My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 14 October 2016

    Raja Thailand Mangkat Thailand Berkabung Setahun



    Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, iaitu peme­rintah monarki tertua dunia, mangkat semalam pada usia 88 tahun, menurut kenyataan Biro Diraja Thailand. Bagaimanapun, tiada punca kematian didedahkan kepada umum. 

    Kenyataan itu menyatakan doktor (di Hospital Siriraj) telah menggunakan segala keupayaan dan pengalaman mereka untuk merawat baginda, namun keadaan kesihatan semakin merosot sebelum baginda mangkat dengan aman. Waktu mangkat dilaporkan pada pukul 3.52 petang (waktu tempatan).

    Kerajaan dalam satu kenya­ta­an mengumumkan bahawa negara berkabung selama setahun atas kemangkatan baginda. Raja Bhumibol, sejak tahun 2009, banyak meluangkan masa di Siriraj, yang mana baginda terus melakukan tugas istiadat sebagai ketua negara. Kali ter­akhir baginda muncul di khalayak umum adalah pada Januari lalu.

    Raja Bhumibol merupakan seorang raja yang dikasihi rakyat dan merupakan tokoh penya­tuan rakyat Thailand dengan tempoh pemerintahan selama 70 tahun secara konsisten selain berjaya mengekalkan kestabilan dalam beberapa pergolakan politik di negara itu.

    Potret baginda dipamerkan di seluruh negara termasuk di tepi jalan-jalan raya, di dalam premis perniagaan, kediaman dan bangunan kerajaan serta pada mata wang Thailand. Tempoh pemerintahan ba­ginda telah mengatasi Ratu Victoria Britain (selama 63 tahun) dan Maharaja Hirohito di Jepun (62 tahun), sekali gus menjadikan Raja Bhumibol sebagai salah seorang Ketua Negara pa­ling lama dalam sejarah.

    Baginda dilahirkan pada 5 Disember 1927 di Cambridge, Massachusetts dan merupakan anak lelaki kedua kepada Putera Mahidol yang dikenali sebagai ‘Bapa Perubatan Moden Thailand.’ Mahidol menuntut dalam bidang kesihatan awam di Universiti Harvard sewaktu Bhumibol dilahirkan. Bhumibol, sebahagian besar masanya, membesar di luar negara iaitu di Lausanne, Switzerland. 

    Abang baginda, Raja Ananda Mahidol, mangkat dalam kea­daan misteri pada tahun 1946 dan menjadikan Bhumibol, seorang pemalu, mengambil alih takhta dalam keadaan politik meruncing. 
    Bhumibol menaiki takhta pada 6 Jun 1946.

    Ramai pe­mimpin Thailand pada masa itu menganggap monarki sebagai institusi lapuk kuno. Bagaimanapun, kebangkitan komunisme di Asia Tenggara telah mendorong pemimpin tentera diktator pada tahun 1950-an hingga 1960-an untuk meningkatkan peranan raja bagi menangani pemberontakan yang kian meningkat.

    Pada tahun 1992, baginda telah menamatkan konfrontasi antara petunjuk perasaan pro­demokrasi dan pihak tentera dengan memanggil satu pertemuan antara kedua-dua ketua itu, bekas komander tentera, Suchinda Krapayoon dan ahli politik Chamlong Srimuang.

    Dalam satu siaran televisyen, kedua-dua ketua itu melutut di hadapan Bhumibol. Tindakan baginda telah menamatkan pergaduhan berdarah yang mengorbankan 44 nyawa dan mencetuskan huru-hara politik. Bhumibol meninggalkan isteri, Permaisuri Sirikit, seorang anak lelaki, Putera Mahkota Vajiralongkorn dan tiga anak pe­rempuan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Raja Thailand Mangkat Thailand Berkabung Setahun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top