My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 4 August 2017

    Kisah Pemburu Urban


    Selaku jenama mewah, Mercedes-Benz mula menyasarkan golongan muda berjaya dengan model-model yang menepati keperluan status gaya hidup mereka. Antara yang menarik ialah model GLA, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang mula memasuki pasaran tempatan pada penghujung 2014 yang menyerlahkan elemen gaya dan status tersendiri. 

    Penulis berpeluang memandu uji model GLA 200 Urban Line, satu daripada model yang dipertingkatkan (facelift) dan dilancarkan Mei lalu bersama GLA 250 4Matic dan GLA 45 4Matic. 

    Dilihat pada rekaan luaran yang lengkap dengan Night Package, ia tampil lebih sporty terutama padanan warna hitam pada cermin sisi, bahagian bampar hadapan serta rel bumbung lantas membezakannya daripada keluaran terdahulu.

    Rim lima jejari bersaiz 19 inci dengan dua tona menyerlahkan lagi wajah agresif model ini dengan lampu hadapan LED berprestasi tinggi serta lampu nyalaan siang (DRL) jelas pada sebarang cuaca. 

    Tambah menarik ialah suspensi laluan ‘off-road’ 30 milimeter (mm) lebih tinggi juga diperkenalkan bagi memberi karakter tambahan bahawa model ini sesuai untuk laluan pelbagai permukaan sesuai dengan binaannya untuk gaya hidup aktif.

    Pada ruang dalaman, disediakan dengan kerusi berbalut fabrik berkualiti tinggi dengan larasan elektronik untuk penumpang hadapan serta reka bentuk umpama kerusi kereta lumba daripada kulit Atico dan fabrik hitam Maringa.

    Bahagian belakang boleh memuatkan tiga dewasa serta dilengkapi Isofix untuk keselamatan kerusi bayi dan untuk lebih ruang, ia boleh dilingkupkan untuk mendapat ruang sehingga 421 liter.

    Paparan multimedia bersaiz lapan inci dalam kedudukan tersendiri di atas papan pemuka jelas dan mudah untuk anda memilih saluran radio pilihan atau memainkan lagu daripada ‘thumbdrive’ serta bagi tujuan melaras sistem pemanduan di dalam kereta termasuk kamera undur dan Apple CarPlay atau Android Auto.

    Malah ia tampil unik dengan cahaya suasana yang boleh dipilih serta tahap kecerahan mengikut ‘selera’ dan mood pemandu ketika malam hari. Dari segi kuasa dan kendalian, model ini didatangkan dengan enjin 1,595 cc empat silinder, sebaris dengan pengecas turbo bertenaga umpama kenderaan dengan kapasiti dua liter.

    Kuasa kuda 156 hp pada 5,300 rpm dengan daya tujahan 250 Nm pada 1,250 hingga 4,000 rpm dengan tiga mod pemanduan iaitu comfort, sport dan eco yang boleh diubah mengikut kehendak individu.

    Melalui lebuh raya, ternyata ia kestabilan pada kelajuan tinggi termasuk ketika melewati selekoh dan untuk pemanduan di dalam bandar, ia sungguh responsif serta mudah untuk dfparkir. Ciri-ciri ini memberikan perlindungan kepada seisi kenderaan seperti sistem prakeselamatan, Bantu Brek Aktif, lampu brek adaptif, tujuh beg udara bahagian hadapan dan tepi, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan kawalan kestabilan.

    Lagi ciri canggih termasuk sistem mula dan henti agar penggunaan bahan api lebih efisien, stereng teleskop, pedal shift, lampu dan penggilap automatik, enam sensor pengesan parkir dan pintu but elektronik. Model GLA 200 Urban Line kenderaan aktif dengan karakter tersendiri, dikendali corak pemanduan responsif sesuai untuk pelbagai tujuan dan gaya hidup.

    Rekaan luaran dan dalaman yang dipertingkatkan menyerlahkan gaya sporty bagi memperlihatkan status, gaya dan prestasi sebuah SUV. Model import sepenuhnya dari Jerman ini dijual pada harga bermula RM239,888 dengan waranti empat tahun tanpa had perbatuan dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Kelabu Mountain, Coklat Orient dan Perak Polar.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kisah Pemburu Urban Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top