My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 16 May 2017

    Tugas Guru Makin Mencabar


    SEPERTIMANA yang diketahui tanggal 16 Mei menjadi satu tarikh keramat untuk golongan pendidik kerana ia dipilih sebagai Hari Guru. Saban tahun, pasti setiap sekolah tidak melepaskan peluang untuk mengadakan sambutan Hari Guru sebagai satu cara mengenangkan jasa-jasa golongan pendidik. 

    Guru adalah pemangkin bangsa, tanpa mereka kita tidak mungkin berada di mana kita berdiri sekarang. Ramai beranggapan, tugas sebagai guru hanyalah untuk mendidik anak bangsa di sekolah. Hakikatnya guru kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan bukan sekadar mengajar sahaja. 

    Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Cikgu Ahmad, 58, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun mengakui menghadapi pelbagai cabaran dari semasa ke semasa. Menurutnya, cabaran utama adalah daripada golongan pelajar itu sendiri kerana minda dan pengetahuan mereka berubah mengikut peredaran zaman.

    “Apa yang boleh saya jelaskan berbanding 20 tahun lalu sikap dan keperibadian pelajar berubah dari semasa ke semasa. Berbanding dahulu, pelajar pada zaman ini segelintirnya langsung tidak mempunyai rasa hormat kepada guru dan tindakan mereka boleh dianggap sebagai keterlaluan,” jelasnya yang akan bersara pada tahun hadapan.

    Tambahnya, antara kenangan yang tidak boleh dilupakan ialah keretanya dicalarkan oleh pelajar apabila dia mendenda mereka kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

    Teknologi

    Ujarnya, sewaktu mula-mula mengajar sekitar awal tahun 1980-an, ada ibu bapa datang berjumpa dengannya bagi menyerahkan anak-anak untuk dididik. “Mereka bukan sekadar meminta saya mendidik malah memberi kebenaran untuk merotan atau menghukum jika anak-anak mereka melakukan kesalahan.

    “Situasi itu sudah tiada lagi pada masa kini. Malahan ada kes guru didakwa apabila merotan murid,” katanya yang merupakan guru sekolah rendah. Dalam pada itu, Cikgu Ahmad berkata, perkembangan bidang teknologi juga membolehkan pelajar kini mempelajari banyak perkara.

    “Bagaimanapun, perkembangan itu turut membawa sesuatu yang negatif. Saya pernah menangkap pelajar yang melakukan aksi tidak senonoh di dalam kelas. “Apabila ditanya, dia menyatakan mengetahui perkara tersebut di internet,” jelasnya.

    Tambahnya, inilah situasi yang dihadapi guru masa kini. Selain memberi pendidikan dari segi akademik, guru juga perlu mengajar pelajar tentang nilai-nilai moral. Dalam pada itu, seorang lagi guru yang mahu dikenali sebagai Cikgu Wan berkata, bagi menjadi seorang pendidik bukanlah mudah tambah-tambah lagi bagi guru yang mengajar di kawasan pedalaman.

    Jelasnya, sebaik tamat belajar dia ditugaskan untuk mengajar di salah sebuah kawasan pedalaman di Sabah. “Saat pertama kali menjejakkan kaki di sini saya bagaikan hendak menangis. Bayangkan untuk sampai ke sini saya perlu meredah perjalanan yang berjam-jam lamanya. “Namun demi berbakti untuk anak bangsa saya tidak kisah semua itu,” jelasnya yang kini berusia 28 tahun.

    Cikgu Wan berkata, berbeza dengan sekolah di bandar, tahap penguasaan murid di kawasan pedalaman lebih rendah dan masih terbatas. “Untuk menguasai kurikulum semasa, mereka memang agak ketinggalan. Namun, semangat yang mahu mendapatkan pendidikan itu membuatkan saya berbangga dengan mereka.

    "Cabaran lain yang dihadapi guru-guru di pedalaman ialah kemudahan-kemudahan dan kelengkapan sekolah masih serba kekurangan dan agak sukar untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, berkata, tidak dapat dinafikan beban guru semakin bertambah dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, katanya, ilmu pendidikan yang dibekalkan mampu membantu mereka menjalankan tugas dengan baik.

    “Kami berharap perancangan untuk melantik pembantu guru dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia dapat membantu mengurangkan beban guru.

    Ibu bapa

    “Ia membolehkan para guru fokus terhadap proses pengajaran dan pembelajaran dan mereka tidak terbeban dengan tugas-tugas pentadbiran,” jelasnya.

    Pada masa sama, Mohamad Ali berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan bersama-sama membantu guru mendidik anak-anak mereka. Menurutnya, anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu bapa dan didikan dari rumah itu penting untuk melahirkan pelajar yang menghormati serta mendengar kata guru.

    “Saya juga ingin menasihati ibu bapa di luar sana agar menggunakan saluran yang betul jika timbul sebarang isu dengan guru dan bukan mengambil langkah terus menularkannya ke media sosial sehingga boleh menjatuhkan profesion perguruan. “Guna saluran yang harmoni dan berbincang dengan pihak sekolah terlebih dahulu agar ketidakpuasan yang berlaku tidak berpanjangan,” tegasnya.

    Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar guru, pendidik, pensyarah dan cikgu. 
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tugas Guru Makin Mencabar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top