My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 15 December 2017

    'Luke' Masih Sayang Lucas



    Star Wars: The Last Jedi berjaya menghiburkan pengkritik sebaik saja ia mula ditayangkan seluruh dunia manakala di Malaysia sejak semalam. Namun, Mark Hamill yang memegang watak ikonik Luke Skywalker masih berfikir, bagaimana sekiranya George Lucas kekal dengan fancais Star Wars trilogi baru melalui versinya sendiri? 

    Imbas kembali, Hamill sudah puluhan tahun menjadi sebahagian daripada filem ini dan sentiasa berterima kasih kepada Lucas tatkala bercakap mengenai Star Wars. “Saya ada bercakap me­ngenai pelan asal untuk Episod VII selepas Return Of The Jedi diterbitkan, malangnya berlaku pertikaian mengenai perkembangan karakter Luke untuk Last Jedi dengan pengarah Rian Johnson,” katanya. 

    Bagaimanapun, dia sudah menjelaskan kekeliruan di sebalik semua itu dan berjaya memberi persembahan yang baik dalam siri terbaru. Namun, dalam satu kenyataan dibuat di Metro, dia tetap berharap Disney memilih idea Lucas.

    “Saya harapkan mereka lebih menerima nasihat dan tunjuk ajarnya (Lucas) sebab dia mempunyai garisan lengkap untuk tujuh, lapan dan sembilan. Ia jauh lebih besar berbanding apa yang mereka sudah lakukan.

    “Apa sekali pun, saya tidak mahu menjadi ‘batang kayu buruk di dalam lumpur’. Ada asli dan juga prekuel. Tapi itu semua adalah Lucas. Kini kita ada generasi seterusnya. “Apa saya dapat lihat, ia lebih popular berbanding sebelum ini,” kata Hamill.

    Perincian versi Lucas filem ini adalah di tahap suram terbaik. Dalam satu temu bual bersama Total Film pada 2008, Lucas pernah berkata, francais Star Wars tiada masa depan kerana tiada cerita. Ia bagaimanapun berubah apabila Lucasfilm dijual kepada Disney dan filem baru mula dilancarkan dengan Lucas dilaporkan mula menulis cerita asas yang kemudian ditolak mereka.

    Dalam laporan Vanity Fair pada 2015, Abrhams, pengarah The Force Awakens berkata, ‘treatment’ Lucas menjurus kepada karakter muda, barangkali watak remaja. “Lucasfilm memberitahu saya yang mungkin mengejutkan eksekutif Disney, ia cerita yang terlalu selesa menjurus kepada The Phantom Menace, Anakin Skywalker dan Queen Amidala,” kata Abrhams.

    Sebarang rundingan mengenai apa Lucas akan lakukan dengan cara berbeza berbanding trilogi terkini tidak sepatutnya berlaku sehingga tiga siri filem diterbitkan. Filem-filem ini seolah memperkenalkan cakerawala kepada penonton baru dan masa sama menghormati Lucas di tempat sepatutnya.

    Kelly tidak pernah tonton Star Wars Dalam pada itu, bintang baru dalam The Last Jedi, Kelly Marie Tran yang memegang watak Rose Tico tidak pernah terfikir akan terbabit dalam filem hebat itu. Lebih menarik, ketika mendapat skrip The Last Jedi pada 2015, dia tidak pernah menonton filem Star Wars waima The Force Awakens.

    Ditanya perasaannya sebaik saja filem itu mula ditayangkan, Kelly akui seolah-olah dirinya sudah menjadi sebahagian daripada filem itu sejak dulu. “Saya banyak berfikir mengenainya. Saya berasa takut dengan penerimaan penonton namun bersedia menerima apa sahaja yang bakal dilalui.

    “Biarpun teruja apabila ia mula ditayangkan, rasa takut masih ada. Harap semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

    Kelly turut mendedahkan produksi tidak mempersembahkan karakternya seperti mana yang diharapkan ketika uji bakat. Katanya, karakter Rose Tico sangat samar dan bahagian yang diberikan kepadanya adalah palsu. Namun Kelly percaya ia disengajakan kerana pihak produksi sudah menemui karakter yang dinginkan.

    “Saya cuba berlaku jujur melalui apa yang dilihat. Saya tidak pernah komen Rose Tico sepatutnya jadi begitu dan begini. Ketika menjalani satu babak, saya teringat John (Boyega) tiba-tiba berhenti dan cakap kami sedang mencipta sejarah,” katanya.

    Kelly mahu watak Rose Tico berdiri sendiri walaupun dia terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam Force Awaken. Apabila Rose bertemu Finn, dia adalah hero dalam pasukan penentang dan itu adalah perkara terbesar buatnya. Kelly turut berkongsi pengalamannya ketika membaca lakon layar The Last jedi sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai The Force Awaken.

    “Saya rasa bagus jika ada banyak kejutan. Bagi saya, The Last Jedi ada elemen di luar jangkaan penonton dan ia sangat bagus. “Bagaimanapun, selepas menonton The Force Awaken, saya tidak pasti dengan apa yang saya fikir sebelum ini,” katanya.

    Kelly turut mengakui selesa bekerja di bawah arahan Rian Johnson. Sepanjang penggambaran, tidak terasa mereka sedang bekerja sebaliknya lebih kepada beraksi dalam satu permainan yang menyeronokkan. Menurut kelly, bekerja dengan mendiang Carrie Fisher satu pengalaman yang berharga dan tidak mungkin dilupakan.

    Aktres veteran itu bukan sahaja mudah mesra, malah selalu menasihatinya supaya terus menggapai impian. Kata-kata semangat yang diberikan Carrie membuatkan Kelly semakin teruja mengejar impian menghasilkan karya sendiri satu hari nanti. Sebagai wanita Asia pertama yang menjadi bintang Star Wars, Kelly melihat itu sebagai bonus buat dirinya.

    “Saya ingin hidup dalam dunia yang manusianya tidak mewakili mana-mana bangsa atau agama. Beraksi dalam Star Wars adalah satu bentuk keadilan,” katanya.

    Selain mendiang Carrie, Hamill dan Kelly, Star Wars: The Last Jedi turut dibintangi Adam Driver, Daisy Ridley, John Boyega, Oscar Isaac, Andy Serkis, Lupita Nyong’o, Domhnall Gleeson, Anthony Daniels, Gwendoline Christie, Laura Dern dan Benicio del Toro.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Luke' Masih Sayang Lucas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top