My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 27 November 2016

    Tombiruo Janjikan Kepuasan Berbeza



    LAZIMNYA, pelbagai kisah novel cinta yang diangkat ke layar perak sudah biasa disajikan kepada peminat filem tempatan sejak sekian lama. Lain pula ceritanya menerusi filem Tombiruo yang diadaptasikan daripada karya novelis thriller terkenal dan prolifik tanah air, Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal disaksikan penonton sekitar tahun depan.

    Secara optimis, filem ini dijangka memberikan lebih banyak pilihan buat penonton apabila menjanjikan kepuasan berbeza apabila bermain dengan pelbagai emosi dan elemen. Ini termasuk kekeluargaan dan aksi berbanding sekadar dimomokkan dengan kisah cinta yang skeptikal dan boleh dijangka kesudahannnya.

    Buat julung-julung kalinya, filem ini juga menggabungkan jalinan kerjasasama yang menggabungkan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan sebagai penerbit.

    Harapan

    Sebagai sutradara berkaliber, Nasir Jani diberi kepercayaan untuk mengarah filem ini dan pastinya berdepan tekanan supaya buah tangannya kali ini dapat memikat hati khalayak. Berbanding sekadar tertumpu kepada satu elemen semata-mata, Nasir percaya ramuan menggabungkan pelbagai genre berbeza mampu menjadikan Tombiruo sebagai satu naskhah yang cukup istimewa.

    “Pelbagai elemen yang diterapkan dalam filem ini seperti aksi, kekeluargaan dan juga drama yang cuba digarap sebaik mungkin daripada permulaan cerita.

    "Dengan pengalaman yang ada dan kerjasama bersama tenaga kru, barisan pelakon dan juga pengarah bersama iaitu Seth Larney, saya akan berusaha untuk membawa filem ini ke tahap diinginkan oleh penerbit, penulis novel dan penonton dengan mengikut kesesuaian masa kini,” ujarnya yang pernah mengarah beberapa repertoir terbaik seperti Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 sebelum ini.

    Dalam pada itu, sebagai penulis novel Tombiruo, sudah tentu novelis, Ramlee Awang Murshid teruja menyaksikan karyanya kini diangkat ke layar perak. “Sebelum ini, memang ada lamaran mahu novel itu difilemkan, namun ditolak kerana saya cerewet dalam membenarkan karya saya diolah semula. 

    “Cuma apabila penerbit mengusulkan projek ini, saya akhirnya bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka dalam menjayakan filem ini kerana setiap penerbit mempunyai profil latar belakang yang utuh. Selain itu, mereka juga komited dalam memastikan karya ini diolah dengan baik dan mendapat persetujuan bersama untuk membina jalan cerita yang berkesan,” jelasnya.

    Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya berbangga dapat menjalinkan kerjasama sebagai agensi pengedar dan pemasaran bagi filem ini. “Ia merupakan sebuah filem sarat dengan aksi, elemen kekeluargaan serta memaparkan flora dan fauna di Malaysia yang jarang dipaparkan dalam filem tempatan.

    “Selain itu, filem ini disokong oleh tenaga produksi yang berpengalaman luas dalam pembikinan filem dari dalam dan luar negara serta barisan pelakon handalan tanah air yang mampu menjiwai pelbagai watak.

    “Kami percaya kombinasi itu mampu menjanjikan filem ini akan mempunyai identiti unik yang tersendiri. Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan produksi Layar Sunan untuk menjayakan filem ini.

    “Pada masa sama, kami juga sudah bersedia membuat percaturan dalam merangka promosi bagi filem ini agar ia mampu membuat peminat dan penonton teruja. Astro Shaw berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan menerusi projek-projek lain pada masa akan datang,” ujarnya. 

    Cabaran

    Dalam pada itu, salah seorang teraju utama, Zul Ariffin juga berdepan cabaran tersendiri tatkala menjayakan watak sebagai Ejim dan Tombiruo dalam filem ini. Ejim adalah watak pemuda biasa, manakala watak Tombiruo muncul selepas dia memiliki kuasa luar biasa. Selain perlu sentiasa memakai topeng sepanjang berlakon, Zul juga perlu menurunkan sedikit berat badan supaya bersesuaian dengan watak diberikan.

    “Sebagai seorang yang kuat makan, sudah tentu ia merupakan cabaran terbesar apabila diminta untuk mengecilkan saiz badan demi menjayakan watak ini. Justeru, saya sekadar makan sekali saja sehari dan alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram dalam masa tiga minggu,” ujarnya.

    Menurut Zul, dia menganggap itu sebagai cabaran lantaran perlu memenuhi imej Ejim sebagai lelaki memiliki tubuh sasa dan tinggal di dalam hutan. “Secara realistik, mana mungkin pemuda seperti Ejim memiliki tubuh kekar seperti mana lelaki yang menjalani latihan di gimnasium.

    “Meskipun sukar untuk mendapatkan berat badan yang ideal, saya bersyukur berjaya melakukannya dan menganggap ia sebagai salah satu tuntutan tugas dalam karier,” jelasnya. Zul memberitahu, dia juga banyak menggunakan bahasa tubuh dan pergerakan badan yang ideal lantaran berlakon tanpa skrip bagi menjayakan watak Ejim.

    “Meskipun tanpa skrip, saya optimis berjaya menghidupkan watak Ejim dengan baik seperti mana yang dikehendaki pengarah,” ujarnya.

    Pada masa sama, kata Zul, adegan tanpa pakaian juga tidak perlu dijadikan kontroversi kerana itulah imej Ejim sebagai pahlawan rimba. “Sudah tentu sedikit kekok pada mulanya, cuma saya terpaksa memenuhi tuntutan kerjaya secara profesional.

    “Selain itu, saya juga mengalami sedikit kecederaan ligamen ketika menjalani penggambaran sehingga terpaksa berehat hampir dua minggu di hospital,” ceritanya lagi.

    Filem Tombiruo mengisahkan makhluk yang dikatakan memiliki kesaktian untuk menguasai hutan. Selain ditakuti dan dicaci masyarakat, Tombiruo sebenarnya seorang pemuda yang jiwanya memberontak dan menyembunyikan kemelut dan kesunyian di sebalik topeng yang dipakainya. 

    Apabila sebuah projek empangan mencetuskan beberapa insiden yang menyebabkan kematian ayahnya, Tombiruo yang penuh dendam kemudiannya memburu mereka yang bertanggungjawab. Sebaliknya, pemburu pula menjadi yang diburu apabila Tombiruo bakal berdepan pengembaraan yang penuh bahaya dan tragis, selain mula mengenal erti persaudaraan, keluarga dan cinta.

    Selain Zul, turut membintangi filem ini ialah Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnol Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Dynas Mokhtar, Faye Kusyairi, Michael Chan, R. Azmi Ismail dan ramai lagi.

    Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Sabah sejak penghujung Julai lepas itu dijangka menemui penonton di pawagam tempatan sekitar tahun depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tombiruo Janjikan Kepuasan Berbeza Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top