My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 29 November 2016

    Pindah Teknologi


    Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada syarikat swasta yang mahu menjalin kerjasama dengan pihak luar khususnya yang menjanjikan kesan berganda terutama dari aspek peluang pekerjaan. 

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong berkata, kerajaan kini lebih bersifat terbuka dalam menyatakan sokongan dan ia tidak hanya terhad kepada syarikat berkaitan kerajaan semata-mata.

    Beliau berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan syarikat antarabangsa dalam mewujudkan rangkaian bekalan selain menjanjikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Menurutnya, dalam industri kereta api, kerjasama seumpama ini adalah penting kerana ia akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dalam aspek pemindahan teknologi.

    “Kita sedia maklum bahawa Malaysia kini lebih terarah kepada perkembangan teknologi kereta api dengan pelbagai projek mega dijalankan. Malah, liputan laluan kereta api juga dijangka mencapai 56 peratus dalam tempoh beberapa tahun lagi.

    “Maka, kerjasama dengan pihak luar dianggap sebagai tepat pada masanya kerana pengangkutan ini dilihat lebih berkesan dan mampu menarik lebih ramai pengguna,” katanya selepas majlis menandatangani persetujuan rasmi antara Innorail Systems Technology Sdn Bhd dan O & C Electric Technique Co, Ltd (OCET) untuk pemindahan teknologi baru sistem kereta api, di sini, semalam. 

    Menurutnya, dengan tiga projek mega membabitkan penggunaan kereta api, kerajaan menjangkakan lebih banyak syarikat tempatan muncul dan menjalin kerjasama dengan pihak luar.

    “Kerajaan akan terus menggalakkan kerjasama seumpama ini dan mengharapkan ia tidak hanya terhenti di tahap itu saja sebaliknya turut membabitkan aspek pembuatan yang dijalankan dalam negara,” katanya.

    Sementara itu, perjanjian berkenaan membabitkan kerjasama strategik bagi pemindahan hak teknologi dan harta intelek untuk pembuatan komponen, sistem pemanduan elektrik dan teknologi berkaitan untuk pengangkutan jimat tenaga dengan anggaran pelaburan mencecah RM32.5 juta. 

    Persetujuan itu juga merangkumi usaha membina keupayaan pengeluaran tempatan, pemindahan teknologi baru serta latihan dan pembangunan kemahiran jurutera dan juruteknik di Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pindah Teknologi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top