My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 22 August 2016

    ‘Rio Pentas Olimpik Terakhir Saya’




    Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan yang sangat jelas mengenai hasrat untuk bersara selepas terus kemarau pingat emas di pentas Sukan Olimpik apabila tewas kepada Chen Long pada aksi final acara perseora­ngan lelaki kelmarin. 

    Menurut Chong Wei, sudah tiba masanya untuk para pemain muda menggalas harapan negara seperti yang dilakukannya sejak lebih sedekad lalu. Dia juga mengakui bahawa temasya di Rio kali ini merupakan Sukan Olimpik terakhir buatnya.

    “Tokyo? Saya fikir itu tidak mungkin. Saya jangkakan Kejohanan Dunia pada 21 hingga 27 Ogos di Glasgow, Scotland tahun depan berkemungkinan menjadi kejohanan terbesar dan terakhir buat saya. Selepas itu saya perlu berhenti untuk memberi peluang pemain muda pula menggalas tugas besar termasuk pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, empat tahun dari sekarang.

    “Bagaimanapun, saya berharap agar masih mampu menyumbang sesuatu untuk sukan badminton di Malaysia. Saya mungkin akan melawat sekolah-sekolah untuk membantu memberikan dorongan dan sokongan kepada para pemain muda bagi memastikan mereka lebih serius menceburkan diri dalam sukan ini.” 

    Chong Wei berkata demikian pada sidang akhbar selepas perlawanan akhir kelmarin. Tambahnya, pentas Rio bukan sahaja yang terakhir untuknya tetapi juga buat bintang sensasi China, Lin Dan selepas usia mereka yang sudah menginjak 33 tahun selain menyifatkan pertemuan mereka pada separuh akhir agak antiklimaks kerana sepatutnya mereka berdua bertemu di final.

    Pada aksi penentuan pingat emas kelmarin, Chong Wei tewas straight set 18-21, 18-21 kepada Chen Long dan terpaksa berpuas hati merangkul pingat perak selepas sebelum ini turut memenanginya dua pingat yang sama pada edisi di Beijing (2008) dan London (2012).

    Mengulas mengenai kekalahannya pada aksi final tersebut, Chong Wei mengakui bahawa ia adalah suatu yang sangat memeritkan ketika seluruh rakyat Malaysia menyandarkan harapan kepadanya untuk meraih pingat emas pertama buat negara di pentas Olimpik.

    “Saya mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, namun gagal memenangi pingat emas. Kekalahan kali ini mungkin sesuatu yang sangat menyedihkan kerana Malaysia tidak pernah mendapatkannya.

    “Saya sendiri dan seluruh rak­yat Malaysia berharap pi­ngat emas dapat dijelmakan kali ini tetapi misi tersebut tetap menemui kegagalan. Saya sudah memberikan segala-galanya apa yang saya ada tetapi lawan saya (Chen Long) bermain lebih baik,” ujarnya.

    Katanya, Rio merupakan per­sembahan terbaik yang diberikan oleh semua atlet negara yang beraksi dalam acara masing-masing kerana berjaya membawa pulang empat pingat perak serta satu gangsa.
    “Saya berharap momentum cemerlang seperti ini dapat diteruskan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus mengakhiri penantian untuk meraih emas pertama negara,” jelasnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ‘Rio Pentas Olimpik Terakhir Saya’ Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top