My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 24 October 2016

    Bisa Anak Tempatan





    Saingan Jelajah Malaysia (JM) 2016 membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat muda yang mampu diketengahkan bagi mencapai kejayaan pada masa depan. Bagi sasaran jangka pendek, prestasi yang dipamerkan menjanjikan sinar untuk pelumba negara menghadirkan kilauan emas dalam acara lebuh raya dan trek endurance pada Sukan SEA tahun depan. 

    Paling mencuri tumpuan pada edisi tahun ini pastinya pasukan NSC Mycron yang melakar kejutan terbesar memenangi satu peringkat perlumbaan menerusi Mohamad Zawawi Azman. Pelumba berusia 22 tahun berkenaan menewaskan dan meninggalkan sejumlah pelumba profesional dalam dan luar negara untuk memenangi peringkat keempat dari Machang ke Gong Badak.

    Bukan saja Zawawi namun rakan sepasukannya, Irwandie Lakasek (gambar kecil) turut mencuri tumpuan apabila dua kali menaiki podium selaku pemenang tempat kedua dan ketiga. Semua kejayaan itu adalah hasil semangat kerjasama berpasukan yang tinggi.

    Ia membuktikan skuad pembangunan negara di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara berada di landasan tepat untuk tampil cemerlang dalam acara trek endurance di Sukan SEA tahun depan. Turut cemerlang pastinya Nik Mohd Azwan Zulkiflie yang tampil mewakili skuad negara apabila muncul pelumba tempatan terbaik.

    Pelumba PDRM itu membuktikan dirinya sudah berkemampuan untuk diberikan kepercayaan mewakili negara tanpa terus mengharapkan pelumba veteran.

    Tidak ketinggalan kecemerlangan yang dipamerkan Terengganu Cycling Team (TSG) terutamanya menerusi pakar pecutnya Mohd Harrif Salleh yang hampir memenangi gelaran Raja Pecut namun dihampakan pada peringkat terakhir perlumbaan. Harrif membuktikan dia masih berkaliber dan konsisten untuk kekal mengepalai skuad negara apabila memenangi saingan pecut beramai-ramai di peringkat ketiga.

    Bagaimanapun, harus diakui kelemahan ketara pelumba tempatan apabila bersaing dalam pendakian yang tinggi seperti kategori hors, sesuatu yang harus diberikan perhatian kepada setiap kelab dan pasukan dalam membentuk pelumba yang berwibawa pada masa depan.

    Dari aspek penganjuran, Poloton Resources perlu memastikan kelemahan yang wujud dan berlaku pada edisi tahun ini diperbaiki agar kepercayaan semua pihak yang terbabit terhadap perlumbaan tertua negara tidak terhakis dan dipandang sepi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bisa Anak Tempatan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top