My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 18 October 2016

    Lagu Rock Tak Semestinya Menjerit


    Penyingkiran dua peserta genre rock program realiti 3 Juara terbitan TV3 iaitu Rahra dan Kelvin pada konsert minggu pertama bukan keputusan mudah bagi penerbit, Edrie Hashim. Menurut Edrie, peserta bukan saja dinilai dari segi persembahan vokal, tetapi potensi untuk pergi lebih jauh dalam industri muzik tanah air. 

    “Semua peserta ada bakat menyanyi, tetapi saya mencari peserta yang mempunyai nilai komersial seperti gaya dan personaliti menarik. Memang sukar untuk saya membuat keputusan, namun perlu fikir sejauh mana setiap peserta boleh pergi selepas tamat program realiti ini,” katanya selepas konsert yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam, malam kelmarin.

    Konsert selama dua jam 30 minit itu menyaksikan Kudien, Arill, Arul, Ayien, Eva Maria dan Indra berjaya ke peringkat seterusnya program realiti berkenaan. Edrie yang juga komposer dan pemuzik terkenal berkata, menyampaikan lagu rock tidak semestinya memerlukan penyanyi menjerit kerana paling penting adalah tahap persembahan.

    “Secara keseluruhannya, persembahan peserta pada konsert pertama bagus cuma ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki. Enam peserta terpilih ini masing-masing ada kelebihan tersendiri seperti kekuatan dalam genre old school, rock kapak dan soul,” katanya.

    Bagi pusingan persaingan nanti, Edrie berkata, peserta akan membuat persembahan berdasarkan lagu yang dipilihnya untuk mereka. “Untuk konsert pertama genre balada pada minggu depan pula, saya dimaklumkan peserta di bawah kelolaan Ajai juga hebat.

    “Berbeza dengan rock, balada ini bermain dengan emosi dan saya mahu melihat sama ada peserta dapat betul-betul menonjolkan perasaan itu,” katanya.

    Sementara itu, Edrie turut mendedahkan kesukaran mencari peserta berbakat menyanyi lagu rock berikutan ramai yang menghadiri sesi uji bakat bagi genre itu mempersembahkan balada dan pop. 

    “Rock menarik kerana dapat mempersembahkan lagu dengan pelbagai gaya. Namun, ramai kurang pengetahuan mengenai rock dan hadir menyanyikan genre lain,” katanya. Katanya, sesi uji bakat bagi genre rock di Kuala Lumpur pada September lalu dihadiri lebih 1,000 peserta.

    Kelvin sakit gigi

    Peserta dari Melaka, Kelvin Thein ketika ditemui selepas konsert mengakui kurang berpuas hati dengan tahap persembahannya yang terjejas akibat kesakitan berpunca akibat pertumbuhan gigi bongsu. “Kesakitan itu menjejaskan nyanyian dan membuat­kan saya sukar membuat persiapan untuk persembahan,” katanya.

    Namun, anak muda berusia 21 tahun ini nekad mengejar impiannya sebagai penyanyi dan ingin mencuba nasib dalam program realiti The Voice United Kingdom, tahun depan. “Sebelum menyertai 3 Juara, saya menetap di Amsterdam, Belanda selama setahun dan menyanyi di bar dan kelab terkenal negara itu dan London.

    “Semoga impian menyertai The Voice tercapai kerana mahu menggunakan peluang itu sebagai landasan untuk mencari syarikat rakaman,” katanya.

    Minat menulis sajak dan muzik gelap, Kelvin tertarik untuk menghadiri uji bakat 3 Juara selepas mendapat tahu program itu menyelitkan tiga genre berbeza iaitu rock, balada dan irama Malaysia. “Seorang rakan mencadangkan saya menyertai 3 Juara dan tidak sangka berpeluang naik ke pentas,” katanya yang menyampaikan lagu Highway Star nyanyian asal Deep Purple.

    Terdahulu, konsert turut dimeriahkan dengan persembahan Amy Search yang juga juri jemputan menerusi lagu Gita Rama Sita dan Fantasia Bulan Madu. Selain itu, Khir Rahman turut memeriahkan acara dengan persembahan Tika yang menjadi lagu tema filem Rock Oo!.

    Konsert minggu depan pula menampilkan persembahan daripada peserta balada diikuti irama Malaysia pada 6 November ini. Pertandingan yang memperkenalkan format sistem liga ini menyaksikan peserta berentap secara latu lawan satu dalam kategori masing-masing setiap minggu untuk mengumpul mata dari undian penonton, juri tetap serta penerbit.

    Selain Edrie dan Ajai sebagai penerbit genre rock dan balada, komposer terkenal Pak Ngah pula sebagai penerbit irama Malaysia. Peserta dengan mata terendah akan tersingkir dan format sama diaplikasikan pada persembahan separuh akhir serta final bagi menentukan pemenang bagi setiap kategori.

    Juara setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala pemenang tempat kedua menerima RM20,000. Program 3 Juara dihoskan Mira Filzah, Ammar Titan dan Issey Titan, bersiaran pada jam 9 malam, setiap Ahad di TV3.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lagu Rock Tak Semestinya Menjerit Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top