My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 22 May 2017

    Ramai Rakyat Malaysia Pekak


    Gaya hidup moden mendedahkan kita kepada pencemaran bunyi secara berterusan, sama ada di tempat kerja atau sewaktu menjalani aktiviti riadah yang menjurus kepada pengurangan purata usia berlakunya masalah pendengaran. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan seramai 360 juta penduduk dunia mengalami masalah pendengaran termasuk 32 juta kanak-kanak. 

    Masalah pendengaran mungkin berpunca daripada genetik, komplikasi ketika kelahiran, jangkitan penyakit tertentu, jangkitan telinga kronik, penyalahgunaan ubat, terdedah kepada bunyi bising berlebihan dan penuaan.

    Namun, 60 peratus punca masalah pendengaran berlaku dalam kalangan kanak-kanak disebabkan punca yang boleh dicegah. Dianggarkan kira-kira 1.1 bilion penduduk dunia berusia 12 hingga 35 tahun berisiko mengalami masalah pendengaran disebabkan tahap bunyi yang tidak selamat daripada peralatan rekreasi (alat audio peribadi, kelab, konsert dan tempat kerja yang bising).

    Malah, badan kesihatan dan keselamatan pekerjaan negara ini juga menyatakan masalah pendengaran satu daripada tiga penyakit pekerjaan utama di Malaysia, selain sakit bahagian bawah belakang dan masalah otot lengan atas.

    Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah pendengaran di negara ini, penyedia penjagaan pendengaran, Nessa, menjalankan kaji selidik pada Januari lalu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mendidik orang ramai dan memberi kesedaran mengenai hilang upaya pendengaran.

    Berdasarkan kaji selidik itu, 65 peratus rakyat Malaysia tidak pernah melakukan ujian pendengaran sebelum ini. Tiga masalah utama pendengaran atau simptom berkaitan yang dialami rakyat Malaysia adalah dengung dalam telinga (40 peratus), pening (25 peratus) dan sukar mendengar (22 peratus). 

    Malah, 90 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai masalah pendengaran tidak menggunakan alat bantuan pendengaran, walaupun berhadapan dengan kesan fizikal dan psikologi dalam kehidupan mereka. Ini kerana, ramai yang beranggapan menggunakan alat bantuan pendengaran bermaksud mereka sudah tua atau kurang upaya.

    Ada juga yang berpendapat masalah pendengaran sebahagian daripada penuaan dan mengabaikannya. Lebih memburukkan keadaan, segelintir individu dengan masalah pendengaran menggunakan alat pembesar suara untuk menangani masalah pendengaran.

    Pemangku Ketua Pegawai Perubatan Nessa Pte Ltd, Dr Ogan Gurel berkata, kesihatan pendengaran sangat penting untuk manusia berfungsi, selain deria berkenaan sangat mempengaruhi kesihatan otak secara keseluruhan.

    “Satu kajian mendapati masalah pendengaran dikaitkan dengan pengurangan kognitif dalam kalangan dewasa yang lebih berusia dan warga emas yang mempunyai masalah pendengaran lebih cenderung menghidap nyanyuk dalam jangka waktu tertentu.

    “Masalah pendengaran yang tidak ditangani bukan saja menjejaskan keupayaan pendengaran untuk mendengar dengan tepat, malah ia juga menjejaskan fungsi kognitif pada tahap lebih tinggi,” katanya.  Dr Gurel berkata demikian dalam sesi perbincangan sempena pelancaran kempen Mendengar Lebih Baik, Hidup Lebih Baik 2017 anjuran Nessa, baru-baru ini.

    Turut menyertai panel perbincangan, Presiden Skuad 69 PDRM, Abdul Aziz Bakar, selebriti penghidap tinnitus (telinga berdesing), Steve Yap dan Ketua Pegawai Eksekutif Nessa, Olivier Carnohan.

    Pada majlis sama, Nessa juga melancarkan alat bantuan pendengaran yang direka bentuk bersama Apple apabila boleh dipancarkan melalui iPhone, di samping direka khas untuk kegunaan bersama ketika menonton televisyen.

    Rekaan alat bantuan pendengaran ringan dan kecil serta hampir tidak kelihatan ketika dipakai membantu menangani sebarang stigma bagi mereka yang enggan menggunakan peralatan berkenaan. 

    Dr Gurel juga pakar teknologi perubatan masa hadapan berkata, teknologi penjagaan kesihatan pada masa hadapan akan memberi penekanan kepada sains kesihatan dalam pengurusan penjagaan kesihatan supaya konsepnya seiring dengan gaya hidup moden.

    Sementara itu, Pakar Perubatan Geriatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Dr Rajbans Singh berkata, penuaan yang sihat sangat penting bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti kehidupan warga emas berikutan mereka kehilangan pelbagai keupayaan fizikal seperti tidak dapat mengunyah, kurang cergas, daya ingatan merosot dan pandangan serta pendengaran kurang baik.

    “Di Malaysia, kira-kira 30 peratus daripada 3.8 juta warga emas mempunyai tahap masalah pendengaran tertentu. Masalah pendengaran menjejaskan fungsi seharian, komunikasi dan hubungan dengan orang sekeliling.

    “Ramai warga emas yang mengalami masalah pendengaran berasa terasing dan cenderung ke arah kemurungan. Pendengaran lebih baik tentu sekali bermaksud kualiti kehidupannya juga lebih baik. Oleh itu, alat bantuan pendengaran seharusnya dilihat sebagai sistem sokongan untuk membantu melancarkan kesihatan dan kualiti pendengaran,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ramai Rakyat Malaysia Pekak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top