My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 13 April 2017

    Kampungstay Lokasi Percutian Keluarga


    SEBAIK memasuki kawasan perkampungan Desa Murni Sanggang yang terletak di Temerloh, Pahang, Mazlan Abdul Aziz, 47, masih tidak dapat membayangkan keadaan penginapan ala inap desa yang bakal didiami bersama rakan-rakannya. 

    Malah, dia juga tidak dapat mengagak rumah yang mana satu bakal didiami kerana berdasarkan pemerhatian awalnya, kebanyakan rumah di situ diduduki orang. “Pada awalnya, saya beranggapan inap desa yang bakal kami diami sepanjang dua hari satu malam merupakan sebuah rumah milik penduduk kampung khas untuk tujuan sewaan.

    “Namun, saya tidak sangka bahawa Kampungstay Desa Murni yang menjadi pilihan rakan setugas sebagai lokasi berlangsungnya program hari keluarga kami sememangnya lain daripada yang lain. 

    “Selain lebih privasi, kemudahan yang disediakan juga setaraf dengan apa yang ditawarkan oleh kebanyakan resort yang terdapat di lokasi-lokasi tumpuan pelancong seluruh negara,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

    Menurut Mazlan lagi, dia bersama 24 rakan setugasnya memilih inap desa yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Temerloh itu bagi menikmati suasana kampung yang jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan di bandar.

    Katanya, bilik penginapan berkonsepkan rumah kayu dengan seni bina Melayu itu cukup luas dan selesa terutama bagi pengunjung yang berkeluarga. “Apabila masuk ke dalamnya, kita akan berasa seolah-olah berada di rumah sendiri. Setiap ruang yang ada benar-benar menyerupai rekaan sebuah rumah kampung.

    “Malah, apabila tinggal bersama rakan-rakan di dalam sebuah rumah yang mempunyai beberapa bilik, kita akan berasa seperti sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul,” katanya.

    Pendapat sama turut diberikan seorang lagi pengunjung yang datang dari Pulau Langkawi, Kedah, Fatin Hamizah Adnan, 24, dengan memberitahu, dia memilih Kampungstay sebagai lokasi percutian bersama suaminya, Mohd. Hanafi Kamit, 30, bagi mendapatkan kelainan.

    Tenang

    Katanya, berbanding menginap di hotel yang terletak di tengah-tengah bandar, dia lebih selesa untuk menginap di situ yang jauh lebih menyeronokkan. “Di sini, kita boleh berehat dengan lebih tenang. Suasananya juga amat mendamaikan berbanding dengan menginap di hotel di bandar,” katanya yang memilih bilik berkonsepkan kabin memandangkan pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.

    Sememangnya Kampungstay Desa Murni bukanlah asing bagi penduduk di sekitar Temerloh sementelah ia lahir daripada program Inap Desa Kampung Desa Murni yang pertama di negara ini yang berdaftar dan diiktiraf oleh Kementerian Pelancong pada tahun 1995 sebelum menjadi ikutan para pengusaha inap desa lain di seluruh negara.

    Pengurusnya, Khairul Hakimin Sahariman berkata, Kampungstay yang merupakan penginapan ala inap desa itu mula beroperasi pada tahun 2015 selepas pengurusan Inap Desa Kampung Desa Murni mengambil keputusan untuk menyediakan penginapan yang lebih selesa sebagai pilihan kepada pelancong yang berkunjung ke kampung tersebut.

    Tradisional

    Jelas beliau, Kampungstay mempunyai lapan buah rumah binaan kayu bercirikan tradisional dan moden yang disediakan kepada pengunjung sebagai penginapan termasuk sebuah rumah untuk tetamu khas selain enam buah kabin serta sebuah dewan.

    “Terdapat 44 buah bilik disediakan di sini dengan kesemuanya dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti pendingin hawa, pemanas air bilik mandi selain televisyen dengan rangkaian Astro.

    “Malah, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti sama ada di dalam dewan atau ruang terbuka yang terdapat di sekitar kawasan inap desa ini terutama mereka yang datang secara berkumpulan.

    “Peluang menginap di sini bakal memberi pengalaman yang berbeza kepada pengunjung yang ingin merasai percutian dalam suasana kampung,” katanya.

    Menurut beliau lagi, selain kemudahan Wi-Fi, padang permainan kanak-kanak serta bilik spa dan sauna, sebuah kolam renang bersaiz sederhana turut dibina bagi membolehkan pengunjung menikmati keseronokan bersama keluarga sepanjang berada di inap desa itu.

    Bagi mereka yang ingin meneroka kawasan kampung pula, pengurusan Kampungstay turut menyediakan basikal yang boleh disewa pada kadar yang berpatutan. Aktiviti menjelajah kampung pula akan diiringi beberapa petugas bagi tujuan keselamatan selain mengelak daripada berlaku sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti memancing, mencanting batik dan berkunjung ke bengkel ukiran kayu yang diusahakan oleh penduduk kampung tersebut.

    Tarikan lain

    Kata beliau lagi, selain melakukan aktiviti di sekitar perkampungan tersebut, pengunjung juga boleh meneroka beberapa lokasi tarikan pelancong yang terdapat di sekitar bandar Temerloh.

    “Antaranya, menikmati hidangan ikan patin masak tempoyak yang menjadi menu signatur bagi bandar Temerloh. Selain itu, pengunjung boleh berkunjung ke pekan sehari Temerloh yang merupakan pekan sehari terbesar di negeri ini dan tapak jualan but kenderaan pada hari Sabtu dan Ahad.

    “Pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti menyusuri Sungai Pahang dengan menaiki bot penambang bagi menikmati keindahan bandar Temerloh dari sudut pandangan yang berbeza,” katanya.

    Menurut Khairul Hakimin lagi, selain menjadi tumpuan pengunjung yang datang dari bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Kampungstay juga turut menerima pelawat asing khususnya kumpulan pelajar dan pelancong dari Jepun setiap tahun selain pelancong dari Arab, Eropah dan negara-negara Asia lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kampungstay Lokasi Percutian Keluarga Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top