My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 24 October 2016

    Grand Bazar, Syurga Membeli belah


    Tujuh pintu utama, 22 pintu kecil dan ada lebih 4,000 kedai di kawasan seluas 30.7 hektar. Fakta ini sudah cukup untuk menggambarkan keluasan Grand Bazaar di Istanbul, Turki. Diiktiraf sebagai pasar tertutup terbesar dan paling lama di dunia, Grand Bazaar dikunjungi antara 250,000 hingga 400,000 pengunjung setiap hari dan dikatakan antara pusat beli-belah tertua di dunia. 

    Tidak hairanlah ia disenaraikan sebagai antara tempat paling ramai dikunjungi pelancong dengan 91,250,000 kunjungan setahun. Terletak di kawasan bandar lama di bahagian Eropah (Istanbul unik kerana bandar raya ini berada di dua benua - Asia dan Eropah - yang dipisahkan dengan Selat Bosphorus), Grand Bazaar dikenali penduduk tempatan sebagai Kapalicarsi yang bermaksud pasar tertutup atau Buyuk Carsi (pasar besar).

    Berpeluang mengunjungi Istanbul baru-baru ini atas jemputan Turkish Airlines, penulis turut dibawa ke pasar berkenaan yang bukan sahaja memiliki kedai menjual pelbagai jenis barangan, malah terpesona dengan seni binaannya. Ini kerana pembinaan Grand Bazaar bermula pada 1455, sejurus selepas kerajaan Uthmaniah menguasai Istanbul.

    Mulanya, Sultan Mehmet II yang memerintah ketika itu mewujudkan pasar berkenaan hanya untuk dijadikan tempat urus niaga tekstil sebelum jenis perniagaan bertambah apabila kawasan perniagaan itu diperbesarkan. Sebut apa sahaja barang yang anda kehendaki, hampir semuanya ada di sini.

    Daripada tekstil, pelbagai jenis pakaian, makanan dan manisan Turki, rempah-ratus, cenderamata, barangan kulit, barang kemas sama ada emas, perak atau permata, perabot, seramik, permaidani, minyak wangi dan peralatan elektrik-semuanya anda boleh beli di sini.

    Faktor ini menyebabkan melancong ke Istanbul dikatakan tidak lengkap jika anda tidak berkunjung ke Grand Bazaar. Menariknya, barangan jualan di pasar ini disusun dan dipamer dengan cukup kreatif untuk menarik perhatian pelanggan.

    Sebaik melangkah masuk ke bazar berkenaan melalui pintu satu bersama dua lagi rakan media dari Malaysia, penulis terkejut apabila terdengar laungan dalam bahasa Melayu: “Mari sini bang, mari sini kakak. Semua murah-murah.”

    Tanpa disangka-sangka, ramai peniaga di situ boleh berbahasa Melayu. Si peniaga jersi bola sepak yang memperkenalkan dirinya Mehmud kemudian memberitahu bukan perkara pelik jika ada peniaga di situ boleh berbahasa Melayu. “Hari-hari ada orang Malaysia dan Indonesia datang sini. Sebab itu ada peniaga di sini boleh cakap Melayu,” katanya yang mengakui bahasa Melayu mudah dipelajari. 

    Pemandu pelancong, Cem Balsun yang mengiringi 130 wartawan dari beberapa negara di Asia sebelum itu mengakui memang ramai warga Malaysia dan Indonesia datang ke Turki. “Ada yang datang bersendirian atau berkumpulan. Kalau musim umrah, ramai jemaah transit sehari dua di Istanbul ketika dalam perjalanan pergi ke Makkah atau pulang ke tanah air,” katanya.

    Bagaimanapun, jangan mudah terpesona dengan kebolehan peniaga Turki berbahasa Melayu kerana anda mungkin akan ditawarkan harga mahal ketika membeli barangan jualannya. Penulis bernasib baik kerana sebelum ke bazar berkenaan, Cem memberi tip untuk membeli-belah di situ.

    “Tawar hingga separuh harga. Biasanya peniaga akan letak harga 100 hingga 120 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar,” katanya.

    Kemahiran tawar-menawar bergantung kepada diri sendiri tetapi jika harga diminta sudah dipersetujui, anda kena membelinya. Jika tidak, bersedialah untuk dimarahi atau dimaki. Grand Bazaar yang dibuka setiap hari kecuali Ahad beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

    Lebih menarik, pasar ini terletak tidak jauh dari kawasan tumpuan utama pelancong di Istanbul, iaitu Masjid Biru dan Hagia Sophia. Jika berjalan dari dua lokasi berkenaan, anda hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.

    Itupun jika anda tidak singgah minum kopi Turki atau menjengok macam-macam kedai di sepanjang perjalanan. Perkhidmatan bas, teksi dan trem juga disediakan tetapi sebagai pelancong lebih baik anda berjalan kerana di sepanjang laluan itu pelbagai jenis kedai boleh ditemui. Usah takut tersesat. Tanya saja kepada penduduk tempatan, mereka pasti membantu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Grand Bazar, Syurga Membeli belah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top