My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 9 February 2017

    Bas Dua Tingkat Bawa Pelancong Ronda Kuala Lumpur



    PANDANGAN lelaki berusia 55 tahun itu seperti tidak tentu arah sewaktu berada di dalam bas KL Hop-On Hop-Off (KLHOHO) untuk menjelajah sekitar Kuala Lumpur. Adakalanya, Dalmien McGowan menoleh ke kanan, kemudian, ke sebelah kiri jalan untuk melihat keindahan panorama dan gelagat masyarakat tempatan. 

    Sesekali dia mendongak ke atas untuk melihat keindahan bangunan pencakar langit terutamanya Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Setiap pemandangan menarik dan indah dirakam menerusi kamera kompak yang dipegang erat di sebelah tangan kanannya.

    “Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di Malaysia. Saya teruja untuk menjelajah keindahan panorama dan landskap di sekitar Kuala Lumpur. Penjelajahan saya di bandar raya ini menjadi lebih mudah selepas mengetahui terdapat perkhidmatan KLHOHO di sini,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

    Singgah

    KLHOHO merupakan perkhidmatan bas dua tingkat yang menyediakan ruang terbuka di bahagian atas dan berhawa dingin di sebelah bawah. Bas berkapasiti 60 orang penumpang itu akan menjelajah tempat-tempat tarikan utama sama ada lokasi bersejarah, pusat beli-belah dan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

    Menurut McGowan, perkhidmatan KLHOHO membolehkannya meneroka ibu negara tanpa perlu bersusah payah mencari pengangkutan atau lokasi tempat menarik. Jelas lelaki berasal dari London, England itu, bumbung bas yang terbuka di bahagian atas memudahkannya melihat kawasan sekitar. 

    “Ini bukanlah kali pertama saya menaiki bas seperti ini kerana di London juga ada perkhidmatan seperti ini. Namun di sini, saya rasa lebih menarik kerana bas ini singgah banyak tempat dan khidmatnya juga mudah diperoleh,” jelasnya yang berkhidmat sebagai usahawan.

    Mula beroperasi sejak sedekad lalu, KLHOHO menawarkan penjelajahan bebas dan mudah kepada para pelancong asing serta tempatan. Bas itu mempunyai 23 hentian khas yang menjangkau hampir 70 kawasan tarikan utama di sekitar ibu negara.

    Antara destinasi-destinasi menarik yang dilalui termasuklah Aquaria, Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Muzium Negara, KL Sentral, Muzium Diraja, Jalan Petaling dan Medan Mara.

    Ketua Pegawai Eksekutif ElangWah Sdn. Bhd., Syed Azhar Syed Nadzir berkata, KLHOHO berbeza sama sekali dengan perkhidmatan bas sedia ada. KLHOHO menawarkan laluan perjalanan ke tempat-tempat tarikan utama dan popular di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

    “Kami merupakan satu-satunya perkhidmatan pengangkutan di Kuala Lumpur yang melalui hampir ke semua tempat-tempat menarik di bandar raya ini. Perkhidmatan ini cukup sesuai dan ideal kepada para pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki di sini,” katanya.

    Menurut Syed Azhar, KLHOHO memiliki 11 buah bas yang beroperasi secara serentak setiap hari di sekitar Kuala Lumpur. Jelasnya, bas itu akan melalui setiap hentian selang 30 minit sekali, namun ia bergantung kepada keadaan trafik.

    “Penumpang hanya perlu membeli tiket sehari atau dua hari dan mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas ini pada bila-bila masa sahaja. Penumpang boleh naik bas tanpa turun. Mereka juga boleh naik dan turun di mana-mana destinasi perhentian, kemudian naik bas lain untuk pulang.

    “Bagi memudahkan penumpang naik dan turun bas, kami menyediakan papan tanda khas di setiap hentian,“terangnya.

    Tambahnya, sepanjang perjalanan, penumpang akan diberi penerangan ringkas mengenai setiap tempat tarikan menerusi rakaman audio. Katanya, penerangan tersebut disampaikan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

    “Dalam bas, kami menyediakan skrin televisyen dan risalah untuk memudahkan penumpang mendapatkan maklumat mengenai tempat-tempat menarik lain di Malaysia,” katanya. 

    Program khas

    Menurut Syed Azhar, hampir 95 peratus daripada pengguna KLHOHO terdiri daripada pelancong asing manakala selebihnya rakyat tempatan. Bagi meningkatkan jumlah pengguna tempatan, pihaknya telah menganjurkan beberapa program khas bermula awal tahun ini. Salah seorang penumpang tempatan,

    Rosamalina Ismail turut mengakui bahawa perkhidmatan itu lebih selesa digunakan ketika hari bekerja. Jelas gadis berusia 24 tahun itu, waktu tersebut membolehkannya merasai keseronokan maksimum ketika menggunakan bas KLHOHO.

    “Saya guna perkhidmatan ini pada waktu pagi hari bekerja. Bukan saja jalan lengang, penumpang dalam bas pun kurang. Biasanya, saya guna KLHOHO ini untuk bawa kawan-kawan kolej terutamanya dari luar negara menjelajah sekitar Kuala Lumpur."

    Rosamalina menambah, dia juga sering menggunakan perkhidmatan bas KLHOHO untuk menyiapkan tugasan universiti. Katanya, ruang bas yang terbuka membantu memudahkannya mengambil gambar dan membuat tinjauan yang diperlukan.

    “Kalau ada tugasan yang berkaitan Kuala Lumpur, saya lebih selesa naik bas ini kerana ia tinggi dan lebih mudah untuk mengambil gambar. “Harganya juga berpatutan iaitu RM19 dan boleh diakses selama sehari. Jika tidak dapat imej yang sesuai pada sebelah siang, saya naik pada waktu malam pula,” jelas pelajar jurusan fotografi itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bas Dua Tingkat Bawa Pelancong Ronda Kuala Lumpur Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top