My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 7 June 2017

    Sanggup Berhabis Wang Bela Haiwan Eksotik


    SEKALI pandang, binatang yang meringkuk di dalam sangkar kaca akuarium itu seakan-akan seperti seekor ular. Tanpa ada perasaan curiga, Muhammad Faiz Abd. Aziz, 24, menyeluk tangan ke dalam sangkar dan mengangkat haiwan yang dipercayai sedang nyenyak tidur itu. 

    Umpama meregangkan badan usai bangkit daripada lena yang panjang, haiwan yang mempunyai nama saintifik Salvator merianae atau lebih dikenali sebagai tegu hitam dan putih Argentina berusia hampir dua tahun itu lantas melunjurkan ekornya ke bawah serta mula menjulurkan lidah.

    “Tegu ialah jenis haiwan yang jinak dan mudah dijaga. Saya menempatkannya di dalam kotak dan menyimpan dalam bilik tidur. Setiap hari, saya pasti akan menggantikan air bersih ke dalam mangkuk yang menjadi tempat untuk tegu makan, beristinjak dan berendam bagi mengelakkan bilik tidur berbau,” katanya sewaktu ditemui di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

    Dia turut memasang pewangi automatik bagi memastikan keharuman bilik berpanjangan. Selain tegu hitam dan putih Argentina, Muhammad Faiz juga merupakan ‘bapa’ kepada dua spesies biawak lain iaitu tiga ekor biawak air atau Varanus salvator dan seekor quince monitor atau nama saintifiknya Varanus melinus.

    Antara ‘anak’ kegemarannya ialah salah seekor biawak air yang baru berusia dua setengah bulan dan diberi nama May Rose sempena watak heroin filem terkenal Indonesia, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 kerana haiwan itu berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia.

    Anak kelahiran Kajang, Selangor itu menempatkan kelima-lima ekor haiwan peliharaannya di dalam sangkar berbeza. Dalam setiap sangkar pula diletakkan palet kayu berbentuk silinder yang berfungsi menyerap bau dan kelembapan. “Penjagaan biawak atau cicak besar ini mudah dan tidak memakan kos tinggi.

    “Secara kasar, saya hanya membelanjakan kurang RM200 sebulan untuk membeli makanan berdaging seperti kepingan ayam atau tikus serta buah-buahan yang diberi setiap tiga hari sekali,” jelasnya.

    Pemuda itu mengakui, keluarganya kini sudah boleh menerima minatnya yang gemarkan haiwan eksotik berbanding sewaktu dia membela ular sawa enam tahun lalu. “Dahulu keluarga menentang hobi saya kerana beranggapan haiwan eksotik yang jarang ditemui itu berbahaya.

    “Namun, saya memberi jaminan akan mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan sangkar-sangkar ditutup rapat dan bilik serta rumah dalam keadaan bersih,” tuturnya. Secara ringkas, haiwan eksotik merupakan jenis binatang liar dan tidak tergolong dalam norma haiwan peliharaan yang jinak.

    Tujuan komersial

    Namun, sejak hobi membela haiwan eksotik semakin digemari, ia mula dibiakkan untuk tujuan komersial. Mengulas lanjut, Muhammad Faiz memberitahu, selepas menjual ular sawa yang semakin membesar, dia pernah memelihara binatang eksotik lain antaranya katak, labah-labah tarantula, cicak jenis naga janggut merah dan cicak gecko sebelum memilih biawak.

    Hobi memelihara haiwan eksotik itu turut dikongsi bersama Muhammad Azhar Samad, 25, yang mula berjinak-jinak dengan hobi tersebut sejak tujuh tahun lalu sewaktu berumur 18 tahun. Dia membela empat ekor ular sawa daripada tiga spesies berbeza iaitu dua jenis paya bakau, seekor kepala jagung dan seekor rusuk kerbau.

    “Setelah beberapa tahun, ular-ular yang disimpan di dalam kotak khas dan ditutup dengan kain itu semakin membesar. Justeru, saya menimbang hasrat untuk menambah bilangan haiwan peliharaan dan memilih musang pandan kerana ia manja seperti kucing,” ujar anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu.

    Musang pandan turut dikenali dengan nama musang pulut atau musang luwak di sesetengah kawasan. Sebaik membeli haiwan dengan nama saintifik Paradoxurus hermaphrodites yang digelar Manis itu daripada kedai menjual binatang peliharaan Nana Nine Pets World di Seri Kembangan, Selangor lebih setahun lalu, Muhammad Azhar memilih untuk memeliharanya secara nurseri dengan kadar bayaran RM10 sehari untuk caj makanan.

    Dia akan melawat Manis dan bermain-main dengannya apabila berkesempatan. “Manis diberi makan buah-buahan seperti pisang, betik dan palet makanan kucing,” jelasnya. Manis kini berumur setahun lapan bulan dan mempunyai berat lebih dua kilogram.

    Kongsi Muhammad Azhar, apabila terancam atau lapar, musang akan mengeluarkan bunyi seakan-akan ayam berkokok atau bayi menangis. Jika berada dalam habitat sendiri, mereka juga mampu meniru bunyi binatang buruan sebelum menerkamnya. Kebanyakan haiwan eksotik diimport dari negara tropika seperti Indonesia, Vietnam, Argentina dan Brazil.

    Melihat perihal haiwan eksotik dari sudut penjual, pemilik Nana Nine Pets World, Zulkarnain Ahmad Nazri, 54, menegaskan, hobi sahaja tidak cukup sekiranya pembela tidak memiliki lesen pemilikan haiwan yang sah. “Setiap haiwan yang masuk ke kedai untuk jualan sudah didatangkan lengkap dengan lesen pemilikan masing-masing.

    “Selepas urus niaga dijalankan, kami akan menguruskan dokumen pertukaran hak milik lesen di pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terdekat iaitu di pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan yang terletak di Bandar Sri Permaisuri sebelum diserahkan kepada pembeli,” terang bapa kepada empat orang anak itu.

    Mengulas lanjut perkara itu, pemilik bersama Nana Nine Pets World, Nurul Farah Ain Nabilah Zulkarnain, 24, menjelaskan, pihaknya perlu mematuhi beberapa prosedur penting sebelum membuat tempahan haiwan eksotik dari luar negara.

    “Haiwan liar yang diimport hendaklah dibeli daripada pengedar sah di negara berkenaan. Ia perlu dipastikan daripada baka yang dibiak dan bukannya diperoleh daripada tangkapan liar secara haram. Sebaik menerima tempahan, pengedar akan memohon Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) bagi memastikan setiap haiwan eksotik yang dieksport itu bebas daripada sebarang wabak atau penyakit. 

    “Haiwan eksotik tertakluk kepada syarat-syarat pemuliharaan hidupan liar di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora (Cites),” jelasnya yang merupakan anak kedua Zulkarnain.

    Kuarantin

    Cites bertindak mengawal aktiviti perdagangan hidupan atau tumbuhan liar di peringkat antarabangsa. “Kami hanya dibenarkan membuat tempahan dalam jumlah terkawal bagi memastikan haiwan itu sempat dibiakkan dan tidak berlaku lebihan stok dalam simpanan jika gagal dijual,” terang Nurul Farah Ain Nabilah.

    Segala urusan berkaitan Cites atau SKV diuruskan sepenuhnya oleh badan penguat kuasa hidupan liar negara itu dan pihak Perhilitan hanya akan mengesahkan permohonan eksport selepas memastikan segala peraturan telah dipatuhi.

    Apabila haiwan eksotik yang diimport tiba, pegawai Perhilitan akan memeriksa rekod haiwan itu bagi memastikan nombor kod mereka selari dengan tempahan yang dibuat. Kemudian, kesemua haiwan itu akan dikuarantin selama beberapa hari sebelum dihantar ke kedai haiwan peliharaan untuk dijual. 

    Setelah dibeli, pembeli akan diberikan resit jualan sebagai lesen sementara sebelum lesen atau permit sah dikeluarkan oleh Perhilitan. Urusan mendapatkan lesen atau permit itu kebiasaannya dilakukan oleh pemilik kedai. Lesen ialah akuan kebenaran membela haiwan jenis dilindungi seperti musang dan ular.

    Permit khas pula khusus kepada haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti beberapa jenis ular sawa diancam kepupusan, tupai tanah dan biawak.

    Bagi memastikan kelangsungan pemantauan terhadap haiwan eksotik itu, mereka akan dilekatkan dengan tanda pengenalan melalui empat cara iaitu memasukkan cip mikro ke dalam badan, mengalungkan gelung, meletakkan label pada bekas penyimpanan atau memakaikan cecincin mahupun gegelang pada kaki.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sanggup Berhabis Wang Bela Haiwan Eksotik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top