My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 24 November 2016

    BN Sarawak Tolak Pelaksanaan Hukum Hudud

    BANTAH: Dr Sim (duduk, dua kanan) mempengerusi sidang media bersama pemimpin-pemimpin SUPP di pusat media DUN.

    Ahli Parlimen daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diarah membantah Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda sekiranya ia dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini. 

    Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian berkata arahan itu sejajar dengan pendirian tegas Barisan Nasional (BN) Sarawak yang kekal menolak pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

    “Dalam mesyuarat dengan pucuk kepimpinan BN Negeri pagi tadi (semalam) Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) mengarahkan semua Ahli Parlimen BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

    “SUPP sejak awal lagi membantah rang undang-undang ini kerana ia tidak seiring dengan inti pati Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani,” tegasnya pada sidang media di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

    Beliau turut mendedahkan bahawa mesyuarat itu turut dihadiri ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

    Masing merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) manakala Abang Johari dan Uggah masing-masing adalah Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan memberitahu bahawa semua parti komponen BN Sarawak bersetuju dalam hal itu.

    “SUPP tidak bersetuju dengan pelaksanaan dua sistem pengadilan jenayah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963. Ia juga boleh memberi kesan atau menjejaskan hak-hak dan gaya hidup semua rakyat Malaysia. Ia tidak diterima dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan kepercayaan,” ujarnya.

    Menurutnya DUN Kelantan telah meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 tahun lalu tetapi tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan wujudnya Akta 355.

    “Sekali lagi PAS tidak hanya menunjukkan ia secara terang-terangan mengabaikan hak-hak dan sentimen semua kaum dan kumpulan agama lain di Malaysia tetapi dengan konsisten mencabar semangat Perlembagaan Persekutuan untuk kepentingan politik mereka.

    “Seseorang (DAP) harus menjelaskan kepada rakyat, tidak cukup sekadar mereka sudah ‘bercerai’ (dengan PAS),” tegasnya.

    Selasa lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata RUU355 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu ini. Katanya usul itu akan dibuat oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

    “Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan Ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam. “Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen Selasa lepas.

    Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan Rang Undang-Undang Persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

    Usul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan malah kerap kali bertukar nombor giliran. Sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini selepas berlangsung sejak 17 Oktober lalu. 

    RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan undang-undang persekutuan.

    Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: BN Sarawak Tolak Pelaksanaan Hukum Hudud Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top