My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 20 February 2017

    Nostalgia Permainan Papan


    Saidina, Monopoli dan Jutaria mungkin tidak asing bagi remaja era 90-an namun permainan papan itu kini kian dilupakan seiring dengan peredaran zaman. Malah, tidak ramai tahu bahawa komuniti ‘board gamers’ masih aktif dan salah seorangnya adalah Muhammad Akram Datuk Dr Abdul Aziz yang memiliki 200 koleksi permainan papan. 

    Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, koleksi permainan berkenaan dibeli sedikit demi sedikit sejak berumur 17 tahun menggunakan wang simpanan. “Seperti remaja lain, saya juga gemar bermain bola sepak namun hobi itu agak klise terutama bagi budak lelaki.

    “Kerana mahu mencari kelainan, saya mencuba hobi baru iaitu bermain permainan papan dan ternyata ia amat menyeronokkan. Minat itu kemudian bertukar menjadi hobi sehingga saya sanggup mengumpul wang bagi membelinya untuk bermain dengan rakan sebilik ketika di asrama,” katanya yang bekerja sebagai peguam sivil dan harta intelek.

    Bercerita lanjut, Muhammad Akram berkata, sehingga kini, dia sudah membelanjakan kira-kira RM30,000 bagi membeli semua koleksi permainan berkenaan. Menurut Muhammad Akram, jumlah itu agak besar tetapi dia tidak menganggapnya sebagai satu pembaziran kerana minat dan yakin boleh menjualnya semula pada masa akan datang.

    “Sebahagian koleksi dibeli dari kedai di sekitar Subang Jaya dan Wangsa Maju manakala selebihnya perlu ditempah terlebih dulu sementara menunggu stok tiba. Saya membelinya dengan harga antara RM60 hingga RM100 dan ada juga yang mencecah RM500 bagi satu set permainan.

    “Ia bergantung kepada jenis dan kebiasaannya. Harga permainan keluaran terhad lebih mahal,” katanya yang mengumpul pelbagai koleksi permainan papan seperti 5 Pillars, Survive-Escape From Atlantis, Twilight Imperium, Pandemic, Acquire, Risk dan Cluedo.

    Menurut Muhammad Akram, selain mendapat kepuasan, permainan papan membolehkannya berinteraksi lebih rapat dengan individu sekeliling terutama rakan sekerja dan kakitangan. Oleh kerana itu, dia menjadikan permainan itu sebagai salah satu aktiviti wajib di pejabat bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

    “Selalunya, saya akan mengajak rakan sekerja dan kakitangan bermain selepas waktu pejabat. “Jika tidak sempat, kami akan bermain selepas solat Jumaat atau ketika berkumpul di rumah saya dan tempoh bermain mengikut jenis permainan.

    “Menariknya, bukan saja rakan lelaki malah ada juga perempuan yang turut serta kerana permainan ini sesuai untuk semua golongan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nostalgia Permainan Papan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top