My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 21 October 2016

    Hariff Salleh Unggul Di Pasir Puteh




    GILIRAN skuad Terengganu Cycling Team (TSG) pula mengungguli perlumbaan peringkat ketiga kejohanan Jelajah Malaysia (JM) 2016 semalam. Pada perlumbaan yang bermula dari Gua Musang hingga Pasir Puteh, Kelantan itu, pelumbanya, Mohd. Harrif Saleh berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan pertama dengan catatan masa 4 jam 49 saat. 

    Selain meraih podium pertama, perlumbaan sejauh 169.1 kilometer (km) itu turut menyaksikan Harrif dinobatkan selaku raja pecut (jersi biru) dengan kutipan 30 mata. Menurut Hariff, kejayaan itu bakal menjadi pemangkin semangat untuk terus beraksi cemerlang pada perlumbaan peringkat keempat bermula dari Machang, Kelantan hingga Gong Badak, Terengganu hari ini.

    Jelas pelumba berusia 28 tahun itu lagi, selain memiliki kelebihan menerusi laluan landai, faktor beraksi di laman sendiri turut menjadi pemangkin kepadanya serta rakan sepasukan yang lain untuk meneruskan dominasi mereka pada dua lagi peringkat perlumbaan.

    “Esok (hari ini) saya perlu berwas­pada dengan pelumba dari skuad Kinan Cycling (Shigetomo Nakanishi) serta KSPO (Joon Yong Seo) kerana mereka dilihat sebagai pencabar utama saya untuk bergelar raja pecut.

    “Bagaimanapun, memandang­kan perlumbaan bakal melalui kampung halaman, saya menjadi lebih bersemangat untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih hari ini (semalam). Esok (hari ini) kami akan melalui laluan pantai (landai) yang tidak mendatangkan masalah kepada saya bagi mencipta keputusan cemerlang,” ujarnya.

    Pelumba dari pasukan NSC-Mycron, Irwandi Lakasek turut mencipta kejutan pada perlumbaan semalam menerusi kejayaannya meraih kedudukan ketiga dengan catatan masa sama, manakala tempat kedua menjadi milik pasukan KSPO dari Korea Selatan, Sung Baek Park.

    Dua pelumba dari skuad Pishgaman Giant iaitu Arvin Moazami Godarzi dan Amir Kolahdouz Hagh bagaimanapun masih kekal selaku pemilik jersi kuning dan polka dot merah. Perlumbaan peringkat keempat hari ini bakal menyajikan cabaran perlumbaan sejauh 125.2km.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hariff Salleh Unggul Di Pasir Puteh Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top