My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 1 October 2016

    ESSCom Perkemas SOP Kawasan Larangan 11 Pulau Dan 2 Terumbu Daerah Semporna




    Draf cadangan Peraturan Tetap Operasi (SOP) yang dibangunkan dalam bengkel SOP di Kota Kinabalu, baru-baru ini, sudah diperkemas dan diteliti semula pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom). 

    Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bullah berkata semakan dan perbincangan semula draf itu penting dalam usaha menghasilkan satu SOP yang terselaras dan menyeluruh.

    “Draf SOP ini mengandungi semua gerak kerja, peraturan dan undang-undang agensi yang berkaitan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan untuk 11 pulau dan dua terumbu di sini, kelmarin.

    Turut hadir, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Mariati Robert, Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCom Rohiman Rahia, Timbalan Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal ESSCom ACP Victor Santos, Timbalan Ketua Staf Penguatkuasaan Maritim ESSCom ACP Wan Shazali Wan Abdul Rahman dan Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin ASP Safaruddin.

    Chacho yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan Daerah Semporna berkata SOP itu akan menjadi rujukan dan kegunaan semua agensi pelaksana. Katanya perkara itu termasuklah berkaitan skop di lapangan dalam mengurus, mengawal selia, menguatkuasa peraturan dan undang-undang di kawasan berkenaan.

    “Banyak agensi penguat kuasa dan keselamatan terlibat dalam menguatkuasakan peraturan dan undang–undang di kawasan ini seperti Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah. Turut sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tugas Bersama Dua, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Jabatan Tanah dan ukur, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri.

    “SOP ini akan menjadi rujukan dan panduan semua agensi berkenaan dalam membantu ESSCom mengawal selia dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang berkaitan,” katanya.

    Menurutnya SOP itu akan menyediakan satu kerangka struktur pengurusan dan kawal selia untuk mewujudkan satu keseragaman peraturan di kawasan yang terlibat. Chacho berkata pembentukan SOP itu akan membantu pihak ESSCom di dalam mengawal selia dan memperkasa kawasan berkenaan terutamanya dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan.

    “Pengisytiharan ini tidak akan menjejaskan aktiviti sosioekonomi setempat termasuk aktiviti nelayan pantai, penanaman rumpai laut dan pelancongan,” katanya. Untuk rekod, perintah Kawasan Larangan itu telah diluluskan perisytiharannya oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 November 2015, lalu.

    Pulau dan Terumbu berkenaan dikenal pasti sebagai laluan dan ‘staging points’ penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah khasnya penculikan dan rompakan di perairan Semporna dan Telukan Lahad Datu.

    Sebanyak 11 pulau berkenaan termasuklah Pulau Sibuan, Pulau Maiga, Pulau Gaya, Pulau Mantabuan, Pulau Sibangkat, Pulau Selakan, Pulau Tetagan, Pulau Bohey Dulang, Pulau Kulapuan, Pulau Bohayen, Pulau Timba-Timba, manakala dua terumbu pula ialah Terumbu Sibangkat dan Terumbu Batura.

    Penubuhan Jawatankuasa Kerja Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan perairan Semporna dan keahliannya telah diperakukan oleh Ketua Menteri Sabah pada 25 Februari 2016.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ESSCom Perkemas SOP Kawasan Larangan 11 Pulau Dan 2 Terumbu Daerah Semporna Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top