My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 10 February 2017

    Kerajaan Sentiasa Pantau Harga Petrol


    Kerajaan sentiasa memantau pergerakan naik harga jualan petrol pengguna serta mengambil langkah untuk memperkenalkan beberapa mekanisme yang berpotensi untuk dilaksanakan sekiranya harga jualan itu terus memberi tekanan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan B40. 

    Pada masa sama, kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan langkah memberi subsidi untuk harga petrol pengguna berikutan ia boleh memberi kesan negatif dalam pergerakan ekonomi negara. 

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara mekanisme yang boleh diambil kira sebagai formula mengurangkan bebanan rakyat berikutan isu berkenaan adalah menambah nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

    Beliau berkata, selain itu, menetapkan harga siling jualan petrol kepada pemain industri juga boleh diambil kira, tetapi ia perlu diperhalusi bagi memastikan peniaga menjual petrol ke semua kawasan dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

    “Kita tidak akan kembali kepada polisi lama iaitu memberi subsidi petrol tetapi lebih mengutamakan golongan B40 sekiranya harga minyak yang terus meningkat dan memberi tekanan kepada kos sara hidup mereka.

    “Misalnya, harga jualan petrol meningkat pada kadar RM3 atau RM3.40 seliter, kita berikan BR1M tambahan jika kerajaan mempunyai perolehan yang lebih. Sekiranya harga minyak turun, kita perlu mengurangkan nilai bantuan itu,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), di sini.

    Harga petrol dan diesel Malaysia diletakkan dalam sistem apungan terurus sejak 1 Disember 2014 berikutan pemansuhan subsidi bahan api. Dalam prestasi harga jualan semasa, petrol RON95 dan RON97 dinaikkan 20 sen bagi bulan ini manakala harga diesel pula meningkat 10 sen.

    Johari berkata, buat masa ini harga jualan minyak masih lagi dalam keadaan terkawal dan perkara paling utama ialah mengukuhkan ekonomi negara dengan meningkatkan sektor pelancongan, menggalakkan eksport serta memastikan keadaan politik stabil.

    Katanya, meskipun ketika ini negara berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, tetapi prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) terus mencatatkan peningkatan seperti tahun ini diunjurkan pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus berbanding krisis ekonomi pada 1997-1998 dan 2008-2009.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kerajaan Sentiasa Pantau Harga Petrol Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top