My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 8 February 2017

    Proton Sedang Menilai 3 Kriteria



    DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) percaya PROTON Holdings Berhad (PROTON) mampu berjaya sebagai pengeluar kenderaan apabila rakan strategik asing menjadi pemegang ekuitinya. 

    Kehadiran pemegang ekuiti asing baharu akan menghidupkan semula PROTON apabila mendapat akses kepada platform, enjin serta teknologi baharu, sekali gus menambah baik produk dan kualiti yang dihasilkan syarikat pengeluar kenderaan nasional itu.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, semalam, DRB-HICOM berkata, penambahbaikan itu menunjukkan niat dan hasrat DRB-HICOM bagi mengekalkan PROTON sebagai jenama kenderaan. “PROTON sudah berada di pasaran sejak pertengahan 1980-an dan masih mempunyai ekuiti jenama dalam pasaran tempatan walaupun sudah dan sedang mengharungi cabaran getir.

    “DRB-HICOM kekal komited untuk memulihkan PROTON dan pencarian rakan kongsi asing adalah kritikal kepada sasaran itu,” kata kenyataan itu. Sejarah membuktikan kerjasama antara pengeluar kenderaan yang kecil dengan jenama gergasi mampu memulihkan prestasi pengeluar kenderaan.

    Dengan rakan strategik asing yang tepat, PROTON mampu memulihkan ekuiti jenamanya dan kembali berjaya seperti pada 1980-an dan 1990-an. Menurutnya, dalam mencari rakan strategik asing yang tepat untuk PROTON, DRB-HICOM akan menilai tiga kriteria utama iaitu keserasian strategik, keserasian operasi dan keserasian budaya.

    Keserasian strategik akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan semua teknologi dan produk yang sedia ada untuk keperluan mereka dalam pasaran masing-masing.

    “Keserasian strategik ini juga akan memastikan PROTON mampu menerima manfaat daripada operasi domestik yang lebih besar yang membawa kepada skala ekonomi dan dalam menilai rakan kongsi berpotensi, DRB-HICOM akan menjadikannya sebagai satu syarat jenama PROTON dan teknologinya akan diperluaskan ke pasaran ASEAN dan global.

    “Wajib diperjelaskan bahawa pencarian DRB-HICOM untuk rakan kongsi strategik untuk PROTON adalah satu misi yang penting bagi memastikan kesinambungannya,” katanya.

    Katanya, sebagai pemegang saham yang bertanggungjawab dan sebagai faktor penilaian rakan kongsi, DRB-HICOM akan menilai niat rakan kongsi yang berpotensi dalam menggunakan rangkaian vendor tempatan semasa.

    “Ini adalah elemen yang sangat penting dalam penilaian kami kerana DRB-HICOM juga mempunyai anak syarikat yang menjadi vendor kepada PROTON dan akan mengelakkan rangkaian vendor tempatan daripada diketepikan.

    “Kami sudah menyatakan sebelum ini bahawa kami akan mengekalkan ekuiti yang besar dalam PROTON. Pencarian rakan asing bukan usaha melepaskan tanggungjawab, tetapi meningkatkan PROTON sebagai pengeluar kereta di peta dunia,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Proton Sedang Menilai 3 Kriteria Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top