My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 3 October 2017

    Mulakan Bisnes Tanpa Pinjaman



    Wajahnya ayu, tutur kata tersusun indah, dia juga sentiasa merendah diri menjadikan sesiapa saja mudah mendampingi wanita berjiwa besar ini. Dilahirkan di Marang, Terengganu, wanita ini mengakui mempunyai cita-cita tinggi untuk bergelar usahawan berjaya setanding dengan usahawan ternama kini. 

    Bagi Noorain Seman, 28, yang juga graduan Ijazah Sarjana Kaunseling memilih bidang perniagaan atas beberapa faktor terutama disebabkan minat. Menceritakan detik awal pembabitan dalam dunia perniagaan produk kecantikan, Noorain berkata, dia mula berjinak-jinak sejak semester terakhir ketika menuntut di Universiti Malaysia Terengganu.

    “Saya suka semua perkara yang cantik terutama membabitkan kecantikan diri dan disebabkan itu, saya rajin mencuba pelbagai produk yang ada di pasaran.

    “Pantang ada produk kecantikan baru saya tidak akan terlepas untuk mencubanya. Bermula daripada mencuba sendiri, saya kemudian memberanikan diri menjadi dropship produk kecantikan dengan permulaannya hanya bermodalkan RM350 memandangkan saya minat berniaga,” katanya.

    Noorain berkata, bermula sebagai dropship produk, dia akhirnya tekad memiliki jenama sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman kewangan bagi membuktikan dia begitu serius dalam bidang perniagaan selain untuk menjana pendapatan sendiri serta membantu ramai wanita lain menambah pendapatan. 

    “Selain minat, kejayaan pengasas produk kecantikan mendorong saya untuk menceburi bidang ini secara lebih serius. Walaupun pada mulanya agak bimbang terutama berkaitan saingan yang banyak, saya terus bekerja keras demi minat ini.

    “Syukur, segalanya dipermudahkan kerana saya yakin bidang ini mempunyai permintaan tinggi memandangkan semua individu terutama wanita mahu tampil cantik. Saya juga hanya menggunakan wang simpanan hasil menjadi dropship untuk memulakan perniagaan sendiri,” ujarnya.

    Menurutnya, peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin dan disebabkan itu juga dia tidak menoleh ke belakang dan terus menapak ke depan untuk kejayaan lebih cemerlang.

    TIGA CABANG PERNIAGAAN

    Dilahirkan dalam keluarga yang tiada latar belakang dalam bidang perniagaan tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk berjaya. “Syukur, kini saya mempunyai tiga cabang perniagaan iaitu Aenns Beauty & Collection, Anggun Beauty & Spa dan Airiz Skinz HQ yang mana semuanya adalah dalam bidang kecantikan.

    “Untuk produk, sehingga kini saya mempunyai empat rangkaian produk sendiri dan lebih 300 ejen serta dropship di seluruh negara,” katanya. Noorain berkata, disebabkan dia bukan berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan menyebabkan dia perlu lebih komited dan fokus dalam setiap apa yang dilakukannya.

    “Saya bermula daripada bawah dan mengharungi apa yang orang lain lalui. Susah senang memulakan perniagaan adalah antara perkara yang perlu saya rasai sendiri. “Antara cabaran terbesar yang perlu saya lalui kini adalah lambakan produk kecantikan di pasaran selain stokis yang cuba memanipulasi harga produk,” ujarnya.

    Kata Noorain, atas sebab itu, dia perlu sentiasa memastikan setiap produknya adalah yang terbaik dan memberi kesan seperti diinginkan pelanggan. “Terlalu banyak jenama produk kecantikan yang berada di pasaran terutama jenama besar. Jadi saya perlu bersaing menghasilkan produk yang baik, berkesan dan selamat pada harga berpatutan.

    “Saya tidak mahu terburu-buru untuk berjaya, kerana yakin segalanya perlu bermula daripada bawah namun buat masa ini gembira dengan apa yang dimiliki walaupun belum setanding dengan pengasas ternama lain,” katanya. Menurutnya, selain strategi dan usaha tanpa jemu, dia juga sentiasa berdoa dan bertawakal dengan setiap apa yang dilakukannya supaya lebih dipermudahkan.

    RANCANG PERLUAS RANGKAIAN KE LUAR NEGARA

    Selain mengharapkan produknya semakin dikenali di negara ini, Noorain turut merancang memperluaskan rangkaian produknya ke luar negara. “Itu adalah perancangan saya buat masa ini dan saya akan berusaha keras bagi merealisasikan impian itu dalam tempoh terdekat. Walaupun bukan mudah, saya yakin mampu mencapainya dengan usaha serta perancangan rapi,” katanya.

    Menurut Noorain, selain perniagaan, dia yang memegang status sebagai seorang isteri amat bersyukur kerana dianugerahkan suami yang memahami dan menyokong kerjayanya.

    “Bukan mudah untuk membahagikan masa antara keluarga dan perniagaan memandangkan ia menuntut banyak masa. Suami, keluarga dan rakan sepasukan adalah tulang belakang kekuatan saya untuk terus maju dalam bidang ini,” ujarnya.

    Tambahnya, dia yang memegang prinsip ‘buat sehingga jadi’ itu tekad memastikan segala perancangan dapat direalisasikan bukan saja dalam perniagaan malah kehidupannya.

    “Sesiapa saja mampu berjaya, apa yang membezakan cuma semangat dan usaha. Saya juga berharap usaha ini bukan saja untuk kejayaan diri sendiri malah dalam masa sama dapat membantu ramai individu lain yang ingin menjana pendapatan ataupun mengalami masalah kulit wajah,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mulakan Bisnes Tanpa Pinjaman Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top