My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 27 November 2016

    Elak Serangan Angin Ahmar


    Dulu wajahnya sering muncul di televisyen menerusi rancangan 999. Tetapi, sejak diserang strok, bekas wartawan dan pengacara, Mazidul Akmal Sidek, 49, terpaksa melupakan terus dunia penyiaran. Sejak disahkan menghidap strok tiga tahun lalu, dia menghabiskan masa di kerusi roda malah pernah disahkan doktor sebagai hilang keupayaan kekal. 

    Namun, berkat semangat kental untuk kembali normal dari terlantar, kini Mazidul mampu duduk di atas kerusi roda dan kembali bertutur walaupun ingatannya sedikit lemah. Bercerita sebagai pesakit strok, isterinya, Khairul Fazlin Kamarudin sentiasa di sisi memainkan peranan penting supaya Mazidul terus kuat dan positif.

    Dalam temubual itu juga, Fazlin yang mewakili Mazidul berkata, pada awalnya mereka sekeluarga sukar menerima kenyataan suaminya bukan lagi individu yang dahulu, malah terpaksa dibantu sepenuhnya bagi menguruskan hidup. “Suami saya seorang yang kuat bekerja malah jika demam sedikit pun tidak dipedulikan. Tetapi tiba-tiba dia diserang strok tanpa mampu melakukan apa-apa. 

    “Sedihnya hanya Allah yang tahu. Ketika dia terlantar, setiap hari dia minta saya menyiapkan kelengkapan kameranya untuk bersiaran di televisyen dan setiap hari juga saya perlu mengingatkan bahawa dia sedang sakit.

    “Ketika saya mengingatkan, dia hanya diam dan murung tetapi saya tidak mahu dia menjadi seperti itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menguruskan emosinya ketika itu, saya hanya mampu memarahinya, tetapi bukan bermaksud tidak sayang.

    “Saya hanya mahu dia berpijak di alam realiti. Saya mahu kembalikan semangatnya supaya positif dengan kehidupan kini dan menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu ditempuh,” katanya ketika ditemui sempena kempen The Morning Hype anjuran Pfizer baru-baru ini.

    Meskipun agak mengambil masa untuk menerima kenyataan, Fazlin bersyukur akhirnya Mazidul mampu menerima kenyataan hidup malah secara perlahan-lahan, proses pemulihannya berjalan lancar.

    “Dahulu dia langsung tidak boleh duduk, hanya terbaring di katil dan mengangkat sebelah tangan, namun selepas setahun, dia kini sudah boleh bertutur dan mampu duduk di atas kerusi roda,” katanya.
    Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hipertensi Malaysia (MSH), Prof Datin Dr Chia Yook Chin menjelaskan penyakit strok adalah masalah global, namun jumlah penghidap tekanan darah tinggi yang besar di Asia, menyebabkan penyakit ini lebih serius untuk ditangani.

    “Terdapat dua jenis strok yang boleh berlaku iaitu strok iskemia, yang disebabkan oleh sekatan pada aliran darah (salur darah tersumbat) dan strok berdarah, yang menyerang apabila berlaku pendarahan dalam salur darah (salur darah pecah).

    “Strok boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran dan memerlukan rawatan segera. Antara gejala strok seperti muka berubah, tangan atau kaki berasa lemah, sukar bercakap, Penglihatan kabur, hilang keseimbangan dan pening.

    “Ada juga individu yang terus mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri, namun tidak semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh dari bahagian otak yang mengawal pergerakan,” katanya.

     Setiap tahun, lebih 17 juta orang di seluruh dunia pernah berdepan penyakit strok dan daripada jumlah itu, enam juta orang telah meninggal dunia dan lima juta orang lagi hilang upaya. Di Malaysia, penyakit strok ialah penyakit kedua yang menyumbang kepada kes kematian.

    Ia berlaku disebabkan aliran darah ke otak tersekat, yang mana otak sama seperti organ lain memerlukan oksigen untuk berfungsi.Apabila sel otak tidak mendapat oksigen yang secukupnya, ia boleh menjadi rosak.

    Menurut Chia, 80 peratus daripadanya boleh dicegah jika menyedari simptom yang berlaku lebih awal dan mengelak daripada risiko strok akibat tekanan darah yang berkait rapat dengan kerosakan arteri. Langkah pertama dalam menguruskan lonjakan tekanan darah pada waktu pagi adalah melalui pemantauan tekanan darah yang tetap di rumah untuk mengurangkan risiko strok.

    Katanya, 30.3 peratus daripada orang dewasa berumur 18 tahun ke atas mempunyai masalah darah tinggi. Paling membimbangkan, lonjakan tekanan darah tinggi pada waktu pagi iaitu lebih daripada 135/85 mmHG yang berlaku pada pukul 6 pagi sehingga tengah hari.

    “Selain mengawal tekanan darah, individu juga digalakkan supaya berhenti merokok, mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat,menurunkan kolestrol, mengawal kandungan gula dalam badan dan mengurangkan pengambilan alkohol,” katanya. Hadir sama, Pengurus Besar Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam), Sylvia Chong.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Elak Serangan Angin Ahmar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top