My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 22 November 2016

    Olah Bahan Terbuang Jadi Produk Baharu





    BAHAN buangan atau terpakai mampu menjadi hiasan unik dan barangan baharu yang lebih eksklusif jika seseorang itu pandai mengubahnya. 

    Itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda, Azam Hisham, 29, bersama tiga rakannya yang lain Zoe Victoria, 28, Rashvin Pal Singh, 29, dan Gurpreet Singh Dhillon, 29, apabila menghasilkan pelbagai produk baharu hasil kreativiti mereka menggunakan barangan terbuang.

    Menurut Azam, dia bersama Gurpreet dan Rashvin bertemu ketika menuntut dalam kursus praijazah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Zoe pula bertemu Gurpreet di Manchester, England ketika melanjutkan pengajian di sana.

    “Sejak waktu praijazah, kami banyak membincangkan isu-isu semasa, sambil itu kami juga banyak membincangkan idea-idea inovasi. Memikirkan soal masa depan, satu perkara biasa bagi seorang mahasiswa. Orang muda juga banyak memikirkan tentang persekitaran mereka dengan gambaran yang ideal.

    “Saya rasa ia sangat penting, kerana daripada kesedaran, jurang antara realiti dan idealisme itulah yang menginspirasikan seseorang itu untuk menyumbang sesuatu yang mungkin bakal menjadi penyelesaian,” kongsinya ketika ditemui media baru-baru ini.

    Ketika tercetusnya idea untuk menubuh Biji-biji Initiative, Azam memberitahu, ketika itu dia baru pulang ke Kuala Lumpur dari kampung kelahirannya di Sarawak, yang kini hutan tebal di sana kian nipis akibat pembalakan. Malah, jelas Azam ramai yang tidak tahu tentang kebanyakan hutan tertua di dunia sebenarnya terletak di Malaysia dan kini ditebang akibat kerakusan manusia.

    “Bagi saya, ia suatu isu yang sangat berat dan perlu dikongsikan bersama rakan-rakan yang menubuhkan Biji-biji Initiative.

    Idea 

    “Kami sedar yang kami tidak mampu untuk mengubah industri-industri besar. Tetapi kami yakin dapat menginspirasikan rakan-rakan sebaya dan masyarakat sekeliling kami,” ujarnya.

    Rashvin yang juga merupakan salah seorang pengasas Biji-biji Initiative memberitahu, konsep atau modus operandi yang mereka gunakan ialah upcycle. Upcycle merupakan kaedah mengguna semula barang yang hendak dibuang, dengan mengolahnya menjadi bahan baharu yang mungkin lain daripada tujuan asalnya.

     Tambah Rashvin, Biji-biji Initiative telah berkembang daripada empat orang hingga kini tertubuhnya sebuah syarikat dengan 25 orang sepenuh masa yang menyumbang idea-idea produk dan servis berbeza.

    “Selama hampir empat tahun, kami telah mengembangkan katalog produk dan servis kami daripada penjualan beg-beg yang diperbuat daripada bunting-bunting promosi PVC, kepada perabot rumah diperbuat daripada tong dram, tayar kereta, bekas guni dan macam-macam lagi.

    “Setiap bahan-bahan yang kami gunakan diambil kira jumlahnya dan kami kongsikan di laman web kami dengan tujuan agar dapat memberi gambaran kepada pengguna, bagaimana dengan idea mudah seperti ini mengurangkan jumlah bahan buangan di tapak pelupusan,” ujarnya.

    Teruja

    Jelas Rashvin, dia sangat teruja dengan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan barangan seperti beg berkenaan. Ini kerana beg-beg tersebut diperbuat daripada tali pinggang keledar yang terbuang, bunting PVC dan pelbagai bahan buangan.

    “Kami baru sahaja melancarkan beg-beg kami dalam pasaran pengguna baru-baru ini dan ia boleh didapati melalui laman web www.bijibijidesign.com ataupun menerusi stokis-stokis kami. “Bagi kami, pasaran pengguna amat penting, kerana kita semua harus mengubah cara kita membeli, mengguna dan membuang,” katanya.

    Sementara itu, bagi Norashahera Haleem, 30, pula yang baru sahaja berkecimpung dalam Biji-biji Initiative memberitahu, melalui bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh Biji-Biji Initiative itu, dia dapat mempelajari banyak perkara baharu. “Saya dapat mempelajari kemahiran bertukang dan berkongsi idea baharu bersama mereka dalam menghasilkan barangan daripada bahan-bahan terpakai.
    “Selain itu, daripada beli di kedai, anda boleh hasilkan barangan sendiri. Malah anda boleh belajar kemahiran yang baharu dan buat sendiri di rumah,” katanya.

    Norashahera memberitahu, masyarakat khususnya harus mengubah tabiat dalam melakukan segala kerja dan aktiviti harian. Setiap yang mereka lakukan pasti mempunyai kesannya kepada persekitaran.

    Peka

    “Jadi kita haruslah peka terhadap tindak-tanduk kita. Apatah lagi pada zaman ini, hampir kesemua barangan yang dipakai dan dibuang oleh kita diperbuat daripada bahan sintetik seperti plastik. Bahan-bahan ini tidak akan terlupus walaupun selepas 100 tahun, namun kita tidak sedar, betapa dahsyatnya kesan buruk tersebut kepada alam sekitar yang kita lakukan sendiri,” ujarnya.

    Sebagai umat Islam, beliau yakin bagi mereka yang beragama lain pun, menyedari bahawa Tuhan telah menganugerahkan kita dengan keindahan alam yang kecantikannya tiada tandingan. “Sebagai manusia kita cuma diberi kebenaran untuk menghuni bumi ini buat sementara.

    Ia satu dosa yang amat besar apabila kita lupa mensyukuri pemberian itu, dengan tindakan kita yang tamak mengambil, merosakkan dan membuang sewenang-wenangnya,” kongsinya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Olah Bahan Terbuang Jadi Produk Baharu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top