My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 5 December 2017

    Hasilkan Sendiri Aksesori Hiasan



    Merah dan putih menjadi warna dominan ruang dapur kediaman ini yang memperlihatkan kreativiti unik pemiliknya. Bagi penulis, kunjungan ke kediaman di Kampung Delek, Klang, Selangor ini begitu bermakna apatah lagi ruang dapurnya mempunyai seribu satu cerita keindahan dekorasi. 

    Ternyata Zunaidah Ani, 40, tidak pernah kering idea dalam menyusun letak perabot dan aksesori hiasan di ruang itu untuk penampilan yang lebih ‘menyejukkan’ mata. “Ditambah dengan empat anak yang sedang membesar, kerja menzahirkan dekorasi pilihan kami seisi keluarga bukan satu tugas mudah.

    “Situasi itu sedikit pun tidak menghalang minat saya untuk mewujudkan persekitaran selesa mengikut konsep pilihan,” katanya yang mengakui anak bongsunya baru berusia setahun lebih.

    Tanpa menunggu soalan daripada penulis, Zunaidah yang juga kelahiran Klang itu terus berkongsi rahsia mengapa merah dan putih menjadi warna dominan di ruang berkenaan. “Sebenarnya bagi kami, dua warna ini antara yang mampu menambahkan keceriaan apabila berada di ruang ini. 

    “Aksesori hiasannya pula lebih kepada produk pelbagai guna seperti bekas biskut dan coklat serta ‘mug’ (kole) unik dengan motif atau corak tertentu. Apabila disusun, seolah-olah ‘seninya’ ada kelainan,” katanya.

    Lebih mengujakan apabila kebanyakan fabrik daripada langsir hingga alas comel pada rak dan pinggan dijahit sendiri Zunaidah. Malah pencinta dekorasi gaya Inggeris itu sering menjadikan kelapangan waktu untuk menghasilkan sendiri aksesori hiasan pada ruang berkenaan.

    “Sekurang-kurangnya apabila hasilkan sendiri, ia membantu kita untuk menggarap sebanyak mungkin idea tanpa halangan. Tidak salah mengetengahkan kreativiti pada ruang kediaman sendiri, kerana ia nyata lebih menjimatkan dan berbaloi,” katanya.

    Percaya kepada bakat dan kreativiti sendiri jugalah yang membuatkan wanita ini sanggup mengecat semula dan mengubah suai rak atau kabinet terpakai untuk ditempatkan pada ruang dapur itu. Antara lain yang paling unik adalah sentuhan kreativiti Zunaidah pada kabinet dapur.

    Ruang penyimpanan bahagian atas kelihatan tersusun pelbagai jenis ‘mug’ dalam satu warna iaitu merah. Permukaan atau pintu kabinetnya pula dihiasi empat dekoratif menarik yang membawa perlambangan ruang dapur unik. Motif bunga-bungaan ditampal pada pintu kabinet bahagian bawah juga kreativiti Zunaidah.

    “Tidak perlu berbelanja lebih cukup sekadar membelinya di kedai harga patut, hasilnya benar-benar menarik,” katanya yang mengakui cukup bertuah kerana usahanya dalam menghias ruang dapur itu turut mendapat sokongan suami tercinta, Mohd Suhardi Mohd Hussin. Dalam keseronokan menghias ruang itu, Zunaidah nyata tidak mengabaikan keselesaan dan keperluan keluarganya.

    Lantas ruang makan diwujudkan pada ruang dapur dengan penataan ringkas namun masih dalam aura merah putih. Bersebelahan ruang makan, sudut santai dilengkapi sepasang sofa dengan penataan unik turut menarik perhatian. Beralih ke sudut memasak, susun atur setiap perkakasan di ruang itu sekali membuatkan penulis kagum dengan wanita ini.

    Semua bekas pelbagai guna penutupnya merah, perkakasan memasak merah putih hingga alas kakinya juga merah. “Kreativiti juga mengajar saya untuk lebih menghargai warna, keperluan dan kesesuaian susun letak aksesori hiasan,” katanya pada akhir temu bual.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hasilkan Sendiri Aksesori Hiasan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top