My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 15 August 2017

    Karya Paling Mencabar!



    Demi memaparkan kesengsaraan kehidupan buruh Korea di lombong arang batu Pulau The Battleship, barisan pelakon filem berdasarkan kisah benar The Battleship Island sanggup menurunkan berat badan mereka. 

    Kesungguhan itu didedahkan pelakon Song Joong Ki, So Ji Sub, Hwang Jung Min dan pengarah Ryu Seung Wan pada sidang media yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini. Joong Ki berkata, dia tidak kisah menguruskan lagi badannya bagi menjiwai wataknya sebagai perisik bernama Park Moo Young yang bekerja di pulau Battleship.

    “Ada pelakon yang terbabit dalam filem ini turut menurunkan berat masing-masing kerana filem ini berdasarkan kisah benar ketika Perang Dunia Kedua. Ini kerana mereka mahu serius terhadap komitmen untuk filem berkenaan,” katanya.

    Menurut tunang pelakon Song Hye Kyo ini, dia menerima tawaran berlakon dalam filem berkenaan kerana kekuatan wataknya. “Selepas membaca skrip, saya terus bersetuju kerana merasakan peranan watak saya sangat penting,” katanya.

    Pelakon tampan ini menjadi pujaan ramai gadis di luar Korea Selatan selepas membintangi drama hit Descendants of the Sun. Walaupun pernah membawa watak askar, Joong Ki mengakui karya berkenaan paling mencabar kerana perlu melakonkan babak bahaya. “Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Seung Wan dan dia banyak memberi tunjuk ajar.

    “Sebagai pengarah berpengalaman, saya melihat dia mampu mengendalikan babak bahaya secara profesional, lebih-lebih lagi ini filem berdasarkan kejadian sebenar dalam sejarah,” katanya.

    Dalam filem ini, Ji Sub bukan saja perlu bekerja dalam lombong dan menembak musuh, tetapi dia juga perlu berlawan di bilik air dalam keadaan separuh bogel. “Sebagai pelakon, saya tidak suka bergaduh, namun terpaksa juga sebab watak saya adalah pejuang.

    “Saya perlu berhati-hati ketika beraksi kerana lantai licin, mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika penggambaran. Untuk babak itu saja saya membuat latihan selama sebulan setengah,” katanya.
    Ji Sub memberitahu, dia terus bersetuju berlakon dalam The Battleship Island tanpa membaca skrip ketika mendapat tahu karya itu arahan Seung Wan. “Saya peminat karya Seung Wan dan sudah lama ingin berlakon di bawah arahannya. Jadi saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang kerana impian akhirnya tercapai,” katanya.

    Berkongsi pengalamannya pula, Jung Min yang berlakon sebagai pemuzik Lee Kang Ok berkata, filem itu memerlukan kekuatan fizikal dan tenaga kerana tempoh penggambaran yang lama. “Di penghujung filem itu, buruh berusaha menyelamatkan diri dari pulau berkenaan dan penggambaran untuk babak terbabit dilakukan selama sebulan.

    "Namun dalam filem, babak itu hanya berdurasi kira-kira 20 minit saja,” katanya. Dalam pada itu, Jung Min memberitahu, dia memang mahir bermain klarinet dan sudah lima tahun bermain alat muzik itu. Empat tahun buat kajian Seung Wan mengambil masa empat tahun membuat kajian sejarah mengenai lombong itu sebelum memulakan penggambaran The Battleship Island.

    Malah, bagi memastikan fakta bakal dipaparkan tepat, pengarah itu turut mengunjungi pulau Battleship untuk melihat sendiri lokasi sebenar. “Saya bernasib baik kerana ada yayasan yang menaja sepanjang saya melakukan penyelidikan. Selain itu, saya turut beruntung apabila mendapat barisan pelakon yang sangat berdedikasi dan komited terhadap kerja,” katanya.

    Seung Wan mengakui biarpun filem itu sukar dihasilkan, kesengsaraan mangsa Battleship memberinya kekuatan untuk menghasilkan karya terbaik. “Jika mahu dibandingkan, situasi dilalui mangsa jauh lebih teruk dari kepayahan membuat filem ini.

    “Ini bukan cerita semata-mata kerana apa yang berlaku dalam filem ini kisah benar berdasarkan fakta,” katanya. Filem The Battleship Island bakal menemui penonton pada 17 Ogos ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Karya Paling Mencabar! Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top