My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 November 2016

    Fatin, Redha Ungguli ASK2016




    Sesebuah majlis pengiktirafan buat anak seni akan menjadi lebih bermakna jika nilai setiap trofi anugerah yang dijulang itu bukan sahaja menggembirakan hati si pemenang, bahkan turut mencetuskan kekaguman buat calon yang berputih mata, seterusnya meninggalkan ingatan manis buat semua. 

    Malam Anugerah Skrin 2016 (ASK2016), Jumaat lalu boleh dihitung layak menyertai gambaran tersebut. Selain sebuah majlis tahunan anjuran Media Prima, ia berjaya menampakkan kepelbagaian sisi dengan seribu warna buat khalayak dan industri kreatif keseluruhannya.

    Ketelusan dapat dirasai daripada setiap karya dalam senarai lima teratas pencalonan selain menyerlahkan keseimbangan bentuk ringan, drama berat atau popular. Semua itu meletakkan ASK pada suatu lantai bernama keseimbangan.

    Tahun ini menyaksikan telemovie mahupun drama rantaian popular mendominasi carta kategori seperti Calon Syurga, Cermin Kasih, Fatin, Seindah Takdir Cinta, Lambaian Ramadan, Mak Cun 2 dan Ku Haramkan Susu Itu.

    ‘Ibu’ segala penganugerahan dalam ASK 2016 tentunya kemenangan manis delegasi Fatin yang pulang membawa segunung kebahagiaan apabila trofi Drama Terbaik menjadi milik mereka, manakala pasukan Current Pictures pula mengungguli Filem Terbaik menerusi filem Redha.

    Kemenangan Fatin yang turut dikongsi Idham Mad Din dengan trofi peribadi kategori Videografi Terbaik itu sebenarnya sekali lagi mengembalikan kebanggaan buat rumah produksi Balang Rimbun Sdn. Bhd. yang sebelum ini pernah menggungguli kategori sama menerusi Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus pada ASK2011.

    Menjadikan ia lebih bermakna, Fatin juga membuka jendela portfolio buat pengarah muda yang sebelum ini pernah menghasilkan filem CEO, Razaisyam Rashid diangkat selaku Pengarah Terbaik Drama, menewaskan empat lagi calon pengarah senior seperti Sabri Yunus, Wan Afzam Wan Daud, Heykal Hanifah dan Murali Abdullah.

    “Terima kasih kepada penerbit, Syahid Johan yang selalu memberikan kepercayaan tidak terhingga buat saya dan Idham kerana sanggup melayan kerenah syot serta semua yang sepanjang menjayakan Fatin,” ujar Razaisyam yang merupakan lulusan Universiti Malaya.

    Rezeki Nam Ron 

    Malam yang didedikasikan buat karya kaca televisyen tersebut meneruskan tradisi penganugerahan terhadap enam lagi kategori daripada arena perfileman termasuk trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem yang kali ini memihak kepada pelakon, pengarah dan aktivis teater terkenal, Nam Ron.

    Ia sekali gus mengukuhkan profil Redha, naskhah arahan Tunku Mona Riza itu untuk dijulang sebagai yang terbaik. Meskipun kehandalannya bermain emosi dalam naskhah berkisahkan penerimaan terhadap anak autisme itu tidak perlu disangkal, jujurnya aktor yang diperkenalkan ke layar perak menerusi filem Paloh itu masih tidak menyangka akan membawa pulang trofi kemenangan.

    “Saya fikir Shaheizy Sam yang akan menang pada malam ini kerana lakonannya sangat bagus. Filemnya Polis Evo juga mencatat kutipan pecah panggung tetapi apabila diumumkan sebagai pemenang, saya anggap ia sebagai rezeki dan saya bersyukur atas pengiktirafan ini,” ujarnya yang sebelum ini pernah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada ASK2012 (Parit Jawa) dan ASK2014 (Balqis).

    Tidak meletakkan kemenangan tersebut untuk kepuasan peribadi, Nam Ron bahkan menyifatkan ia sebagai pembuka jalan untuk menjadikan filem Redha diktiraf dengan lebih banyak pengiktirafan selepas ini.

    “Saya sangat berharap ia membuka peluang untuk filem ini kembali ditayangkan di Malaysia suatu hari nanti, sekali gus membuka mata ramai pihak bahawa naskhah kritikan sosial sebegini mampu menjadi medium berkesan dalam menyampaikan mesej dan bukan bersandarkan kepada hiburan semata-mata,” ujarnya.

    Aktres jelita, Maya Karin pula mengulang sejarah apabila dijulang selaku Pelakon Wanita Terbaik (filem) menerusi filem Nota selepas kali terakhir memenanginya pada ASK2012 menerusi Ombak Rindu. Kejayaan tersebut secara tidak langsung menebus kekecewaan Maya apabila kecundang di tangan Nabila Huda yang dijulang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi Munafik, September lalu.

    “Apa yang lebih penting adalah saya menang kerana bekerja untuk sebuah naskhah yang hebat,” ujarnya yang bakal menjalani penggambaran filem terbaharu pada tahun depan.

    Pengorbanan berbaloi

    Berkongsi perasaan sama, aktor yang sebati dengan naskhah-naskhah berat, Beto Kusyairy pula menyifatkan tahun 2016 sebagai tahun bertuah buatnya apabila membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Ramadan Berteduh Syawal.

    Aktres Tiz Zaqyah pula diumumkan selaku Pelakon Wanita Terbaik Drama menerusi drama Cermin Kasih terbitan Arie Zaharie Sdn. Bhd. Mengulang kejayaan pada ASK2015 menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem iaitu Gila Baby, Beto melahirkan rasa syukur biarpun pada awalnya kedatangan ke majlis tersebut tidak diiringi harapan menggunung tinggi.

    “Ini rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya datang pada malam ini pun sebenarnya hanya atas tiket untuk merai dan merayakan penggiat seni pada malam ini atas usaha keras mereka dalam menghasilkan naskhah hebat untuk tatapan umum.

    “Saya sendiri kurang ingat tentang drama tersebut kerana ia sudah lama iaitu sekitar dua tahun lalu. Cuma, kemenangan ini berbaloi kerana memikirkan penat lelah menjayakan babak bergaduh dalam lumpur yang tebal yang akhirnya berbayar,” ujarnya sambil ketawa.

    Selepas pernah mengenakan baju Melayu pada ASK2015, Beto sekali lagi mengundang perhatian apabila melengkapkan busana tradisionalnya kali ini dengan memakai baju daripada songket tenunan Melayu berwarna merah lengkap bertanjak.

    Pengiktirafan sebenar

    Kredibiliti pengarah Syamsul Yusof pula sekali lagi terlakar megah dengan kejayaan peribadi membawa pulang trofi Pengarah Terbaik Filem menerusi filem pecah panggung Munafik, sekali gus mengulang kejayaan kategori sama pada FFM28 baru-baru ini.

    Turut mengulang keputusan FFM28, trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem masih lagi milik Fauziah Ahmad Daud atau Ogy untuk filem Langit Cinta, manakala pelakon Hushairi Husain pula tiada tandingan menggungguli kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem tahun ini mewakili aksi cemerlang daripada naskhah Polis Evo.

    Lebih indah, kejayaan Ogy turut dikongsi adiknya iaitu pelakon Fazlina Ahmad Daud apabila diangkat selaku Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Cermin Kasih), manakala aktor senior, Jalil Hamid pula membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga).

    Naskhah Wadi terbitan Luqsar Kreatif Sdn. Bhd. juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila diumumkan sebagai Drama Rantaian Terbaik. Drama komedi fenomena Mak Cun 2 pula menerima anugerah Drama Komedi Terbaik selain pengarahnya, Erma Fatima mencatat kejayaan peribadi apabila dijulang selaku Pelakon Komedi Terbaik bagi naskhah sama.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Fatin, Redha Ungguli ASK2016 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top