My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 12 February 2017

    Pengakhiran Black Sabbath


    Tanggal 4 Februari lalu adalah tarikh bersejarah buat band heavy metal legenda dunia, Black Sabbath apabila mengadakan persembahan terakhir di Genting Arena, Birmingham, England selepas ditubuhkan 49 tahun lalu. 

    Konsert sempena siri jelajah The End Tour bermula di Omaha, Amerika Syarikat pada 20 Januari tahun lalu itu juga adalah siri konsert jelajah mereka yang terakhir. Selepas ini tidak ada lagi konsert daripada ‘otai-otai’ heavy metal ini iaitu Ozzy Osbourne, 68, (penyanyi), Tony Iommi, 68, (gitar) dan Geezer Butler, 67, (bass).

    Jika anda antara yang menonton konsert mereka di Birmingham itu Sabtu lalu, anda adalah antara penonton terakhir yang menyaksikan konsert Black Sabbath selepas ribuan konsert mereka sejak 1968! Birmingham juga dipilih sebagai lokasi terakhir The End Tour kerana ia adalah kampung halaman mereka dan Black Sabbath ditubuhkan di situ pada 1968.

    Dalam konsert itu, Black Sabbath yang turut dibantu Tommy Clufetos sebagai pemain dram dan Adam Wakeman (keyboard, gitar) mempersembahkan 15 lagu klasik mereka antaranya Black Sabbath, Fairies Wear Boots, Into The Void, Snowblind, War Pigs, NIB, Iron Man, Children of the Grave dan Sabbath Bloody Sabbath.

    Lagu paling hit, Paranoid daripada album kedua mereka dengan judul yang sama pada 1970 menjadi lagu terakhir dimainkan. Sebaik saja konsert di Birmingham itu berakhir, ramai yang tertanya-tanya adakah Black Sabbath betul-betul akan ditamatkan? Adakah Ozzy, Iommi dan Geezer akan hanya berehat di rumah selepas ini sambil melayan cucu mereka?

    Iommi kemudian tampil dengan kenyataan bahawa yang ‘berakhir’ hanyalah persembahan live Black Sabbath, tetapi mereka bertiga akan terus aktif dalam bidang muzik. “Kami hanya tidak akan bermain di konsert lagi. Sudah tiba masanya untuk saya berehat di rumah buat seketika daripada bergerak ke seluruh dunia untuk konsert jelajah.

    “Apabila memulakan konsert jelajah, anda perlu keluar selama enam, lapan atau 12 bulan dan anda perlu mengikut segala jadual yang sudah disediakan. Sekarang jika saya mahu membuat kemunculan di TV, saya boleh lakukan,” katanya.

    Bagaimanapun, Iommi tidak menolak kemungkinan Black Sabbath akan hasilkan lagu dan album terbaru mereka. Mereka mungkin akan mengikut jejak The Beatles yang menghasilkan lima album selepas tidak lagi mengadakan konsert.

    “Selain tidak lagi mengadakan konsert jelajah, saya tak fikir kami akan terus berhenti dalam muzik. Siapa tahu? Kami mungkin akan lakukan sesuatu. Buat masa ini kami belum berbincang mengenai apa-apa, tapi saya pasti apa saja boleh berlaku selepas ini. Dalam pada itu, Ozzy akan terus aktif sebagai penyanyi solo walaupun Black Sabbath tidak lagi aktif.

    “Bukan saya yang mahu bersara, tetapi Black Sabbath. Saya akan meneruskan konsert solo seperti sebelum ini,” katanya.

    Agak malang juga kerana pada hari yang bersejarah itu, Black Sabbath hadir tanpa pemain dram asal mereka iaitu Bill Ward. Ward, 68, meninggalkan band itu pada 2012 selepas berselisih pendapat dengan anggota lain mengenai pengurusan kewangan mereka. Bulan lalu, bekas pemain keyboard mereka, Geoff Nicholls meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat kanser.

    Nicholls menjadi anggota Black Sabbath dari tahun 1979 hingga 2004. Tanpa Black Sabbath, tidak wujudlah heavy metal. Jika anda meminati muzik rock dan heavy metal, album Black Sabbath wajib ada dalam simpanan anda.

    Ini kerana mereka adalah perintis kepada muzik heavy metal dan memberi pengaruh kepada hampir semua band rock pelbagai genre di seluruh dunia dalam menghasilkan muzik sendiri. Empat album terawal mereka iaitu Black Sabbath pada 1970, Paranoid (1970), Master of Reality (1971) dan Vol 4 (1972) memberi inspirasi kepada jutaan rocker di seluruh dunia menubuhkan band rock.

    Ada di antara mereka berjaya menjadi band yang masyhur dan hebat. Daripada Kiss, Iron Maiden, Metallica, Guns N Roses, Napalm Death, WASP, Nirvana, Soundgarden hinggalah Sweet Charity, Search dan Bloodshed di negara ini.

    Semuanya sedikit sebanyak mengambil muzik daripada Black Sabbath sebagai inspirasi hingga muncul sebagai band rock ternama. Siapa sangka idea Iommi untuk menghasilkan ‘muzik seram’ dengan ‘riff’ gitar yang berat serta lirik nukilan Geezer bertemakan ‘occult’ dan ‘horror’ akhirnya menjadikan mereka seperti hari ini.

    Sejak 1970, Black Sabbath sudah melahirkan 19 album studio, enam album ‘live’ dan 11 album kompilasi dimana jumlah keseluruhannya terjual lebih 70 juta unit di seluruh dunia. Reputasi Black Sabbath juga membuatkan MTV melabelkan mereka sebagai Band Metal Terhebat Sepanjang Zaman.

    VH1 pula meletakkan Black Sabbath di tempat kedua sebagai 100 Artis Hard Rock Terhebat Sepanjang Zaman, manakala majalah Rolling Stone meletakkan mereka di kedudukan 85 dalam 100 Artis Terhebat Sepanjang Zaman. Pada 2005, Black Sabbath disenaraikan dalam UK Music Hall of Fame dan Rock & Roll Hall of Fame pada 2006. Mereka juga pernah memenangi dua Grammy Awards dalam kategori Persembahan Metal Terbaik.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pengakhiran Black Sabbath Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top