My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 11 August 2017

    Kes Berprofil Tinggi Panggil 215 Saksi



    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 215 saksi sepanjang perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang dijadual bermula 5 Februari tahun depan. 

    Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, menyerahkan senarai saksi terbabit kepada Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu ketika prosiding pengurusan kes di sini, hari ini.

    Sebelum ini, katanya, SPRM sudah menyerahkan senarai dokumen dan barang kes berkaitan, manakala pihaknya bersedia untuk perbicaraan kes berkenaan pada bila-bila masa. Sementara itu, Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Abu Bakar Manat, menetapkan perbicaraan pada 5 hingga 9 Februari, 20 hingga 23 Februari, 5 hingga 8 Mac dan 19 hingga 22 Mac tahun depan.

    Abu Bakar ketika prosiding pengurusan kes berkenaan turut menetapkan 29 Disember ini sebagai pengurusan kes terakhir untuk mengemas kini status semasa sebelum perbicaraan bermula. "Selepas ini tiada lagi penangguhan tarikh perbicaraan kes. Semua pihak sudah diberi masa untuk menyelesaikan isu berbangkit berkaitan dengan kes ini," katanya.

    Peguam bela yang mewakili bekas Pengarah JANS dan isterinya, PJ Pereira, sebelum itu meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan sekurang-kurangnya enam bulan bagi membolehkan pihak akauntan anak guamnya menyediakan senarai transaksi akaun bank berkaitan kes itu.

    Kes berkenaan sebelum ini ditetapkan bermula pada Julai lalu. Pada 29 Disember lalu, bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55, dan isterinya, Fauziah Piut, 52, serta bekas penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng, 63, mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta.

    Awang Mohd Tahir berdepan 12 kesalahan melakukan penyelewengan dana infrastruktur berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah serta terbabit secara langsung dalam satu transaksi wang tunai berjumlah RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

    Fauziah berdepan 19 pertuduhan memiliki barangan kemas, beg mewah dan RM2.2 juta dalam akaun bank. Dia dan suaminya turut berdepan dua pertuduhan bersama memiliki barangan kemas secara tidak sah.

    Sementara itu, Lam Beng yang juga bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, berdepan tiga pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan kenderaan mewah secara tidak sah.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kes Berprofil Tinggi Panggil 215 Saksi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top