My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 1 October 2016

    Manual Amalan Khusus Bulan-Bulan Islam





    SELEPAS membelek beberapa buah buku yang tersusun rapi di atas rak, Mohamed Hidayat Wajdi, 21, menjadi semakin buntu kerana tidak mampu membuat keputusan mengenai buku mana yang harus dibeli. Kesemua buku yang ada di depannya itu merupakan bahan bacaan berat berkaitan hadis dan amalan-amalan yang dianjurkan Islam. 

    Dia akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan nasihat daripada kakitangan kedai buku berhubung bahan bacaan yang sesuai dengan keperluannya. “Kakitangan kedai buku tersebut mengesyorkan kepada saya untuk membeli naskhah Ensiklopedia Amalan Setahun yang merupakan buku terjemahan daripada kitab lama berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu.

    “Berdasarkan penelitian, buku tersebut sangat sesuai untuk dibaca umat Islam di negara ini khususnya golongan muda seperti saya kerana bahasa yang digunakan mudah difahami selain kandungannya yang padat dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Islam sepanjang tahun. 

    “Lebih menarik, setiap hujah yang dinyatakan di dalamnya akan disertakan dengan sumber yang sahih,” kata pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu. Dia membeli buku tersebut pada harga RM80 senaskhah.

    Buku Ensiklopedia Amalan Setahun terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru) merupakan terjemahan daripada kitab asal berbahasa Arab, Latha’if al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-’Am min al-Wazha’if (Latha’if al-Ma’arif) karangan ilmuwan Islam terkemuka, Imam Ibnu Rajab al-Hanbali.

    Ia menyenaraikan amalan-amalan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim pada setiap bulan, bermula dari bulan Muharam hinggalah Zulhijah. Penyelaras Terjemahan Telaga Biru, Muhammad Yusof A. Kadir ketika ditemui berkata, projek menghasilkan buku terjemahan itu berlaku selepas timbul idea bagi menerbitkan naskhah terjemahan berdasarkan kitab turath.

    Kitab turath merupakan kitab zaman dahulu yang dikarang oleh para ilmuwan terkenal dalam sesuatu bidang berkaitan Islam seperti fekah dan hadis. “Pada masa kini, buku-buku terjemahan daripada kitab turath yang diterbitkan dan dipasarkan di negara ini masih belum banyak terutama yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

    “Jadi, kami memilih untuk menjalankan projek terjemahan kitab Latha’if al-Ma’arif karangan Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali kerana merasakan kitab tersebut sangat mudah difahami oleh kebanyakan orang selain isi kandungannya juga padat dengan hujah-hujah yang berlandaskan hadis-hadis sahih. 

    Rebut peluang

    “Beliau merupakan seorang ilmuwan Islam yang pakar dalam hadis dan fekah,” katanya. Jelas Muhammad Yusof lagi, kitab Latha’if al-Ma’arif yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu itu mengandungi amalan-amalan khusus yang seharusnya diamalkan oleh setiap orang Islam menurut turutan bulan Islam.

    Jelasnya, setiap bulan mengandungi kelebihan-kelebihan tertentu dan umat Islam seharusnya merebut peluang untuk melaksanakannya bagi mencari keredaan Allah. Misalnya bulan Muharam, umat Islam digalakkan untuk melakukan amalan puasa sunat Muharam atau dikenali sebagai puasa Asyura. 

    “Muharam ialah bulan mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Malah hadis riwayat Muslim ada menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Allah iaitu Muharam, manakala solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.

    “Seperti juga Muharam, buku terjemahan itu juga turut menjelaskan secara terperinci kelebihan-kelebihan yang ada pada bulan-bulan lain,” katanya.

    Antara bab yang dibincang dan diperjelaskan berdasarkan amalan sunat setiap bulan adalah seperti kelebihan bulan Muharam dan sepuluh hari pertamanya; kelebihan qiamullail, perbahasan tentang hari Asyura, penceritaan tentang kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW, hukum berperang pada bulan haram, hukum berkaitan bulan Rejab, puasa bulan Syaaban dan fadhilat puasa.

    Perkara lain yang dijelaskan adalah kelebihan beramal pada 10 hari pertama bulan Zulhijah, kelebihan hari Arafah dan hari raya korban, perbahasan tentang hari tasyrik dan tiga musim berbeza iaitu musim bunga, panas dan sejuk.

    Contoh amalan

    Selain panduan amalan setiap bulan, buku itu juga menyelitkan contoh-contoh amalan yang dituntut dalam Islam yang pernah dilakukan oleh para alim ulama zaman dahulu. Ia katanya, bagi mengelak ketidakyakinan umat Islam terhadap amalan-amalan yang telah disenaraikan di dalamnya, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk beramal.

    Kitab Latha’if al-Ma’arif itu dikarang dengan dua tujuan iaitu sebagai motivasi diri kepada umat Islam untuk sentiasa meningkatkan amalan dalam kehidupan seharian selain mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

    Tujuan kedua pula katanya, adalah sebagai panduan kepada umat Islam untuk memberi nasihat kepada orang ramai sama ada mereka terdiri daripada golongan ustaz dan ustazah, mahupun individu biasa.

    Menceritakan mengenai proses menterjemah kitab Arab itu, Muhammad Yusof berkata, ia melibatkan 23 orang penterjemah yang mempunyai latar belakang pengajian Islam dan berkebolehan menguasai bahasa Arab dengan baik. Katanya, fasa pertama projek itu melibatkan proses terjemahan yang bermula pada Mac 2015 dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun yang sama.

    Fasa kedua pula melibatkan proses penyuntingan dan semakan oleh panel Telaga Biru sebelum ia diluluskan dan memasuki proses membuat reka bentuk buku oleh petugas grafik syarikat berkenaan. 

    “Buku Ensiklopedia Amalan Setahun ini pertama kali dilancarkan pada April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada para pengunjung sanggat menggalakkan apabila kesemua buku yang dijual sepanjang pesta itu berlangsung.

    “Malah, cetakan kali pertama sebanyak 7,000 naskhah dan cetakan kedua sebanyak 3,000 naskhah habis dijual dalam tempoh enam bulan pertama ia dipasarkan,” jelas Pengarah Urusan Telaga Biru, Datuk Dr. Zahazan Mohamed.

    Beliau turut menyifatkan penerbitan buku terjemahan itu sebagai tepat pada masanya pada saat masih ramai umat Islam di negara ini tercari-cari sebuah naskhah yang menyenaraikan amalan-amalan sebagai rujukan harian mereka.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Manual Amalan Khusus Bulan-Bulan Islam Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top