My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 21 June 2017

    Air Mata Tumpah Dek Kasihnya Ibu


    Ada titisan air mata yang mengalir tatkala Awie menyampaikan lagu Kasihnya Ibu. Biarpun pernah dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif dan dikatakan berjiwa kental, naluri Awie tetap tersentuh apabila menyanyikan lagu yang amat menyentuh perasaan ini. 

    Selesai persembahan, dia mengambil masa seketika menyapu air mata sambil mententeramkan emosi sebelum menyampaikan lagu seterusnya. Persembahan eksklusif ini dapat disaksikan pada majlis Raikan Ramadhan Al Mubarak Bersama Wings & Superfriends yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Program anjuran Awie Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Hotel Premiera ini mencipta sejarah tersendiri kerana belum pernah ada kumpulan rock diberi peluang bekerjasama dengan mana-mana hotel ketika Ramadan.

    Sebelum persembahan dimulakan, Wings turut memberikan sumbangan duit raya kepada anak yatim sebagai tanda prihatin mereka terhadap golongan ini. Mengambil kira semangat Ramadan, Wings & Superfriends memilih mendendangkan lagu berunsur kemanusiaan dan bercorak melankolik daripada album Wings serta lagu artis lain.

    Superfriends menampilkan persembahan Kudeen 3 Juara, Liza Hanim, kumpulan Acapella dan penampilan pemuzik Lola XPDC, Kudin Headwind, Rody Kristal dan Eddie XPDC. Kumpulan Acapella menyanyikan lagu Taman Rashidah Utama, Kembara Di Tanah Gersang, Rapuh, Joget Siapa Dia dan Acapella Raya.

    Kudeen pula menyampaikan lagu Salam Aidilfitri, Pada Syurga Di Wajah Mu dan Semalam Yang Hangat. Sementara itu, Liza Hanim mendendangkan lagu Jeritan Batinku, Suasana Hari Raya, Gelisah Mimpi dan Halaman Asmara (duet bersama Kudeen). Kemuncak program menyaksikan Wings bersama Edrie Hashim dan Sham beraksi secara akustik selama sejam.

    Awie, Black dan Eddie memilih menyampaikan lagu Dari Tuhan, Lena Diulit Intan, Sayap Illusi, Sejati, Sembunyi, Alam Barzakh, Asmaul Husna, Ingatkan Dia, Kasihnya Ibu, Musafir Di Aidilfitri dan Raya Yang Sempurna.

    Buka Minda 

    Ditemui selepas itu, Awie bersyukur kerana persembahan berjalan lancar seperti dirancang. “Program sebegini perlukan ketenangan. Berhibur sambil memahami. Matlamat kami adalah menyampaikan dakwah cara sebegini.

    “Selama ini orang dengar nama Wings pasti ingat kami terikat dengan rock ‘solid’. Sebenarnya kalau diperhatikan lagu Wings kebanyakannya mempunyai lirik yang mendalam. Segelintir peminat gagal memahami maksud yang terkandung,” katanya.

    Menurutnya, ini hanya permulaan dan Wings mengalu-alukan sekiranya ada pihak berminat memanggil mereka untuk persembahan sebegini.

    “Selepas 32 tahun inilah persembahan pertama kami dalam konsep ini. Sebelum ini memang tidak pernah ada tawaran begini dibuat. “Awal-awal sebelum persembahan lagi, saya minta peminat yang hadir agar buka minda menghayati lagu yang kami sampaikan. Mereka perlu mengkaji lirik,” katanya.

    Mengulas perasaannya ketika menyanyikan lagu Kasihnya Ibu, Awie mengakui pasti akan ‘rabak’ apabila menyampaikannya. “Benda ini saya sudah cakap pada anggota lain ketika sesi latihan lagi. Sentuh pasal ibu dan ayah, adalah perkara sensitif bagi saya kerana ibu dan ayah saya sudah tiada. 

    “Ayah sudah enam tahun meninggal dunia, manakala ibu pula dah nak masuk tiga tahun. Saya tak boleh nak simpan dan ia terus terkeluar ketika di pentas,” katanya. Menurut Awie, dia pernah bercadang menghasilkan album kerohanian dan sepatutnya sudah mengeluarkan album ini pada Ramadan.

    “Disebabkan kesibukan dan pelbagai aktiviti lain, ia tertangguh buat sementara waktu. Saya juga mungkin bekerja dengan sebuah badan dakwah untuk projek ini. “Sekiranya Wings boleh dibawa bersama, saya akan tampilkan mereka dan sekiranya tidak, saya akan buat album solo,” katanya.

    Dalam pada itu, sebahagian daripada kutipan program ini akan disalurkan kepada rumah anak yatim dan pusat tahfiz yang sesuai. “Kami akan cari tempat yang betul-betul daif dan memerlukan. Kami tak suka terikat dengan hanya satu tempat sahaja,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Air Mata Tumpah Dek Kasihnya Ibu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top