumah, penyediaan kek lapis berkenaan sentiasa menitik beratkan kebersihan dan halal.

    Dengan pelbagai jenis kek lapis, kek sarang semut dan kek ati parek, harga yang ditawarkan cukup berpatutan dimana untuk mendapatkan kek lapis dengan harga serendah RM 12 di pasaran, pastinya sukar andai pencarian berkenaan dilakukan di Semenanjung. Justeru itu, mengambil kira kehendak pasaran, dia memutuskan untuk menjual kek lapis berkenaan pada harga yang mampu dimiliki.

    Satu lagi hidangan wajib dari Sarawak yang wajib untuk dinikmati adalah juadah mee kolok dan mee sapi. Jika di Sarawak, juadah ini cukup mudah untuk ditemui, namun jika di Semenanjung, kebanyakan mee ini dijual oleh kaum Cina di sekitar Lembah Klang.

    Di Borneo Street, mee ini dijual pada harga RM 6 semangkuk dimana ianya adalah resepi asli penyediaan mee berkenaan. Sama seperti kek lapis, pengusaha mee ini juga memastikan juadah ini 100 peratus halal untuk dinikmati oleh semua lapisan pelanggan.

    Satu lagi juadah wajib untuk dinikmati adalah Laksa Sarawak. Walaupun laksa Sarawak agak mudah didapati di Semenanjung, namun tidak ramai yang mampu menyediakan makanan berkenaan berasaskan pes laksa Sarawak asli. Di Borneo Street, juadah berkenaan disediakan menerusi pes asli oleh seorang pengusaha anak Sarawak yang sentiasa memastikan juadahnya halal untuk dinikmati.

    Bagi mereka yang mencari juadah ringan hasil daripada penyediaan tradisional yang terkenal bagi rakyat Brunei, Limbang dan Sabah, kuih Kelupis merupakan pilihan terbaik. Kuih yang seakan-akan kuih lepat bagi penduduk Semenanjung ini sebenarnya disediakan dari beras pulut yang dibungkus dengan daun nyirik dan dikukus.

    Dengan rasa lemak pulut, kuih ini pasti menarik perhatian bagi mereka yang masih asing dengan juadah-juadah makanan dari bumi Borneo. Tidak ketinggalan, kuih penyaram, kuih karas atau lebih dikenali sebagai kuih jala dan banyak lagi juadah untuk dinikmati dan paling utama, harga yang ditawarkan cukup berpatutan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rasailah Nikmat Juadah Borneo Di Borneo Street Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top