My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 23 November 2016

    Filem Apprentice : Si Pencabut Nyawa


    Filem Apprentice bukan mengisahkan pengalaman banduan di saat akhir sebelum mereka dijatuhkan hukuman gantung. Sebaliknya karya sentuhan pengarah kelahiran Singapura Boo Jun Feng ini mengetengahkan hukuman itu dari sudut pandangan tukang gantung. 

    Sutradara berusia 32 tahun itu menghabiskan tiga tahun menulis skrip serta menemu bual bekas tukang gantung, imam serta keluarga banduan yang sudah ke tali gantung. Mengakui pendiriannya menentang hukuman gantung, Boo menegaskan Apprentice bukan sekadar memaparkan isu terbabit semata-mata, sebaliknya mahu penonton menilai dari pandangan sendiri.

    “Hukuman gantung isu yang tidak dibincangkan penduduk Singapura. Oleh sebab itu, saya berminat untuk menghasilkan filem yang menyentuh perkara ini, namun dari sudut berbeza. Oleh kerana sudah ada banyak karya menceritakan hukuman dari pandangan banduan, saya memilih tukang gantung sebagai subjek utama filem ini,” katanya usai tayangan perdana Apprentice di GSC Midvalley, kelmarin.

    Apprentice menampilkan pelakon Malaysia Wan Hanafi Su dan dari Singapura, Fir Rahman serta Mastura Ahmad. Berikutan kesukaran mencari lokasi sesuai di Singapura dan beberapa negara jiran, Boo berkata, penggambaran filem itu terpaksa dilakukan di dua penjara berasingan di Australia selama enam hari.

    “Rakaman itu perlu dilakukan dengan teliti kerana tempat menggantung banduan, pejabat serta beberapa bahagian pekarangan lain bangunan penjara di lakukan di lokasi berbeza,” jelasnya. 

    Mengenai pemilihan barisan pelakon pula, pengarah itu memberitahu, dia turut mengadakan sesi uji bakat di Malaysia, namun sukar mencari pelakon sesuai bagi watak Rahim yang bekerja sebagai ketua tukang gantung.

    “Kemudian, saya mencuba cara lain dengan membeli DVD filem menampilkan pelakon berusia. Akhirnya, ketika menonton filem Bunohan, lakonan Wan Hanafi menarik perhatian dan mendapati dia sangat sesuai untuk watak Rahim,” katanya.

    Menurutnya, bagi memastikan pelakon menjiwai watak masing-masing, mereka dibawa menemu bual tukang gantung dan anggota keluarga pesalah yang dihukum gantung.

    Dalam perkembangan lain, Boo bangga apabila filem itu terpilih mewakili Singapura bertanding dalam Anugerah Oscars tahun depan. Enggan meletakkan harapan tinggi, pengarah itu berkata, karyanya perlu bersaing dengan puluhan filem asing.

    “Saya berada di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini dan menghadiri beberapa sesi temu bual. Pun begitu, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi, namun menganggap ia sebagai pencapaian terbaik,” katanya.

    Bertemu bekas tukang gantung

    Sementara itu, Wan Hanafi turut berkongsi pengalaman meluangkan masa bersama bekas tukang gantung sebagai persiapan untuk wataknya. Pelakon filem Polis Evo ini berkata, bekas pegawai penjara itu bukan seperti disangka kerana orangnya baik hati.

    “Tukang hukum gantung ini baik hati dan saya menjadikan keperibadiannya sebagai rujukan watak Rahim,” katanya. Menurutnya, menerusi temu bual itu, lelaki terbabit turut menganggap tugas tukang gantung sebagai kerjaya profesional.

    “Dia tidak berasakan kerjayanya salah kerana bukan dia yang menjatuhkan hukuman, malah tidak teragak-agak menggantung pesalah. Pendapatnya ada kebenaran sampaikan pada satu tahap saya turut terbawa-bawa dengan tanggapan mencabut nyawa banduan adalah betul,” katanya.

    Bercerita lanjut, Wan Hanafi turut dikehendaki mempelajari cara percakapan rakyat Singapura dan menghabiskan masa di sekitar Geylang berbual dengan penduduk sekitar. “Cabaran filem ini adalah berdialog dalam bahasa Melayu dan Inggeris mengikut cara orang Singapura. Selain mengunjungi Geylang, saya juga menghabiskan masa bersama Fir bagi mewujudkan keserasian,” katanya. 

    Apprentice mengisahkan pegawai pemulihan bernama Aiman memulakan tugas baru di sebuah penjara. Di situ, dia berkenalan dengan ketua tukang gantung, Rahim yang lebih 30 tahun berkhidmat di penjara berkenaan.

    Selepas pembantu Rahim berhenti kerja, Aiman dilantik mengisi jawatan itu walaupun menyedari lelaki terbabit yang melaksanakan hukuman gantung terhadap bapanya suatu ketika dulu. Sebagai pembantu tukang gantung, Aiman perlu menyesuaikan diri dengan tugas itu. Filem ini akan menemui penonton di Malaysia mulai esok di pawagam seluruh negara.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Filem Apprentice : Si Pencabut Nyawa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top