My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 20 October 2016

    SUPP Mohon Maaf Akur Kesilapan Lepas



    Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam memohon maaf kepada seluruh rakyat Sarawak atas tindakan pemimpin parti itu yang tidak tampil membantah usul terhadap pindaan bagi Perkara 1 (12) Perlembagaan Persekutuan yang telah menurunkan status Sarawak sebagai sebuah negara kepada negeri dalam Malaysia. 

    Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, dalam kenyataan akhbarnya semalam, berkata ketika pindaan itu diperdebatkan di Dewan Rakyat pada 12 dan 13 Julai 1976, beliau mengakui tiada seorang pun daripada tujuh orang pemimpin SUPP di Dewan Rakyat ketika itu membantah usul untuk meminda Perkara 1(12) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

    Kesemua tujuh pemimpin SUPP terbabit, Tan Sri Ong Kee Hui iaitu Ahli Parlimen Bandar Kuching (ketika itu); Datuk Stephen Yong Kuet Tze (Padawan); Jawan Empaling (Rajang); Richard Damping Laki (Serian); Wee Ho Soon (Bandar Sibu); Chieng Tiong Kai (Sarikei) dan Yang Siew Siang (Miri-Subis), telah menyatakan persetujuan dengan pindaan itu yang kemudiannya dilulus oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Hussein Onn pada 13 Julai 1976, yang kemudian menyaksikan Sarawak turun status sebagai sebuah daripada 13 negeri dalam Malaysia.

    “Pemimpin SUPP hari ini pula terpaksa akur dan bertanggungjawab (terhadap keputusan pemimpin terdahulu) dan mewakili pihak SUPP, saya mahu menyampaikan permohonan maaf semua ahli parti kami kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

    Justeru, bagi menebus apa yang telah berlaku, SUPP hari ini akan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi menuntut semula kuasa dan hak Sarawak, agar dikembalikan dan menggesa pindaan terhadap Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen bagi maksud asal berkenaan Sarawak.

    “SUPP juga dalam majlis-majlis keramaian yang dianjurkannya, kerap mengulangi pendirian parti bahawa semua perbezaan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Sarawak dari perjanjian-perjanjian yang termaktub dalam Laporan Inter-Governmental Committee (IGC), dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hendaklah ditangani dan diperjelaskan sepenuhnya,” tambahnya.

    “Apa paling asas dan kritikal ialah ‘percanggahan’ yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, kita sekarang telah menjadi Perkara 1 di mana menurut pindaan pada tahun 1976 melalui Akta A354, Sarawak telah diturunkan daripada Wilayah 2 dalam Persekutuan Malaysia menjadi salah satu daripada 13 buah negeri di Malaysia,” katanya lagi.

    Menurut MA63, tidak akan ada kekeliruan bahawa Persekutuan Malaysia adalah sebuah persekutuan negara-negara, tidak seperti bekas Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan satu sistem kesatuan negeri dengan pemusatan kuasa kerajaan.

    Pindaan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan adalah asas yang menyebabkan penyaluran Dana Persekutuan untuk kedua-dua Sarawak dan Sabah adalah pada tahap negeri, dan bukannya sebagai salah satu daripada tiga rakan pengasas yang membentuk Malaysia.

    Dengan kata lain, kedua-dua Sarawak dan Sabah telah tertipu dalam peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

    SUPP menegaskan bahawa usul itu menuntut Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dipinda adalah untuk mengembalikan semula niat asal pihak yang menandatangani MA63, dengan niat bahawa pembentukan Malaysia adalah sebuah persatuan rakan kongsi yang sama yang menggabungkan kekuatan dan sumber masing-masing manakala hak individualiti masing-masing pula dikekalkan. 

    Sehubungan itu juga SUPP, amat menyambut baik seruan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang menggesa agar semua Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah bersatu dengan mengetepikan perbezaan politik mereka sendiri untuk berdiri teguh di belakang seruan Ketua Menteri, untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan kedudukan sebenar kedua-dua Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

    Pada masa sama, SUPP turut menyatakan kebimbangannya terhadap penyampaian yang diberikan oleh Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam dalam ketika membuat kesimpulan dalam seminar ‘A Journey To Merdeka: Sarawak in Malaysia’ pada hari Ahad lepas.

    Menurut SUPP, kesimpulan dibuat Dr Ramlah menunjukkan bahawa beliau sebenarnya tidak faham dengan hakikat bahawa Sarawak bukan sebuah negeri seperti mana-mana negeri di Tanah Melayu tetapi sebagai pengasas sebuah negara dan ‘rakan kongsi’ kepada seluruh Tanah Melayu. 

    “Kebanyakan orang tidak akan tahu bahawa dia mereka sendiri (di Tanah Melayu) tidak menandatangani Perjanjian Malaysia, dan oleh itu, mereka tidak dijemput ke meja rundingan menubuhkan negara baru pada tahun 1963. Jadi bagaimana Perlis boleh berada di status sama dengan Sarawak?”
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: SUPP Mohon Maaf Akur Kesilapan Lepas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top