My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 15 June 2017

    Imbau Memori Berbuka Bersama Keluarga


    TINGGAL berjauhan daripada keluarga yang nun jauh di Kuantan, Pahang, sering membuatkan Noorbaizurah Md. Yusof berasa sayu. Perasaan rindu kepada keluarga kian memuncak setiap kali tiba Ramadan kerana mengenangkan nasibnya yang tinggal berseorangan di Kuala Lumpur. 

    Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu, ketibaan Ramadan membuatkan dia rindu detik menunggu dan berbuka puasa beramai-ramai bersama ahli keluarga di kampung. Bagi mengubat kerinduan tersebut, Noorbaizurah memilih untuk berbuka puasa pada program Iftar@KL, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Program Iftar@KL memberi peluang kepada masyarakat berbuka puasa bersama ribuan orang di tengah-tengah jalan raya iaitu di Jalan Raja, berhadapan Dataran Merdeka. “Ini adalah tahun kedua saya berkunjung ke Iftar@KL. Saya selesa di sini kerana dapat berbuka beramai-ramai bersama warga kota dan pelancong.

    “Kemeriahan berbuka di sini sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu kepada keluarga di kampung,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

    Noorbaizurah yang bertugas di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur berkata, walaupun terpaksa berbuka puasa di atas jalan raya, namun ia bukan satu masalah. Dia memaklumkan, keadaan tersebut membuatkan iftar di situ sangat unik dan berbeza berbanding berbuka puasa di rumah, restoran atau hotel.

    “Selalunya, hanya satu hidangan disediakan. Misalnya, hari ini, penganjur menyajikan nasi Arab bersama ayam dan air tin. Pada saya, ia sudah cukup menyelerakan. Lagi pula, makanan yang dihidangkan itu percuma. Kalau rasa tidak cukup, saya akan bawa makanan sendiri dari rumah atau beli dari trak makanan yang terdapat di sini,” katanya.

    Iftar@KL merupakan program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Program yang memasuki tahun keenam penganjuran itu mempunyai pengisian bermanfaat pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan tahun ini.

    Tampil dengan tema Semarakkan Bulan Ramadan di Ibu Kota, program Iftar@KL bertujuan memupuk generasi muda dengan nilai-nilai murni menerusi kegiatan kerohanian dan kesenian yang dianjurkan. Program tersebut juga diharap dapat memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan.

    Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, penganjuran program Iftar@KL merupakan salah satu cara untuk menjadikan ibu kota sebagai destinasi pelancongan pada bulan Ramadan. Katanya, pihak JKKN berharap penganjuran program tersebut setiap tahun dapat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya di peringkat antarabangsa.

    Pengisian

    “Pada tahun 2012 hingga 2014 program ini dikenali sebagai Festival Ramadan sebelum dijenamakan semula sebagai Iftar@KL pada 2015. Setiap tahun, kehadiran pengunjung sentiasa meningkat. Tahun lalu, kehadiran pengunjung adalah seramai 17.2juta orang yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong,” katanya.

    Menurut Norliza, program Iftar@KL tidak hanya terhad kepada berbuka puasa, malah ia turut dimeriahkan dengan pengisian dan aktiviti menarik. Antara pengisian pada tahun ini ialah penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pameran pelancongan Islam, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, kapsul Ramadan dan sukarelawan.

    Program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sukarelawan, klinik tahsin al-Quran, jualan trak makanan, kaunter zakat, solat berjemaah Maghrib, Isyak dan tarawih, bicara Ramadan dan moreh. “Tahun ini, para pengunjung bakal dihiburkan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Hijjaz, UNIC dan Raihan.

    “Slot ceramah pula, kami telah para penceramah terkenal antaranya, Datuk Mohd. Kazim Elias, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood,” terangnya.

    Sementara itu, seorang pengunjung dari Texas, Amerika Syarikat, Berney Towes, 32, berkata, dia sangat teruja kerana dapat berbuka bersama rakyat Malaysia pada acara Iftar@KL. Dia yang sudah menetap di ibu negara selama setahun memberitahu, kunjungannya ke situ adalah untuk merasai pengalaman iftar di Malaysia.

    “Saya datang ke sini bersama isteri dan seorang anak untuk berbuka puasa. Saya tahu mengenai program ini daripada rakan sekerja beragama Islam. Kunjungan kami ke sini juga untuk mengenali dengan lebih dekat budaya dan tradisi masyarakat Islam di negara ini. Ia secara tidak langsung memberi satu pengalaman baharu kepada kami,” katanya.

    Menurut Towes, sepanjang berada di Iftar@KL dia kagum melihat rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa duduk dan makan bersama. Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa perpaduan kaum di negara ini berada pada tahap terbaik dan berbeza berbanding negara-negara lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Imbau Memori Berbuka Bersama Keluarga Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top