My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 14 October 2016

    Bajet 2017 : Langkah Tepat Belanja Berhemah


    Bajet 2017 yang akan dibentangkan dalam Parlimen pada 21 Oktober ini bakal menyaksikan lebih banyak belanjawan berhemah kerajaan dalam mencapai sasaran defisit fiskal sifar peratus menjelang 2020, sekali gus mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih mapan dan berdaya maju. 

    Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, setakat tahun ini Malaysia mempunyai kadar defisit fiskal yang masih kukuh iaitu sekitar tiga peratus dan kerajaan turut menunjukkan komitmennya dalam mengurangkannya secara berperingkat.

    Beliau berkata, meskipun situasi ekonomi ketika ini mencabar namun kerajaan akan tetap fokus dalam mengurangkan kadar defisit fiskal memandangkan kerajaan terpaksa mengambil kira laporan yang dikeluarkan agensi penarafan seperti Fitch’s Ratings dan Moody’s.

    “Sudah tentu kerajaan perlu mengambil kira laporan penarafan agensi penarafan utama global kerana ia memberikan gambaran serta perspektif semasa kedudukan ekonomi dan bagaimana kerajaan menguruskan belanjawan setiap tahun.

    “Berdasarkan situasi semasa, adalah penting untuk kerajaan dalam melaksanakan pengembangan bajet iaitu berbelanja lebih dalam menyuntik kembali sentimen pasaran, sekali gus mencergaskan ekonomi yang perlahan ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas Forum Bicara BH Siri Ketiga - ‘Bajet 2017: Harap dan Realiti’ di sini, semalam.

    Hadir sama, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk Wira Jalilah Baba, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

    Mengulas lanjut, Zakariah berkata, beliau menjangkakan kerajaan mengambil langkah melaksanakan pengembangan bajet pada Bajet 2017 berikutan ekonomi global kekal tidak menentu dalam tempoh ini dan alternatif lain adalah mengukuhkan kebergantungan pasaran domestik.

    “Untuk mencapai paras kedudukan ekonomi yang lebih baik, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal selia perbelanjaan dan hasil yang diraih kerana segmen swasta semakin perlahan selain hutang isi rumah yang semakin meningkat,” katanya.

    Katanya, berdasarkan kajian Indeks Sentimen Pengguna oleh MIER masih lagi berlegar pada kadar skor bawah 100 yang mana ia menunjukkan situasi kurang memberangsangkan dan ia memerlukan rangsangan dari pelaburan swasta serta peranan kerajaan dalam merancakkan kembali ekonomi. 

    Sementara itu, ketika ditanya jangkaan atau saranan kepada kerajaan pada Bajet 2017, beliau berkata, kerajaan dilihat akan mula beralih untuk fokus kepada perbelanjaan pembangunan kerana ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bajet 2017 : Langkah Tepat Belanja Berhemah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top