My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 23 August 2016

    Rockoustic Wings Terhebat!


    Menonton persembahan akustik sememangnya memberi satu perasaan yang berbeza, lebih-lebih lagi jika yang membuat persembahan itu ialah band rock. Dengan menampilkan beberapa gitar dan bass akustik, dram menggunakan ‘brush drumstick’, piano dan percussion, setiap lagu akan menjadi lebih segar apabila digubah semula dengan nafas baru. 

    Inilah yang dirasai ketika menonton persembahan istimewa Wings ‘Rockoustic’ di Teh Tarik Place, pusat beli-belah Setapak Central, Kuala Lumpur, malam kelmarin. Sejak ditubuhkan 31 tahun lalu, Wings amat jarang mengadakan persembahan akustik dalam skala yang besar. Kali pertama dan terakhir dalam Konsert Wings Versi Tanpa Distortion di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jun 2014.

    Malam kelmarin, Wings yang dianggotai Awie (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) membuktikan mereka cukup hebat dalam versi akustik. Persembahan mereka turut diiringi pemuzik berpengalaman seperti Hillary Ang (gitar), Ujang Tokimon (gitar), Azizi (piano dan keyboard), Izatt (percussion) dan tiga penyanyi latar.

    Apa yang menarik, persembahan di ruang kecil dalam premis berkenaan disifatkan sebagai cukup eksklusif. Penganjur hanya menjual 100 tiket berharga RM488, RM388, RM288 dan RM88 berdasarkan siapa cepat dia dapat.

    Hasilnya, dalam tempoh beberapa hari saja tiket habis dijual. Apa yang pasti, penonton yang semuanya peminat tegar Wings cukup bertuah kerana persembahan mereka pada malam itu begitu mantap, bertenaga dan selamba!

    Tanpa alat efek distortion (kecuali Joe memainkan gitar elektrik untuk melakukan solo gitar dalam beberapa lagu) yang menjadi tunjang kepada muzik rock, pastinya Wings berdepan cabaran dalam membawakan lagu-lagu rock mereka. Hasilnya kreativiti mengatasi segala-galanya apabila Joe bersama Hillary dan Ujang cukup menyerlah dengan permainan serta gitar solo akustik masing-masing.

    Wings memulakan persembahan dengan lagu yang amat jarang dimainkan dalam setiap konsert mereka iaitu Dalam Kehadiran Sofiah. Versi asal lagu daripada album keempat Jerangkung Dalam Almari itu ialah blues. Malam kelmarin, lagu berkenaan digubah semula dengan rentak lebih pantas dan segar.

    Mereka seterusnya mempersembahkan lagu Bujang Senang, Perhentian, Potret Monalisa, Hikayat Penuh Ranjau, Sayap Ilusi dan Taman Rashidah Utama. Walaupun dalam versi akustik, muzik hard rock dan rock & roll yang sinonim dengan Wings tetap terserlah seperti lagu Bujang Senang.

    Apabila dinamakan set akustik, perubahan dari segi gubahan muzik pasti berlaku dan Wings menggubah semula lagu berkenaan kepada versi lebih ‘upbeat’ dan ‘fast’ tanpa mengganggu struktur asalnya. Ia juga memberi peluang kepada Wings tampil dengan genre muzik berbeza seperti blues yang boleh didengar dalam hampir semua solo dan permainan gitar mereka pada malam itu.

    Wings turut melakukan segmen ‘tribute’ dengan menyampaikan lagu Ku Di Halaman Rindu (nyanyian asal Lefthanded) dan Ibu (Blues Gang) yang menyaksikan dua lagu terbabit dibawakan dalam versi mereka sendiri. Apa yang pasti, Joe dilihat sebagai ‘mastermind’ dalam menghasilkan gubahan baru lagu-lagu mereka.

    Perahan idea bersama tiga lagi anggota Wings bersama pemuzik undangan terbabit menjadikan muzik Wings lebih meluas dan mantap. Dalam pada itu, Wings turut mengadakan segmen medley yang dinamakan Awie sebagai ‘medley teh tarik’.

    Ia menyaksikan Wings membawakan lagu-lagu ballad popular mereka sejak daripada album pertama seperti Intan Ku Kesepian, Biru Mata Hitamku, Misteri Mimpi Syakila dan Semalam Yang Hangat. Lagu ke-11 yang dimainkan mereka iaitu Midnight Blues paling menarik.

    Versi asal lagu ciptaan Datuk M Nasir yang pernah mencetuskan kontroversi lebih 26 tahun lalu itu lebih kepada blues rock. Namun, malam kelmarin mereka membawanya dalam versi ‘fusion’ menggabungkan elemen blues, rock & roll dan disuntik dengan elemen ‘country’. Ia membuatkan penonton seolah-olah berada dalam kelab koboi sebagaimana dalam filem-filem ‘wild west’ Amerika Syarikat.

    Wings seterusnya mempersembahkan lagu popular terbaru mereka Ingatkan Dia, Harapan dan lagu yang paling dinanti-nantikan iaitu Sejati. Selain itu, Wings turut mencipta kelainan apabila menutup persembahan dengan lagu Rantai yang jarang dilakukan dalam setiap konsert mereka.

    Sementara itu, Pengurus Projek Wings Rockoustic, Fahrul Razi Kassim berkata, persembahan itu memang diadakan eksklusif untuk peminat setia Wings dan hanya 100 tiket dijual. “Semuanya berdasarkan siapa cepat dia dapat. Dengan ruang yang kecil, sesi persembahan juga lebih intim di mana penonton berada lebih dekat dengan Wings,” katanya.

    Fahrul Razi berkata, ini antara usaha mereka untuk mencuba perniagaan dalam bidang penganjuran konsert selain memperkenalkan lokasi Teh Tarik Place di Setapak Central sebagai antara lokasi strategik mengadakan persembahan muzik dalam skala kecil.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rockoustic Wings Terhebat! Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top