My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 27 November 2016

    Harimau Malaysia Rebah Di Yangoon




    Skuad Harimau Malaysia gagal layak ke pusingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 buat kali pertama sejak 2010 setelah tewas 0-1 kepada Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna malam tadi. 

    Kejayaan itu me­nyaksikan Myanmar yang berjaya menamatkan penantian 12 tahun apabila kali terakhir melepasi pe­ringkat kumpulan pada 2004, mengiringi pendahulu kumpulan, Vietnam yang menewaskan Kemboja 2-1, layak ke pusingan separuh akhir.

    Beraksi pada separuh masa pertama, skuad negara tidak mengambil masa lama untuk menguji gawang Myanmar menerusi rembatan jauh Ahmad Hazwan Bakri tetapi percubaan itu gagal menerjah pintu gol pasukan tuan rumah pada minit keenam.

    Aung Thu mencemaskan kem skuad negara apabila hampir membolosi gawang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hasil sepakan percuma tetapi tendangan itu sedikit tersasar pada minit ke-10. 

    Berselang seminit kemudian, pengadil dari Oman, Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah memberikan sepakan penalti kepada skuad kendalian Gerd Zeise selepas Hazwan mengasari pemain lawan di dalam kawasan kotak penalti skuad negara.

    Bagaimanapun, pintu gawang Harimau Malaysia terselamat apabila Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menggagalkan sepakan penalti Kapten Myanmar, Yan Aung Kyaw.

    Ketua pasukan skuad negara, Amri Yahyah hampir berjaya membuka tirai jaringan tetapi rembatan lemah itu berjaya didakap kemas penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo, sekali gus keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat 45 minit pertama.

    Bersambung di babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah terus memberikan tekanan dengan me­lancarkan beberapa serangan ke kawasan kubu pertahanan Harimau Malaysia. Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan untuk memburu gol, namun beberapa gerakan menarik jentera serangan skuad Harimau Malaysia yang diketuai Hazwan dan Amri masih gagal menembusi benteng pertahanan Myanmar.

    Kemasukan Shahrul Saad, Darren Lok dan Safee Sali yang menggantikan Ahmad Fakri Shahrani, Norshahrul Idlan Talaha serta Mohd. Shahrom Kalam gagal membawa impak positif kepada juara Piala AFF Suzuki 2010 itu.

    Bagaimanapun, skuad Harimau Malaysia pula yang terpaksa gigit jari apabila David Htan meledak gol kemenangan pada minit ke-88 sekali gus keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. 

    Myanmar bakal bertemu juara Kumpulan A, Thailand dan pendahulu Kumpulan B, Vietnam bakal berkunjung ke Indonesia untuk aksi timbal balik separuh akhir pertama pada 4 dan 3 Disember depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Harimau Malaysia Rebah Di Yangoon Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top