My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 14 October 2016

    Kesan Kanser Payudara Ketika Mandi





    SEAWAL pukul 6 pagi, Ahad lalu, sekumpulan peserta tiba di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning, Shah Alam. Mereka ingin menyertai larian yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan payudara melalui acara Be My Reason Shower Run 2016. Selain peserta awam, turut serta ialah individu survival kanser. 

    Salah seorang peserta merupakan isteri kepada pelakon Beto Khusyairy, Tisha Shahar. Menurutnya, dia mengesan ketulan kecil pada payudaranya ketika sedang mandi pada awal Mac 2016. “Ketika mandi saya melakukan pemeriksaan sendiri dan saya rasa seperti ada ketulan pada payudara kanan. Namun, saya tidak mengendahkan perkara itu kerana menyangka ia adalah cyst.

    “Apabila masuk hari ketiga, saya mula tidak sedap hati dan terus memaklumkan perkara itu kepada suami sehari sebelum bercuti ke Australia,” katanya yang bertemu doktor selepas 10 hari pulang dari percutian tersebut.

    Kompleks Cyst merupakan sejenis penyakit ketumbuhan benjol kecil berbentuk cecair berdekatan sendi atau tendon pesakit. Wanita berusia 36 tahun itu berkata, dia telah melakukan pemeriksaan pada kedua-dua belah payudaranya.

    “Tanpa disangka doktor memberitahu ketulan pada payudara kiri sudah kompleks manakala sebelah kanan tidak perlu dirisaukan. “Maksudnya, jika payudara kiri tidak dibuang dikhuatiri jangkitan itu akan menjadi kanser dan merebak menjadi lebih teruk. Beto menyuruh saya melakukan pembedahan membuang payudara kiri,” ujarnya yang sudah lapan tahun melayari bahtera bersama aktor itu.

    Kini, setiap tiga hingga enam bulan sekali, Tisha akan membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan tahap kesihatannya. Katanya, nasibnya baik kerana melakukan pemeriksaan sendiri dengan lebih awal. Justeru, Tisha memberi saranan kepada semua wanita agar lakukan pemeriksaan payudara di rumah terutamanya ketika mandi.

    Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang survival kanser payudara tahap tiga, Wan Musfirah Aimi Wan Supian, 32. Katanya, kanser adalah pembunuh dalam senyap. Jika tidak melakukan pemeriksaan, sukar untuk mengesan penyakit itu.

    Ketika ditanya bagaimana dia menyedari menghidap kanser tersebut, Aimi memaklumkan dia sering berasa lenguh dan sengal-sengal pada bahagian bawah ketiak sebelah kiri.

    Tahap ketiga

    “Saya sangka hanya cyst biasa sebabnya sudah tiga kali saya membuat pembedahan membuang cyst. Pada 2 Januari 2015, saya tidak tahan sakit dan pergi berjumpa doktor. Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan saya hanya mengalami sakit urat dan diberi ubat tahan sakit.

    “Namun jika keadaan masih sama doktor menyuruh berjumpa semula untuk melakukan pemeriksaan biopsi,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

    Segalanya berubah pada tarikh 24 Januari 2015 apabila ujian biopsi menunjukkan Aimi positif kanser payudara tahap dua. Dunianya gelap gelita, dia sukar menerima hakikat menghidap kanser kerana ahli keluarganya bebas daripada penyakit itu.

    “Saya mengambil masa hampir enam bulan untuk membuat persediaan mental dan fizikal sebelum melakukan pembedahan. Pada 15 Jun lalu, saya dibedah dan melalui pemeriksaan terhadap kanser yang dikeluarkan itu, doktor memberitahu saiz kanser tersebut sudah mencapai tahap ketiga,” katanya.

    Kini, Aimi yang telah menjalani beberapa rawatan kemoterapi perlu melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan dia benar-benar sihat. Atas dasar itu, Aimi sering menyertai aktiviti riadah seperti acara larian bagi membentuk gaya hidup lebih sihat. Malah, dia sering mengambil makanan seimbang supaya kesihatannya berada dalam keadaan baik.

    Dalam pada itu, Ketua Klinik Pemeriksaan Kesihatan dan Kanser, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin berkata, masih ramai yang tidak mahu membuat pemeriksaan mamogram bagi mengesan kanser kerana diselubungi pelbagai masalah dan alasan. 

    “Alasan yang sering didengari ialah keturunan mereka bebas kanser, jadi mereka juga bebas daripada penyakit itu. Selain itu, ada juga yang memberitahu ujian mamogram terlalu mahal atau tidak mempunyai masa untuk melakukan pemeriksaan,” jelasnya sambil memberitahu 60 peratus pesakit kanser berusia antara 40 hingga 60 tahun.

    Obesiti

    Tambah Dalilah, sebenarnya terdapat cara mudah yang boleh dilakukan masyarakat iaitu dengan membuat pemeriksaan payudara sendiri ketika mandi. “Pemeriksaan sendiri payudara adalah satu amalan yang penting bagi pencegahan awal untuk menyelamatkan nyawa.

    “Mandi adalah masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan kerana ia tidak memerlukan usaha keras mahupun langkah istimewa,” jelasnya.

    Selain itu, amalkan gaya hidup sihat seperti diet seimbang dan melakukan senaman bagi memperoleh berat badan ideal. Katanya lagi, empat daripada 10 rakyat di negara ini mengalami obesiti yang boleh meningkatkan risiko kepada kanser.

    “Bagi mengatasi masalah itu semaikan hari-hari anda dengan melakukan aktiviti riadah seperti menyertai acara larian pada hujung minggu. Ia bukan sahaja dapat membantu prestasi kesihatan malah mendorong anda untuk hidup lebih positif,” katanya.

    Pada acara larian Be My Reason Shower Run 2016 itu, cek bernilai RM25,000 diberikan kepada NCSM sebagai dana sumbangan atas usaha persatuan itu membantu golongan pesakit kanser.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kesan Kanser Payudara Ketika Mandi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top