My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 13 April 2017

    Bagai Menonton Filem




    Cuba lari daripada kebiasaan penerbitan drama cinta dan adaptasi novel, syarikat penerbitan Filmscape Sdn Bhd bakal muncul dengan drama genre psiko thriller berjudul Di Sebalik Wajah. Drama bersiri 30 episod yang menampilkan pelakon Diana Danielle, Aliff Aziz dan Hefny Sahad selaku watak utama akan disiarkan pada 1 Mei ini di saluran Hypp Sensasi (HyppTV). 

    Selain mengetengahkan genre yang jarang dipertontonkan kepada umum, drama itu turut menggunakan khidmat pengarah Patrick Lim yang sebelum ini mengarah di Los Angelas (LA), Amerika Syarikat. Menurut Patrick, 48, drama pertama arahannya itu diberi sentuhan ala filem dari segi kerja kamera dan pengarahan.

    “Sejujurnya ini adalah drama Melayu pertama arahan saya. Selama ini saya lebih banyak mengarah filem seperti di LA dulu, namun apabila dapat tawaran projek ini, saya berasa teruja.

    “Bukan apa, genre drama ini sangat menarik dan berasakan ia satu cabaran untuk saya. Pada masa sama saya boleh menggunakan pengalaman yang ada ketika mengarahkan drama ini. Oleh itu, saya nekad untuk memberi sentuhan drama itu seperti sebuah filem. Bagi saya genre sebegini sangat sesuai,” katanya.

    Patrick yang berpengalaman mengarah filem pendek, video muzik dan iklan komersial selama tujuh tahun di negara Uncle Sam itu menyifatkan kualiti drama itu jauh berbeza daripada drama lain. Malah, dia boleh berbangga apabila kualiti drama itu mendapat maklum balas positif daripada stesen TV.

    “Pada mulanya takut juga jika pengarahan saya itu tidak menepati piawaian mereka, tetapi saya di beritahu kualiti drama itu sangat berbeza seolah-olah mereka menonton filem. Bagi saya tak salah nak mencuba sesuatu yang lain dan luar biasa. Saya yakin penonton drama Melayu juga inginkan ‘feel’ baru. Meski ia hanyalah drama, saya mahu berikan lebih daripada itu.

    “Paling penting, dalam drama itu saya turut selitkan elemen komedi agar penonton tidak bosan. Jadi jangan takut nak menonton drama ini kelak,” katanya.

    Berkongsi mengenai kerjasama dengan pelakon tempatan, Patrick memuji sikap dan cara kerja mereka yang memberikan sepenuh komitmen. Patrick juga seronok apabila semua pelakon berjaya menyampaikan watak masing-masing seperti yang diingini.

    Di Sebalik Wajah mengisahkan Nadia Sabrina Syamsul (Diana Danielle) mengalami kemalangan ngeri sehingga mengakibatkan dia koma dan hilang ingatan. Selepas pulih dari koma dan menjalani pembedahan muka, Nadia bertukar menjadi seorang wanita yang keliru dengan identiti dirinya.

    Melalui orang sekeliling dia hanya mengetahui namanya, isteri kepada Amir Hisyam (Aliff Aziz) dan pewaris syarikat pemaju hartanah terkemuka di Malaysia. Namun, Nadia bertambah keliru kerana dia sering dihantui bayangan dan mendapat panggilan misteri menyuruh dia membunuh suaminya.

    Pada masa sama, Nadia sering terbayang seorang lelaki lain yang juga seorang wartawan jenayah, Fared Hanafi (Hefny Sahad) yang turut kehilangan teman wanitanya, Elisa (Zarina Zainoordin) iaitu pada hari yang sama Nadia kemalangan. Nadia cuba mengembalikan ingatannya dengan menyertai Fared dalam siasatannya untuk membongkar misteri di sebalik semua kejadian itu.

    Bagaimanapun, hubungan rapat mereka menimbulkan salah faham di antara Nadia dan suaminya, Amir.

    Selain Diana, Aliff dan Hefny barisan pelakon lain yang terbabit ialah Marissa Yasmin, Zarina Zainoordin, Haeriyanto Hassan dan Anwar Khan. Kerjasama pertama Bagi Hefny, pembabitannya dalam drama itu memberikan satu pengalaman luar biasa kerana belum pernah berlakon genre sebegini.

    “Ini kali pertama saya melakonkan watak serius dan berat. Walaupun mencabar, saya seronok dan puas. Saya cukup teruja dengan genre drama itu. Tambahan lagi saya dapat memegang watak wartawan jenayah yang perlu ke lokasi kejadian.

    “Meskipun sekadar lakonan, saya dapat rasa seperti berada di tempat sebenar. Untuk menghayati watak itu, saya banyak buat rujukan dengan menonton siri penyiasatan Hollywood,” katanya. 

    Mengenai kerjasamanya dengan Diana dan Aliff, Hefny yang juga pengacara program Muzik Muzik 32 mengakui tidak sukar untuk mencipta keserasian. Malah, sepanjang 70 hari penggambaran, Hefny berasakan mereka seperti satu keluarga apabila masing-masing saling membantu.

    “Sebelum ini saya tak pernah jumpa Diana dan beberapa kali bertemu Aliff pada acara hiburan. Ini kerjasama pertama kami dalam drama. Bekerja dengan mereka sangat bagus kerana masing-masing ‘memberi’. Pendek kata segalanya berjalan lancar,” katanya.

    Sementara Aliff pula menyifatkan watak yang diberikan membolehkan dia mewarnai sendiri karakter itu. “Dalam skrip watak saya biasa saja, tetapi pengarah mahukan sesuatu yang lebih menarik. Dia mahu saya tonjolkan watak itu. Jadi dengan bantuan pengarah saya cuba memberikan yang terbaik. Diakui ia bukan mudah, tetapi saya berjaya melakukannya.

    “Pada masa sama, kerjasama daripada semua pelakon sangat membantu. Walaupun masing-masing baru kali pertama berlakon bersama, kami dapat wujudkan keserasian dalam masa kurang seminggu,” katanya.

    Aliff yang juga pelakon drama Meh Sandar Pada Aku menyifatkan Patrick seorang pengarah yang bagus. “Patrick tahu apa yang diinginkannya dan disebabkan itu penerangan yang diberikan bagi setiap watak dibuat secara terperinci. Dia bukan jenis yang main buat saja. Setiap babak dirancang dengan sebaiknya.

    “Mungkin dengan pengalaman yang ada pada dirinya membuatkan dia jadi lebih fokus. Pendek kata dia okey dan sentiasa beri garis panduan kepada pelakon,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bagai Menonton Filem Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top