My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 8 December 2017

    Mandatori Penuh Suspens


    Tidak pernah gagal menghasilkan karya menarik, karya novelis thriller Ramlee Awang Murshid berjudul Mandatori juga salah satu kisah terbaik selain Tombiruo. Sekali lagi, naskhah miliknya diterjemahkan dalam bentuk visual dan menemui penonton menerusi Astro First Eksklusif saluran 480 bermula 14 Disember ini. 

    Lebih menarik, filem TV Mandatori dibahagikan kepada enam episod dan setiap episod tayangannya selama sejam. Mengambil masa 35 hari penggambaran, Mandatori adalah salah satu daripada 35 karya Ramlee yang masih mendapat tempat di hati pembaca setia novel. Pertama kali novel ini diterbitkan pada 2003 dan jalan cerita dalam filem TV ini tidak banyak yang diubah suai.

    Namun, jalan ceritanya digarap kemas dan disokong kuat babak yang mendebarkan dengan aksi suspens dan ganas. Diarahkan pengarah muda, Razaisyam Rashid, filem TV ini menampilkan lakonan Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alvin Wong, Iedil Putra dan Vanidah Imran. Ramlee berkata, selepas Tombiruo, dia yakin Mandatori adalah kisah yang dinanti penonton untuk divisualkan. 

    “Pemilihan Mandatori dibuat kerana skrip dan jalan ceritanya yang unik. Saya yakin semua orang tidak sabar menantikan tayangan filem TV ini selepas membaca novelnya. Saya juga berharap filem TV ini mendapat maklum balas positif daripada penonton. Mungkin kisahnya agak berat, tetapi cerita seperti ini jarang dapat kita saksikan,” katanya.

    Sementara itu, Razaisyam berkata, kelebihan Mandatori tidak hanya pada skrip, tetapi pelakon yang terbabit juga sangat hebat.

    “Saya kagum dengan komitmen yang diberikan setiap pelakon. Masing-masing memberikan kesungguhan yang lebih terhadap watak mereka terutama Aeril. Walaupun wataknya sangat berat, dia berjaya memberikan yang terbaik. Saya sendiri sebagai pengarah pada mulanya bimbang mampukah saya mengarah dengan baik sedangkan skrip cerita ini terlalu bagus,” katanya.

    Sinopsis

    Mandatori mengisahkan seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (lakonan Aeril) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang berkait rapat antara satu sama lain. Dia membuka kembali fail jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu. Lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan, Norman akan membawa dirinya kepada sebuah lagi kes pembunuhan yang baru.

    Pembunuh itu pula akan meninggalkan petunjuk sama iaitu patung mainan ‘Inspektor Carlos’ dan kertas tulisan ‘Case Closed’ yang dijumpai dalam bahagian badan si mati. Pelbagai kejadian mula berlaku yang harus Norman tangani sehingga dia bertemu Juliana dan mereka jatuh cinta.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mandatori Penuh Suspens Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top