My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 8 August 2017

    UEFA Supercup Idaman Mourinho



    Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berpeluang meraih satu trofi Eropah yang masih belum dijulangnya apabila menentang Real Madrid pada aksi Piala Super UEFA awal pagi esok dalam pertemuan kompetitif pertama dengan gergasi Sepanyol itu sejak meninggalkan kelab berkenaan pada 2013. 

    Mourinho, pasukannya menjuarai Liga Europa musim lalu untuk menyelamatkan kempen pertama yang mengecewakan buat jurulatih Portugal itu, mengemudi Real menjulang gelaran La Liga dengan mengumpul 100 mata dan menjuarai Piala Raja Sepanyol ketika bersama kelab itu dari 2010 hingga 2013.

    Pencapaiannya di Santiago Bernabeu bagaimanapun dibayangi dengan pertelagahan di bilik persalinan dengan beberapa pemain utama seperti Sergio Ramos dan Iker Casillas selain perselisihan dengan pengadil dan pasukan lawan, juga gagal menjuarai Liga Juara-Juara apabila Real terkandas di separuh akhir setiap tahun.

    Legasi Mourinho bagaimanapun diperbaiki dengan kejayaan kelab Sepanyol itu menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun selepas pemergiannya, biarpun dalam wawancara baru-baru ini jurulatih kelahiran Portugal itu mendakwa perlu ‘merayu’ lembaga pengarah Real untuk menyertai Chelsea.

    Real, juara bertahan Liga Juara-Juara tidak akan menurunkan bintang utama yang juga bekas penyerang United Cristiano Ronaldo di Skopje memandangkan pemain Portugal itu dibenarkan melapor diri lewat untuk latihan pramusim selepas beraksi dalam Piala Konfederasi.

    Skuad Zinedine Zidane menewaskan Sevilla 3-2 selepas masa tambahan untuk menjuarai pertandingan itu tahun lalu dan jurulatih kelahiran Perancis itu menyasarkan gelaran Eropah keempat dalam tempoh kurang dua tahun mengendalikan Real, yang mungkin menyamai pencapaian Mourinho di benua Eropah.

    Sementara itu United kehilangan khidmat pertahanan tengah Eric Bailly dan Phil Jones berikutan penggantungan, membuka ruang kepada pemain baru Victor Lindelof berada dalam kesebelasan utama.

    Pemain Sweden itu salah seorang daripada tiga pemain yang dibeli United selain penyerang Belgium, Romelu Lukaku dan pemain tengah Nemanja Matic pada harga keseluruhan £146 juta (RM816 juta) ketika kelab Old Trafford bertekad memperbaiki keputusan di tangga keenam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

    Real membawa masuk pemain muda berbakat seperti Theo Hernandez dan Dani Ceballos ke dalam pasukan yang dipenuhi pemain hebat yang menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu dan menjual penyerang Alvaro Morata serta James Rodriguez.

    Bagaimanapun impian mereka untuk mendapatkan pemain remaja sensasi Perancis Kylian Mbappe masih belum menjadi kenyataan. United menewaskan Real menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan di California bulan lalu dan menang lima perlawanan pramusim, kalah sekali kepada Barcelona.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: UEFA Supercup Idaman Mourinho Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top