My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 1 October 2016

    Gempita Darul Aman


    Kedah berjaya memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila mengatasi PDRM 2-1 di Stadium Darulaman malam tadi sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. 

    Ketiga-tiga gol pada perlawanan itu terhasil menerusi sepakan penalti dan Helang Merah bimbingan Tan Cheng Hoe mempamer aksi menarik sambil mendapat sokongan padu kira-kira 30,000 penyokong setia mereka.

    Sejak wisel dibunyikan pengadil, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan untuk memburu gol awal dan pada minit ketiga, cubaan Shane Edward Smeltz hasil hantaran Baddrol Bakhtiar sedikit tersasar di kiri gawang pelawat. Gol pertama Kedah hadir pada minit ke-8 melalui penalti yang diambil sendiri oleh Thiago Augusto selepas dia dijatuhkan pertahanan PDRM Mohd Eskandar Ismail.

    Selang dua minit, PDRM bangkit mengikat kedudukan, juga menerusi penalti yang disempurnakan Guilherme De Paula apabila Christopher Keli dijatuhkan dalam kotak penalti. Kedah terus melakukan asakan ke pintu gol PDRM bagi memburu gol tambahan namun gagal menyempurnakan beberapa percubaan.

    PDRM turut mendapat peluang pada minit ke-28 melalui percubaan kapten pasukan Safuan Baharudin yang melakukan rembatan jauh namun bola tersasar ke kiri pintu gol Kedah. Di hujung babak pertama, pemain pelawat Fakhrul Aiman mencemaskan gawang tuan rumah Kedah namun serangannya berjaya disekat penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal dan kedudukan 1-1 kekal hingga rehat.

    Sebaik babak kedua bermula, Kedah mendapat sepakan percuma selepas Baddrol dijatuhkan namun cubaan Liridon Krasniqi berjaya ditepis penjaga gol pelawat Muhammad Naziq Nadzli. Kedah menggandakan usaha mengatur serangan namun benteng pertahanan PDRM tetap berjaya mematahkan serangan.

    Gol kemenangan Kedah dihasilkan Krasniqi selepas dia menyempurnakan penalti yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-78 apabila Augusto dikasari. Kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir kedua, 15 Oktober nanti.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gempita Darul Aman Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top