My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 11 October 2017

    Tombiruo Gegar Panggung Esok



    Berdebar menanti reaksi penonton terhadap filem sulungnya esok, penerbit dan penulis novel filem Tombiruo, Ramlee Awang Murshid berharap filem berkenaan mendapat sambutan dan diterima ramai. Ini kerana filem yang menampilkan genre aksi drama itu sangat berlainan daripada filem lain yang pernah ditayangkan di Malaysia. 

    Menampilkan Zul Ariffin sebagai pelakon utama, filem mengisahkan lelaki hutan yang diberi nama Tombiruo: Penunggu Rimba itu adalah adaptasi daripada novel pertama Tombiruo tulisan Ramlee. Menggunakan lokasi hutan di Hulu Langat, Selangor dan Sabah, filem ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula esok.

    “Saya berdebar menanti reaksi penonton. Memang jalan cerita filem ini tidak sama dengan novel. Jika diikutkan pembaca novel mahu saya masukkan semua babak. Tetapi, ini filem, jadi agak mustahil untuk saya berbuat demikian. Melainkan drama bersiri mungkin boleh,” katanya.

    Turut bersama memberi idea dalam pemilihan pelakon, Ramlee juga berpuas hati melihat hasil keseluruhan filem berkenaan. Baginya, sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap penghasilan novel itu, dia mahu turut sama turun padang melihat karyanya diterjemahkan ke dalam filem. 

    “Hampir 20 tahun menanti ia difilemkan saya berpuas hati dengan hasil filem ini. Watak Tombiruo yang dilakonkan Zul juga memuaskan hati saya. Selain mempunyai fizikal seperti Tombiruo bayangan saya, Zul dan pelakon lain berjaya membawakan watak masing-masing dengan berkesan,” katanya.

    Selain Zul, Tombiruo turut dilakonkan Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan ramai lagi. Filem itu diterbitkan oleh Astro Shaw, Ideate Media, Layar Sunan dan Grup Buku Karangkraf.

    Berhasrat menghasilkan sekuel filem ini, Ramlee juga tidak sabar menerbitkan siri keempat novel berkenaan yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. “Insya-Allah jika sambutan memberangsangkan terhadap filem ini memang saya berniat untuk tampil dengan sekuelnya.

    “Tidak mudah menghasilkan filem ini kerana untuk membuat orang faham bahawa ini adalah filem fiksyen mengenai seorang lelaki yang begitu menjaga hutan tempat tinggalnya sehingga dia sanggup bergadai nyawa.

    “Bagaimanapun, terpulang pada pandangan penonton untuk menilai kerana watak Tombiruo itu adalah simbolik dan bukanlah filem seram,” katanya.

    Tombiruo mengisahkan Ejim yang digelar Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Sentiasa mengenakan topeng, Ejim disisihkan penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden tragis berlaku pada Ejim, ia menimbulkan kemarahan dan dendam pada dirinya. 

    Sementara itu, Amiruddin mengganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan sejak itu dia mula menjejaki lelaki penunggu rimba itu. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tombiruo Gegar Panggung Esok Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top