My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 6 October 2017

    ‘Jangan Cepat Koyak, Malaysia’



    PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Muhammad Shahrom Abdul Kalam menggesa rakan-rakan sepasukannya berwaspada pendekatan ‘luar biasa’ daripada Hong Kong agar tidak terlalu emosi sepanjang 90 minit permainan dalam aksi ketiga Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

    Katanya, pemain-pe­main negara harus bijak mengawal emosi kerana mereka perlu sedar pasukan tuan rumah akan menggunakan pelbagai cara termasuk provokasi ketika bermain di laman sendiri. 

    “Kita tidak mahu lagi bermain 10 atau sembilan pemain kerana kesemua pemain di atas padang cukup penting. Ini akan menentukan perjuangan kita ketika berdepan dengan Hong Kong nanti. 

    “Saya berharap kami akan kekal fokus, berdisiplin serta dapat mengawal emosi dengan baik. Insiden di Melaka baru-baru ini cukup tegang dan kalau boleh, kami mahu mengelak perkara itu berulang.

    "Bukan mudah untuk bermain di gelanggang lawan dan sudah pasti mereka ada cara tersendiri tetapi saya yakin dengan rakan sepasukan bahawa kita juga memiliki kelebihan untuk mencipta kejutan di sana,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

    Bulan lalu, reputasi pengadil perlawanan menjadi pertikai­an peminat-peminat bola sepak tempatan selepas Christopher Beath mengarahkan tonggak pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak me­ninggalkan padang.

    Aidil yang dilayangkan kad kuning kedua, dilihat menolak tangan Beath sebagai tanda bantahan sejurus pengadil Australia itu menghadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan kepada Hong Kong.

    Bagaimanapun, penjaga gol Harimau Malaya, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berjaya menyelamatkan sepakan penal­ti itu, sekali gus membolehkan Malaysia terikat 1-1 dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

    Pun begitu, skuad negara kehilangan khidmat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali yang turut diarahkan keluar padang oleh Beath, ketika bertemu dengan Hong Kong nanti.

    Semalam, skuad kendalian Nelo Vingada telah berlepas ke Hong Kong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan pe­ringkat kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B.

    Pasukan negara menduduki tangga tercorot kumpulan apabila sekadar mengutip satu mata selepas tewas 1-2 kepada pendahulu, Lebanon pada aksi pembukaan sebelum diikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan kedua bulan lalu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ‘Jangan Cepat Koyak, Malaysia’ Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top