My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 2 August 2017

    Orang Utan Di Hilir Kinabatangan Hadapi Ancaman



    Kawasan Hilir Kinabatangan di Sabah kehilangan hampir sepertiga daripada populasi orang utannya dalam tempoh 16 tahun lepas berikutan kehilangan secara berterusan hutan di luar kawasan yang dilindungi dan fragmentasi habitan haiwan itu, yang juga menjadi tempat kediaman hidupan liar lain seperti gajah pygmy Borneo dan monyet proboscis.

    Hutan di luar kawasan yang dilindungi itu - termasuk tanah milik persendirian dan negeri - sebahagian besarnya diliputi kawasan paya yang semakin terancam di Borneo serta kurang atau tidak mempunyai nilai ekonomi bagi penanaman sawit akibat banjir yang berlaku setiap hari atau bermusim di situ.

    Pemantauan jangka panjang mendapati penurunan jumlah orang utan terus berlaku di Hilir Kinabatangan, walaupun kawasan itu dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan tinggi bagi primat berkenaan dalam Pelan Tindakan Orang Utan Sabah.

    Oleh demikian, langkah untuk menjaga masa depan hutan di luar kawasan yang dilindungi dan mewujudkan semula koridor hutan yang bersambung adalah sangat penting.

    Masa depan gelap menunggu orang utan Borneo, yang pada tahun lepas diletakkan dalam kategori Menghadapi Ancaman Kritikal di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN), dengan jumlahnya menurun daripada 4,000 pada 1960-an kepada 1,125 pada 2001 dan kepada tidak sampai 800 hari ini di Hilir Kinabatangan.

    Satu kajian yang disiarkan dalam Scientific Reports bulan ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan, populasi orang utan Sabah menurun sebanyak 20 peratus sejak kaji selidik komprehensif dijalankan pada awal tahun 2000, yang mendapati jumlahnya ialah 11,000.

    Pengasas bersama Borneo Futures Dr. Marc Ancrenaz berkata fragmenatsi habitat di Hilir Kinabatangan terus menjadi isu besar, dengan 11,000 hektar hutan di luar kawasan yang dilindungi lenyap dalam dekad hingga 2014, dan lebih 20,000 hektar hutan di kawasan tanah pinggir serta tanah negeri menghadapi risiko dijadikan kawasan pertanian, terutama penanaman sawit dan ini akan memisahkan lagi populasi orangutan serta mempercepatkan penurunan jumlah haiwan itu.

    Menjelaskan tentang nilai hutan di luar kawasan yang dilindungi dari segi biodiversiti, Ancrenaz berkata satu model kesesuaian yang dibangunkan bagi tiga spesies mamalia di Hilir Kinabatangan menunjukkan bahawa 91 peratus daripada kawasan tidak dilindungi ini merupakan tempat kediaman yang amat sesuai bagi orang utan.

    "Walaupun statusnya di Hilir Kinabatangan mengalami kejatuhan gred, hutan yang mempunyai Nilai Pemuliharaan Tinggi ini amat penting dalam menyokong kelangsungan hidup hidupan liar, tetapi fragmentasi yang dialaminya secara berterusan akan menjejaskan dengan teruk kewujudan populasi haiwan.

    "Kami perlu mewujudkan semula koridor hutan bersambung seluas kira-kira 52,000 hektar di banjaran banjir. Satu daripada cara untuk memulakan proses ini ialah menjaga masa depan hutan yang tidak menjadi sebahagian daripada Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan dan hutan simpan," katanya dalam kenyataan kelmarin.

    Bagaimanapun, untuk membeli tanah milik persendirian dan memulihkan habitat melibatkan perbelanjaan besar di kawasan yang kira-kira 80 peratus daripadanya diliputi tanaman sawit, yang penting bagi ekonomi Sabah dan suatu keutamaan perdagangan bagi Malaysia.

    "Populasi Orang Utan di Hilir Kinabatangan perlu dihubungkan kembali jika Sabah ingin menjamin kelangsungan hidupnya secara jangka panjang. Satu kajian mengenai orang utan di seluruh Borneo mendapati tompokan hutan yang didiami primat ini adalah yang paling kecil di Sabah berbanding di negeri lain dan di Borneo, manakala jarak antara tompokan itu adalah yang paling jauh.

    "Maklumat terbaru ini menunjukkan bahawa usaha perlu dilakukan untuk menyelamatkan habitat di kawasan hutan di luar daripada kawasan dilindungi sedia ada bagi memastikan populasi orang utan di wilayah ini tidak terus menurun," kata Ancrenaz, yang menghabiskan masanya selama hampir 20 tahun di Hilir Kinabatangan.

    Aktiviti memburu secara sah dan haram serta perbuatan mengeksploitasi hutan secara berlebihan, kata beliau, merupakan ancaman yang telah lama wujud dan menjadi penyebab bermulanya penurunan jumlah spesies berkenaan.

    Bagaimanapun, spesies ini menghadapi riisiko baharu pula sekarang seperti fragmentasi habitat, kemunculan penyakit dan konflik dengan haiwan peliharaan atau jerat yang dipasang bagi menangkap babi hutan serta orang utan.

    Baru-baru ini, Ancrenaz membuat satu kajian kes bertajuk "Addressing the Impact of Large-Scale Oil Palm Plantations on Orangutan Conservation in Borneo: A Spatial, Legal and Political Economy Analysis" bagi projek Alam Sekitar dan Pembangunan dengan pengarah bersama Ridge to Reef, Holly Jonas serta pengasas dan pengarah bersama Living Landscape Alliance, Dr Nicola K. Abram.

    Kajian itu dibiayai Arcus Foundation. Kajian kes itu menghasilkan satu analisis tentang pertindihan geografik antara habitat bagi primat Borneo berkenaan dan kawasan yang akan digunakan untuk penanaman sawit berskala besar serta sejauh manakah habitat itu termasuk dalam kawasan dilindungi sedia ada di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

    Analisis juga dibuat tentang bagaimana rangka kerja perundangan dan ekonomi politik berinteraksi dengan industri minyak sawit serta usaha memulihara orang utan di Borneo.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Orang Utan Di Hilir Kinabatangan Hadapi Ancaman Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top