My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 10 February 2017

    Jumpa Pinggang Saja



    “Luluh hati melihat keadaan mayat bapa namun saya dan keluarga reda dengan ketentuan Allah SWT,” kata Samirza Salamat, 30. Dalam kejadian di Sungai Santubong, di sini, mangsa Salamat Draub, 55, maut akibat dibaham buaya selepas keluar menjala ikan di sungai itu sekitar jam 8 malam kelmarin. 

    Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Salamat pada jam 10.29 pagi semalam, bagaimanapun hanya bahagian pinggang hingga ke kaki saja yang dijumpai setakat ini. Samirza berkata, arwah bapanya yang bertugas sebagai pembantu am di sebuah sekolah menengah, di sini, memang gemar menjala ikan dan ia adalah hobinya ketika masa lapang.

    Menurutnya, sekiranya arwah bapanya menjala ikan di sungai itu pada sebelah malam, lazimnya dia akan pulang ke rumah sekitar jam 11 malam hingga 12 tengah malam. “Kami sekeluarga menunggu bapa sehingga awal pagi, tetapi masih tidak muncul, malah saya juga cuba menghubungi bapa beberapa kali tidak dapat.

    “Saya dan keluarga mula khuatir dengan keselamatan bapa dan bersepakat membuat laporan di Balai Polis Santubong, di sini, pada jam 5 pagi (semalam) sebelum operasi mencari dilancarkan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.53 pagi semalam. Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petrajaya dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.

    “Sebaik tiba di tebing sungai berkenaan, kami menemui bekalan makanan dan telefon bimbit mangsa. Selepas operasi mencari dijalankan, mayat mangsa ditemui pada jarak tiga kilometer dari lokasi barangan itu ditemui pada jam 10.29 pagi.

    “Walaupun bahagian badan dan kepala belum ditemui, ahli keluarga mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang hilang berdasarkan pakaian dan tubuh badannya,” katanya. Katanya, operasi SAR dihentikan sebelum disambung semula kerana faktor keselamatan dan mayat sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jumpa Pinggang Saja Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top