My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 18 December 2017

    KL Wangan Sarat Aksi Mendebarkan


    Apa gunanya kepandaian dan bakat yang ada jika tidak disalurkan sekali dengan kesungguhan jitu. Maka pengarah muda, Pekin Ibrahim membuktikan pengalaman sedikit yang dimiliki dalam menghasilkan filem bukan menjadi ukuran untuknya tidak menghasilkan karya bermutu. Semangat pengarah filem Mat Moto itu dalam bekerja sentiasa berkobar. 

    Malah untuk buah tangan terbaharunya, filem KL Wangan yang akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 21 Disember ini, dia menyalurkan seluruh keringat dan ketelitiannya pada filem tersebut. “Proses penghasilan filem KL Wangan kali ini lebih terperinci berbanding Mat Moto.
    Malah, segala-galanya termasuk dari segi lagu runut bunyi juga dihasilkan secara terperinci.

    "Saya mendapatkan khidmat penyanyi Altimet untuk menyanyikan lagu KL Wangan. Malah, saya dan Faizal Hussein turut menyumbang suara dalam lagu tersebut,” ujarnya mengenai filem KL Wangan yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu.

    Selaku pengarah dan juga penerbit filem tersebut, Pekin juga bersyukur apabila syarikat automobil bertaraf antarabangsa, Volkswagen turut sudi menaja beberapa buah kereta untuk menjayakan filemnya. Filem terbitan syarikat Pekin, Centro Pictures itu juga menampilkan beberapa kereta mewah jenama berkenaan seperti model Golf R, Golf GTI, Beetle dan Passat B8.

    “Alhamdulillah, saya mendapat tajaan sepenuhnya daripada Volkswagen, bahkan saya teruja kerana buat pertama kalinya syarikat tersebut menaja untuk filem tempatan,” jelasnya yang turut berhasrat untuk memasarkan filemnya di luar negara memandangkan barisan pelakon filem itu terdiri daripada pelakon Indonesia dan juga Jepun.

    Kehidupan pelumba kereta mewah

    Mengulas lanjut mengenai pemilihan pelakon, Pekin memberitahu, selain Faizal Hussein yang menjadi tonggak utama, filem KL Wangan turut dibintangi oleh pelakon filem Indonesia, The Raid iaitu Donny Alamsyah dan pelumba kereta dari Jepun, Kazuto Soon.

    “Selain itu, saya juga bersyukur kerana mendapat kerjasama beberapa pelakon popular untuk membuat kemunculan istimewa dalam filem KL Wangan,” ujarnya mengenai filem yang turut dibintangi oleh Emily Lim, Jasmine Suraya dan Pekin sendiri.

    Berkongsi mengenai makna Wangan yang diguna pakai sebagai judul filemnya, kata Pekin, ia merupakan satu nama yang cukup popular di Jepun. “Saya mengkaji mengenai Wangan ini. Ia cukup popular dan sudah lama di Jepun. Wangan bermaksud midnight race.

    “Maka, saya yakin peminat dalam kalangan pelumba kereta mewah akan menyukai filem ini. Bukan apa, jika sebelum ini saya mengangkat kisah kehidupan mat moto, kali ini saya tampil dengan kehidupan pelumba kereta mewah pula,” jelas Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi filem Mat Moto itu.

    Potensi besar

    Sementara itu, menurut Faizal pula, sebagai pelakon senior dan banyak pengalaman, dia secara peribadi mengakui filem KL Wangan mempunyai potensi besar untuk sukses dari aspek sambutan kelak.

    “Insya-Allah, filem itu pastinya ditunggu-tunggu ramai peminat pemotoran dan perlumbaan termasuk peminat saya yang menantikan lakonan aksi permotoran saya selepas filem Gila-Gila Remaja. Saya juga mampu berasakan filem KL Wangan akan menjadi hit kerana setiap adegan perlumbaan menampilkan pelbagai jenis kereta,” katanya.

    Tambah Faizal, dia selesa bekerjasama dengan Pekin sejak berlakon bersama menerusi filem Bunohan. “Pekin sangat terbuka untuk berbincang setiap adegan yang dilakonkan saya. Malah, dia sendiri yang membuat skrip filem KL Wangan kerana dia sendiri terbabit dalam dunia pemotoran ini. Apa yang dia buat tiada pengarah lain yang membuatnya secara terperinci,” ujar Faizal lagi.

    KL Wangan menjanjikan sebuah filem aksi sarat dengan adegan kejar mengejar kenderaan pada kelajuan tinggi dan beberapa aksi hebat yang lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: KL Wangan Sarat Aksi Mendebarkan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top